Pembangkang Malaysia Anjur Perhimpunan Skandal Kewangan 1MDB Di Seluruh Negara

Hata Wahari
2017.06.28
Kuala Lumpur
170628-MY-1mdb-620.jpg Ketua Pembangkang Malaysia (duduk, dua kanan) Dr Wan Azizah Wan Ismail serta ahli pembangkang dari parti DAP, Teresa Kok, menunjukkan kenyataan media mengenai usaha terkini pakatan pembangkang mengenai isu 1MDB, 28 Jun, 2017.
Hata Wahari/BeritaBenar

Gabungan pakatan parti pembangkang Malaysia akan mengadakan perhimpunan di seluruh negara untuk memberi penerangan mengenai 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) bermula pada Julai ini susulan saman sivil terbaru Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat berhubung isu dana milik negara itu yang membabitkan Perdana Menteri Najib Razak.

Perhimpunan “Sayang Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” bertujuan memberi penerangan menyeluruh kepada rakyat mengenai perkembangan terkini mengenai skandal kewangan 1MDB, kata Pakatan Harapan dalam sidang media di Parlimen Malaysia pada Rabu.

“Langkah  ini adalah cara kami untuk mendekati rakyat dengan isu 1MDB memandangkan rakyat kadang-kadang tidak berasakan isu 1MDB ada kaitan dengan mereka," kata Dr Wan Azizah Wan Ismail yang  merupakan Ketua Pembangkang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mewakili Parti Tindakan Demokratik; Ahli Parlimen Shah Alam,  Khalid Samad mewakili Parti Amanah Negara; Ahli Parlimen Sungai Siput,  Dr Michael Jeyakumar mewakili Parti Sosialis Malaysia; Ahli Parlimen Penampang, Sabah, Darell Leiking mewakili Parti Warisan; dan Dr Rais Hussin mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Perhimpunan itu dijadual bermula pada 6 Julai  di Kepala Batas, Pulau Pinang  dan berakhir dalam satu perhimpunan besar-besaran pada September di Kuala Lumpur.

Pada pertengahan Jun ini, DoJ mempergiatkan usaha bagi menyita beberapa aset termasuk seutas kalung berlian milik isteri Perdana Menteri Malaysia yang didakwa dibeli menggunakan wang yang dicuri daripada dana 1MDB.

Menerusi saman yang difailkan di Mahkamah Daerah AS di Los Angeles, DoJ mahu mendapatkan semula aset bernilai kira-kira US$540 juta (RM2.3 bilion) yang didakwa telah dicuri oleh ahli perniagaan yang mempunyai kaitan dengan 1MDB, yang penubuhannya diilhamkan Najib bagi mempromosikan pembangunan ekonomi.

Kira-kira setahun lalu, Amerika Syarikat telah memfailkan saman untuk “merampas dan mendapatkan semula” beberapa aset bernilai lebih US$1 bilion (RM4.2 bilion) berkaitan skandal 1MDB, yang ia sifatkan sebagai satu konspirasi global bagi pengubahan dana yang dicuri.

Empat perkara

Pada sidang media itu, Wan Azizah, yang juga isteri bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan bekas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata, perhimpunan itu diadakan untuk turut menuntut empat perkara lain bagi mendapatkan sokongan rakyat berhubung isu 1MDB.

Antara empat perkara berkenaan adalah mendesak Najib untuk mengadakan sidang tergempar Dewan Rakyat secepat mungkin bagi membentangkan kertas putih berkenaan 1MDB.

“Kerajaan perlu  segera membentangkan kertas putih di Dewan Rakyat, yang sepatutnya menjawab segala persoalan yang dibangkitkan rakyat.

"Jika kerajaan tidak mahu rakyat percaya kepada dakwaan DoJ, mereka perlu menjawabnya dengan membentangkan laporan siasatan daripada pihak berkuasa melalui kertas putih," katanya yang juga menggesa Pejabat Peguam Negara (AGC) agar membuka semula siasatan berhubung 1MDB.

Beliau berkata kenyataan sesetengah menteri, yang mendakwa isu itu bermotifkan politik atau campur tangan asing, belum cukup menjawab hal-hal yang dibangkitkan.

Selain itu, Pakatan Harapan juga  akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menuntut supaya kertas siasatan skandal kewangan itu dibuka semula.

Wan Azizah berkata Pakatan Harapan juga akan menubuhkan Jawatankuasa Tindakan 1MDB yang akan merangka strategi dan respon pembangkang terhadap Isu tersebut.

Pihak polis masih menyiasat sekurang-kurangnya satu kes berkaitan 1MDB yang dibuat berdasarkan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tahun lalu.

Ketua Polis Negara  Khalid Abu Bakar pada 25 Jun lalu memberitahu media bahawa AGC meminta polis supaya menyiasat lebih lanjut mengenai  laporan berkenaan dan siasatan sedang berlangsung.

Najib telah dikaitkan dengan skandal 1MDB sejak dua tahun lepas setelah akhbar Wall Street Journal (WSJ) melaporkan pada Julai 2015 bahawa hampir US$700 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadinya. Beliau bagaimanapun telah menafikan sebarang salah laku atau mengambil wang untuk keuntungan peribadi.

Saman bersifat politik

Sebelum ini, Peguam Negara Malaysia Apandi Ali menyatakan bahawa dana yang disalurkan
ke dalam akaun Najib adalah satu sumbangan dari Arab Saudi untuk tujuan politik dan kebanyakan wang tersebut telah pun dikembalikan.

Mengenai saman sivil terbaru DoJ itu pula, Apandi berkata ia bersifat politik.

Beliau dipetik agensi berita nasional, Bernama, sebagai berkata bahawa ini kerana DoJ tidak pernah membuat sebarang permohonan rasmi kepada pejabatnya untuk mendapatkan sebarang keterangan atau maklumat lanjut terhadap tuntutan yang dikemukakan oleh mereka.

“Jika mereka minta (sebarang maklumat berkaitan 1MDB), adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberi bantuan. Jadi, saya buat rumusan tindakan itu berbaur politik.

“Tindakan DoJ juga dipercayai berdasarkan maklumat yang diberi oleh segelintir pihak dari Malaysia sendiri,” katanya dalam laporan Bernama itu.

Khairudin Hassan, bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan serta antara individu pertama yang membangkitkan isu 1MDB, pula mendakwa jenayah pembelian aset-aset di Amerika Syarikat menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB sememangnya berlaku di negara itu.

“DoJ mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang berteraskan sistem perundangan di sana dan jenayah tersebut berlaku di AS. Jadi, apa perlunya DoJ memaklumkan dan memohon kebenaran Pejabat Peguam Negara Malaysia terlebih dahulu sebelum bertindak,” tegas beliau kepada BeritaBenar pada Rabu.

Khairuddin pernah didakwa dan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan [Langkah-Langkah Khas] (SOSMA)  kerana membuat laporan mengenai skandal 1MDB di lima negara, namun dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan mensabotaj ekonomi negara.

Peguam Malaysia Mohamad Haniff Khatri Abdulla, yang lantang bersuara mengenai 1MDB, pula berkata, adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab mana-mana kerajaan untuk mengambil segala tindakan untuk menyelesaikan sebarang kontroversi yang membabitkan kredibiliti sebuah negara termasuk memanggil Duta Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

“Secara ringkas, tindakan yang berpatutan dan segera mesti diambil. Kerajaan sekarang mempunyai kewajipan kepada rakyat Malaysia untuk mengotakan janjinya,” katanya kepada BeritaBenar pada Rabu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.