Pasukan Penyiasat 1MDB Serbu Firma Audit Deloitte, Rampas Dokumen

Hadi Azmi dan Aminah Farid
2019.05.23
Kuala Lumpur
190523-MY-1mdb-620.jpg Pegawai polis bahagian Jenayah Komersial Bukit Aman memunggah kotak-kotak berisi dokumen berkaitan siasatan kes 1MDB ke dalam van, Kuala Lumpur, Malaysia. 23 Mei 2019.
S.Mahfuz/BeritaBenar

Polis menyerbu pejabat firma audit Deloitte yang beribu pejabat di Kuala Lumpur pada Khamis dalam satu operasi bagi mendapatkan dokumen dan rekod berkaitan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara yang baru dilantik Abdul Hamid Bador mengesahkan serbuan di pejabat Deloitte di Menara LGB yang terletak di kawasan elit Taman Tun Dr Ismail itu.

“Benar ia berkaitan dengan 1MDB. Ia dilakukan untuk memeriksa rekod mereka dan mencari dokumen-dokumen,” kata Abdul Hamid kepada BeritaBenar.

Para pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman tiba di premis itu pada tengah hari Khamis dengan menaiki tiga buah kenderaan dan hanya dilihat meninggalkan premis hampir 6 jam kemudian bersama-sama 11 kotak dipercayai berisi dokumen yang dirampas daripada firma tersebut.

Deloitte, yang merupakan antara empat firma audit terkemuka dunia, dilantik sebagai juruaudit berkanun untuk anak syarikat 1MDB iaitu Bandar Malaysia dan 1MDB Real Estate bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015 hingga 2016.

Terdahulu pada Januari, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) telah mengemukakan saman sebanyak 2 juta ringgit (AS$480,000) terhadap Deloitte kerana gagal melaksanakan tanggungjawab berkanunnya termasuk kegagalan melaporkan ketidakseragaman dalam laporan auditnya secara serta-merta.

Penganalisis ekonomi daripada agensi ThinkByUs, Fikri Fisal ketika diminta mengulas perkara itu, memberitahu BeritaBenar bahawa saman tersebut tidak memadai jika Deloitte terbukti terlibat dalam sebarang salah laku berkaitan skandal 1MDB.

“Kegagalan sebuah firma ‘big four’ untuk melaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan salah laku terbesar dalam sektor kewangan dunia amat dikesali, lebih-lebih lagi apabila mereka sepatutnya menjaga integriti dan standard perakaunan pada tahap tertinggi,” katanya kepada BeritaBenar.

Ketika dihubungi, Deloitte melalui seorang jurucakap berkata firma itu enggan mengesahkan sama ada berlaku sebarang serbuan di premis mereka, sebaliknya meminta BeritaBenar mengemukakan permohonan bertulis.

Bagaimanapun, satu sumber dari firma itu mengesahkan kehadiran polis di pejabat mereka.

Menurut sumber itu, polis berada dalam bilik persidangan firma tersebut di tingkat 16 Menara LGB.

“Ya, ada serbuan tetapi kami tidak diarahkan keluar dari premis. Polis cuma ada di bilik persidangan,” kata sumber itu lagi.

Serbuan itu berlaku sehari selepas Ketua Polis Negara memberitahu pemberita bahawa pihaknya memiliki petunjuk baharu dalam pencarian perancang utama skandal 1MDB, Jho Low yang kini bersembunyi dan dikehendaki Interpol.

Dalam satu sidang media ketika melawat sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan, Abdul Hamid berkata pihak polis mengambil serius maklumat terbaru ini.

“Mana dia nak menyorok… tak akan selamat. Kita akan bawa balik Jho Low tak lama lagi kerana semua orang tertunggu-tunggu,” kata beliau.

Serbuan di firma Deloitte pada Khamis merupakan yang terkini dalam beberapa siri serbuan terhadap individu dan pertubuhan berkaitan skandal 1MDB yang disifatkan bekas Peguam Negara Amerika Syarikat, Jeff Sessions sebagai “kleptokrasi yang paling teruk.”

Deloitte dilantik sebagai juruaudit 1MDB pada Disember  2013 menggantikan firma KPMG yang dipecat kerana berselisih faham dengan lembaga pengarah 1MDB berkaitan kegagalan firma kewangan itu mengemukakan dokumen sokongan berhubung pelaburannya.

Menurut laporan akhbar kewangan antarabangsa, Wall Street Journal, yang melakukan siasatan mendalam berhubung skandal 1MDB, KPMG dipecat atas arahan Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak, yang juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Deloitte bagaimanapun menamatkan perkhidmatan mereka dengan 1MDB pada Julai 2016 dan menasihati semua pihak agar tidak bersandar kepada laporan audit yang dilakukan mereka pada 2013 dan 2014.

Najib, yang kini dibicarakan atas 42 pertuduhan jenayah berkaitan skandal itu, turut berdepan satu saman pelucutan hak ke atas barangan mewah berjumlah 711 juta ringgit (AS$169.5 juta) yang dirampas dalam serbuan di beberapa kediaman miliknya pada Mei 2018.

Dalam akaun Facebooknya, Najib mempersoal tindakan kerajaan memfailkan saman sivil tersebut untuk melucutkan haknya dan tidak mengemukakan dakwaan jenayah terhadap beliau.

“Mereka menggunakan kaedah saman sivil - bukan dakwaan jenayah. Ini tindakan terpaksa kerana mereka sendiri gagal untuk mengemukakan pendakwaan jenayah tetapi masih ingin meneruskan persepsi, fitnah dan propaganda mereka terhadap saya dan keluarga,” kata Najib.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 30 Mei untuk membincangkan tarikh pendengaran saman tersebut.

Menurut Khalil Azlan Chik, Ketua Bahagian Anti Pengubahan Wang Haram Polis Diraja Malaysia, saman itu difailkan oleh Peguam Negara bagi menyita beratus-ratus barangan terbabit secara sah.

Barangan itu termasuk beg-beg yang penuh dengan wang tunai dan kotak-kotak mengandungi barangan bernilai yang dirampas oleh polis dalam serbuan tahun lepas di beberapa kediaman dan alamat di Kuala Lumpur yang mempunyai kaitan dengan bekas perdana menteri itu dan isterinya, Rosmah Mansor.

Agensi berita kerajaan, Bernama, melaporkan bahawa notis usul itu menamakan Najib sebagai responden pertama, diikuti Rosmah, anak tirinya Riza Shahriz Abdul Aziz dan anak-anaknya dengan Rosmah, serta beberapa individu lain.

Khalil berkata tindakan memfailkan notis usul itu di mahkamah dibuat susulan serbuan pada Jun 2018 di beberapa kondominium mewah dan pejabat di mana pihak berkuasa merampas barangan mewah yang pada mulanya dianggarkan bernilai sehingga AS$273 juta.

1MDB merupakan dana pelaburan negara yang diasaskan oleh Najib pada 2009 bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Pendakwa raya Amerika Syarikat berusaha mendapatkan semula aset berjumlah AS$1.7 bilion yang didakwa diselewengkan oleh Najib dan rakan-rakannya daripada dana negara itu.

Antara barang berharga yang dirampas polis dalam serbuan itu ialah 12,000 unit barang kemas, wang tunai pelbagai matawang berjumlah 117 juta ringggit (AS$29 juta), beg tangan mewah dan sejumlah besar koleksi jam tangan berjenama buatan Switzerland.

Pihak berkuasa tidak menemui berlian merah jambu seberat 22 karat bernilai AS$27.3 juta, yang menurut pendakwa raya AS, dibeli menggunakan dana yang dicuri daripada 1MDB.

Firma audit Deloitte bukanlah firma pertama yang disiasat oleh pasukan penyiasat 1MDB. Pada Januari, polis telah melancarkan serbuan yang serupa di firma guaman Rahmat Lim & Partners dalam usaha mencari dokumen berkaitan 1MDB setelah firma itu enggan bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.