Keluarga Tidak Sabar Nantikan Kepulangan Tebusan Rakyat Malaysia

Zam Yusa dan Radzi Razak
2019.04.05
Kuala Lumpur
190405-MY-Nadin-1000.jpg Nadin Junianti, isteri tebusan rakyat Malaysia Jari Abdullah, semasa ditemu bual pemberita di rumahnya di Sandakan, Sabah, Malaysia. 5 April, 2019.
[Zam Yusa/BeritaBenar]

Isteri tebusan rakyat Malaysia, Jari Abdullah yang cedera ditembak oleh kumpulan yang dikaitkan dengan militan Negara Islam(IS), pada Jumaat menggesa pihak berkuasa supaya menyegerakan usaha untuk membawa pulang suaminya.

Pada masa sama, Nadin Junianti, 26, meluahkan rasa leganya kerana Jari dapat diselamatkan daripada Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) oleh pihak berkuasa Filipina di Pulau Simisa, selatan Filipina pada Khamis.

Ibu tiga anak itu berkata beliau terputus hubungan dengan Jari sejak tiga bulan lalu setelah tersebarnya satu rakaman video yang menunjukkan Jari berada dalam tahanan kumpulan pengganas itu.

“Saya merayu kepada pihak berkuasa supaya pulangkan suami saya secepat mungkin. Selepas video (penculikan) Jari tular, kami terus terputus hubungan. Kami tidak bercakap sejak tiga bulan lalu.

“Anak bongsu saya juga tiba-tiba berteriak ‘bapa!, bapa! beberapa hari lalu,” katanya ketika ditemui media di kediamannya di Sandakan, Sabah pada Jumaat.

Jari dan Nadin mempunyai tiga anak berusia 7,5 dan setahun. Mereka berasal dari Sim-Sim di Sandakan.

Nadin, yang kelihatan gelisah dan sedih, juga menyuarakan rasa bimbangnya selepas gambar kecederaan suaminya terpapar di muka depan akhbar Sabah, Daily Express.

Ini kerana beliau langsung tidak tahu menahu keadaan suaminya, sebelum ia dilaporkan media.

“Tiada siapa yang beritahu saya bahawa suami saya telah ditemui dan ditembak. Saya hanya tahu daripada wartawan yang datang ke rumah saya hari ini. Saya tanya sejauh mana kecederaan suami saya tapi mereka tidak tahu.

“Saya baca berita tentang hal dia ditembak dan diselamatkan menerusi telefon wartawan. Telefon saya tiada capaian internet,” kata ibu muda itu.

Namun, beliau memberitahu bahawa suaminya kelihatan ‘kurus dan cengkung’ berbanding keadaannya sebelum diculik.

Pihak berkuasa melaporkan kumpulan militan ASG pada Khamis telah menembak dan mencederakan seorang rakyat Malaysia yang menjadi tebusan mereka, semasa operasi menyelamat dilakukan Tentera Filipina di Pulau Simisa. Jari dan dua rakyat Indonesia diculik di perairan timur Malaysia hampir empat bulan lalu.

Selepas diselamatkan, Jari yang juga seorang nelayan, segera dibawa ke sebuah hospital di bandar Zamboanga iaitu kira-kira 1,334 km [833 batu] dari selatan Manila untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, nasib dua rakyat Indonesia itu tidak diketahui, kata pihak berkuasa Filipina.

"Mangsa cuba melarikan diri daripada penculiknya semasa pertempuran, tetapi dia ditembak oleh anggota Abu Sayyaf," kata jurucakap Pemerintah Selatan Tentera Filipina, Kolonel Gerry Besana, kepada BeritaBenar.

Ketiga-tiga mangsa itu pada mulanya dilaporkan hilang pada 6 Dis di kawasan Terumbu Pegasus di timur perairan Sabah selepas bot mereka ditemui dengan enjinnya masih hidup. Siasatan kemudian menunjukkan bahawa kesemua mereka menjadi mangsa penculikan oleh sekumpulan tujuh lelaki yang didakwa memecut ke arah Sulu, kata pihak berkuasa.

Perkembangan

Sementara itu, Ketua Polis Sabah Komisioner Polis Omar Mammah memberitahu bahawa pihaknya telah dimaklumkan mengenai insiden itu oleh pihak berkuasa Filipina.

“Kita diberitahu oleh rakan kita di Filipina bahawa Jari terkena tembakan di leher dan paha.

“Beliau masih dirawat di Hospital Zamboaga. Pihak berkuasa Filipina akan terus memaklumkan keadaan mangsa,” katanya di  Sabah hari ini.

Bagaimanapun, Omar berkata kedua-dua pihak masih belum berbincang mengenai usaha membawa Jari pulang ke Malaysia.

“Kami masih belum mengaturkan sebarang cadangan kerana pada masa ini, keadaan kesihatan mangsa yang perlu diutamakan,”kata Omar.

Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata Kedutaan Malaysia di Manila dan Konsulat di Davao sedang berhubung dengan penguatkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat terbaru tentang keadaan di Mindanao selain memantau keadaan Jari.

“Menteri Luar juga sudah mengarahkan Timbalan Ketua Setiausaha (Hal Ehwal Dua Hala) untuk bertemu pemimpin di Sabah dan mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri atas perkembangan terbaru berhubung mangsa penculikan itu,” kata kenyataan itu.

Jeneral Divino Rey Pabayo Jr, komander operasi tentera darat di Sulu, pada Khamis berkata, tiada anggota kerajaan yang cedera semasa operasi menyelamat itu. Selain itu, tidak dapat dipastikan sama ada ahli kumpulan militan tersebut mengalami kecederaan.

Kumpulan militan Abu Sayyaf merupakan kumpulan kecil tetapi kejam berbanding beberapa kumpulan militan lain di selatan Filipina. Kumpulan itu juga dipercayai masih menahan sejumlah tebusan tempatan dan asing di wilayah selatan yang bergolak di negara itu.

Selain melakukan penculikan, kumpulan itu sering menjadi tajuk utama berita sepanjang dekad lalu kerana didakwa terlibat dalam pengeboman dan pemenggalan kepala di selatan Filipina.

Sepanjang tiga tahun lalu, militan Abu Sayyaf memenggal kepala dua rakyat Kanada dan seorang warganegara Jerman yang diculik secara berasingan, kata pegawai tentera.

Seorang pemimpin Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, menjadi pemimpin IS di Asia Tenggara dan mengetuai kepungan di bandar Marawi yang terletak di selatan negara itu pada Mei 2017. Pengepungan itu membawa kepada pertempuran lima bulan dengan pasukan kerajaan yang menyebabkan 1,200 kehilangan nyawa, dengan kebanyakannya adalah anggota militan termasuk Hapilon.

Kumpulan Abu Sayyaf turut dikatakan bertanggungjawab terhadap insiden pengeboman kereta di Pulau Basilan, yang menyebabkan kira-kira 11 orang terbunuh tahun lepas.

Kumpulan itu juga dikaitkan dengan kejadian pembunuhan 23 orang selain menyebabkan berpuluh-puluh lagi cedera di sebuah gereja Katolik tempatan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.