Malaysia Bersedia untuk Debat Draf Undang-Undang Anti-Keganasan


2015.03.10
BY-najib-620-March2015 Perdana Menteri Malaysia Najib Razak berucap di kongres tahunan parti beliau di Kuala Lumpur, 7 November 2014.
AFP

Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi pada hari Isnin menolak kritikan bahawa draf undang-undang anti-keganasan boleh meninggalkan kesan pada hak asasi manusia kerana terlalu zalim.

Undang-undang "pencegahan" diperlukan untuk menangani ancaman pengganas, menteri itu berkata kepada media tempatan apabila Dewan Rakyat membuka sesi pertamanya pada 2015.

Semasa sesi sebulan itu, kerajaan dijangka memperkenalkan rangka rang undang-undang Akta Pencegahan Keganasan (POTA). Antara lain, undang-undang lebih tegas ini akan bertujuan untuk mencegah pengaruh dan usaha merekrut oleh kumpulan pelampau Islamic State (IS) atau militan Negara Islam.

"Kita perlu Akta Pencegahan Keganasan [POTA] kerana undang-undang lain adalah punitif, ini adalah untuk pencegahan," Malay Mail Online memetik Zahid sebagai berkata kepada pemberita pada hari Isnin.

Pengkritik berkata rang undang-undang ini terlalu sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kerajaan telah mansuhkan pada 2012. POTA, mereka berkata, akan membolehkan pihak berkuasa untuk menahan pengganas yang disyaki tanpa perbicaraan selama dua tahun atau lebih lama.

"Mereka boleh mengatakan apa sahaja yang mereka mahu. Sebagai kerajaan, kita perlu melindungi rakyat kita," tambah Zahid sebagai memberi jawab balas kepada kebimbangan yang dibangkitkan oleh pejuang hak asasi manusia bahawa POTA dengan secara efektif akan membawa balik Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Pada minggu lalu, beliau menafikan bahawa kedua-dua undang-undang itu boleh "disamakan."

Namun, Zahid mengakui bahawa di bawah POTA, pihak berkuasa boleh menahan suspek tanpa perbicaraan buat selama-lamanya selepas dua tahun pertama dalam tahanan, Malay Mail Online melaporkan Khamis.

"Walau bagaimanapun, mereka yang disyaki terlibat dalam keganasan dan ditahan tanpa perbicaraan masih boleh mendapatkan keadilan kerana mereka akan dibenarkan untuk melantik peguam mereka sendiri," kata beliau pada 5 Mac.

Ahli Parlimen mahu melihat rang undang-undang

Pada hari Isnin, Menteri Dalam Negeri itu menggesa ahli-ahli pembangkang Pakatan Rakyat untuk menyokong rang undang-undang POTA.

N. Surendran, naib presiden parti pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang Ahli Parlimen yang mewakili Padang Serai, di barat laut negeri Kedah, antara mereka yang mempersoalkan potensi rang undang-undang itu mencerobohi kebebasan awam.

"Ini ialah satu rang undang-undang penting yang akan memberi kesan mendalam pada kebebasan awam dan kuasa penguatkuasaan undang-undang. Namun, kita masih belum diberikan salinan rang undang-undang itu walaupun sesi telah bermula," Malay Mail Online memetik penguatkuasa undang-undang itu sebagai berkata.

Ancaman daripada pejuang jihad yang pulang ke tanahair

Idea merangka rang undang-undang cegah keganasan yang lebih tegas dicadangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hampir lima bulan yang lalu, pemimpin sama yang memansuhkan ISA empat tahun yang lalu.

Pada akhir bulan November, beliau telah memperkenalkan satu Kertas Putih di Parlimen yang memperincikan sejauh mana ancaman IS dan kumpulan pejuang jihad yang lain terhadap keselamatan dalam negara.

Undang-undang anti-keganasan Malaysia perlu lebih tegas kerana bahaya daripada ahli IS warganegara Malaysia yang mengimport dan mencetuskan keganasan selepas pulang ke negara dari kawasan pertempuran di Timur Tengah, Najib memberitahu Parlimen kemudiannya.

"Melihat kepada potensi ancaman daripada kumpulan ini, kita bimbang kepulangan rakyat Malaysia dari zon konflik di Syria dan Iraq akan memudaratkan keselamatan negara," AFP memetik Najib sebagai berkata pada 26 November.

Sementara itu, raja Malaysia, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam, menyentuh mengenai tema Kertas Putih Najib semasa titah baginda merasmikan sesi parlimen pada hari Isnin.

"Saya mengalu-alukan usaha yang berterusan untuk mengukuhkan langkah keselamatan dan memastikan ketenteraman awam, khususnya bagi menangani ancaman pengganas di Sabah dan membendung penyebaran ideologi pelampau dalam kalangan rakyat, seperti militan Negara Islam (IS)," titah baginda, merujuk kepada bahagian pulau Borneo di Malaysia, mengikut laporan agensi berita nasional Bernama.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.