Laporan Kaitkan Perdana Menteri Malaysia Dengan Skandal Dana Pelaburan Negara

Oleh staf BeritaBenar
2015.07.03
150703-MY-WSJNAJIB620 Papan iklan syarikat pelaburan bermasalah 1MDB berhampiran mercu tanda Malaysia, Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur. 3 Julai 2015.
AFP

Satu skandal kewangan Malaysia semakin meruncing pada Jumaat selepas sebuah akhbar yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat, mendakwa menerima dokumen yang menunjukkan beratus-ratus juta dolar telah dipindahkan ke dalam akaun peribadi bank Perdana Menteri Najib Razak daripada satu dana negara yang bermasalah.

Dengan memetik borang-borang pemindahan bank dan aliran carta yang disediakan oleh para penyiasat kerajaan, The Wall Street Journal (WSJ) berkata hampir AS$700 juta (RM2.64 bilion) dipindahkan melalui agensi-agensi kerajaan, bank-bank dan syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ia dipindahkan ke dalam akaun Najib.

Sumber asal wang berkenaan adalah tidak jelas dan penyiasatan kerajaan tidak memperincikan apa yang berlaku kepada wang yang dimasukkan ke dalam akaun-akaun peribadi Najib, lapor WSJ.

Laporan itu menyebut, Najib yang mengasaskan 1MDB dan mengetuai lembaga penasihat syarikat itu, berdepan dengan tekanan politik yang semakin meningkat di mana syarikat itu, kini sedang bergelut untuk membayar hutang terkumpul berjumlah AS$11 bilion (RM41.5 bilion).

Najib dalam satu kenyataan menyifatkan dakwaan dalam laporan itu sebagai "tuduhan palsu," dan "sebahagian daripada kempen bersepadu sabotaj politik untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik."

Menurutnya beliau tidak pernah menyalahgunakan dana awam dan berikrar untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terus melancarkan serangan tanpa sebarang asas terhadap beliau berhubung skandal kewangan itu.

"Saya mahu katakan dengan jelas: Saya tidak pernah mengambil dana untuk kepentingan peribadi seperti yang didakwa oleh musuh-musuh politik saya - sama ada dari 1MDB, SRC International atau entiti-entiti lain, seperti yang telah disahkan oleh syarikat-syarikat ini."

Letak jawatan

Ahli-ahli parlimen pembangkang dan pengkritik menggunakan laporan WSJ untuk menggesa perdana menteri itu supaya berundur atau mengambil cuti sehingga dakwaan itu diselesaikan, lapor Agence France-Presse.

Wan Azizah Wan Ismail, pemimpin pembangkang Parti Keadilan Rakyat dan isteri bekas ketua pembangkang yang kini dipenjarakan Anwar Ibrahim, menuntut supaya Najib mengisytiharkan asetnya secara terbuka.

Najib, yang berusia 61 tahun, menuduh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad mencetuskan dakwaan rasuah terbaru itu.

Mahathir, yang pernah menaungi Najib, sebelum ini menggesa perdana menteri itu supaya berundur berikutan skandal 1MDB.

Beliau terus berdepan tekanan politik yang semakin memuncak berhubung kegagalan itu dan menggesa pengkritik supaya menunggu hasil daripada empat siasatan rasmi terhadap aktiviti 1MDB.

Najib juga dikritik berhubung pengurusan ekonominya dan skandal yang timbul daripada pembunuhan berprofil tinggi seorang model Mongolia sembilan tahun lalu.

Taktik kotor

Dalam laman facebook beliau, perdana menteri itu berkata dakwaan berhubung skandal 1MDB setakat ini adalah berdasarkan kepada dokumen-dokumen yang dibocorkan dan penyiasat yang tidak dinamakan.

"Tidak pernah sumber dokumen-dokumen ini didedahkan, begitu juga, dokumen-dokumen ini tidak pernah dikemukakan untuk pengesahan oleh pihak berkuasa yang sah."

"Mereka yang terus melancarkan serangan ini perlu bersedia untuk menghadapi akibat daripada tindakan mereka," katanya.

"Taktik longkang ini - dalam beberapa kes taktik jenayah - untuk menggulingkan kerajaan, akan gagal. Tiba masanya, mereka akan ditangani dengan kuasa penuh undang-undang. "

Para penyiasat percaya sebahagian daripada wang itu yang dikesan dalam akaun Najib adalah daripada sebuah entiti dikenali sebagai SRC International Sdn. Bhd., sebuah syarikat tenaga yang asalnya dikuasai oleh 1MDB tetapi dipindahkan kepada Kementerian Kewangan pada 2012,  lapor WSJ. Najib juga adalah Menteri Kewangan.

WSJ melaporkan bahawa para penyiasat telah mengesan wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank Najib menjelang pilihan raya umum dua tahun lalu.

Ini adalah kali pertama Najib, yang mempengerusikan lembaga penasihat dana itu, dikaitkan secara langsung dengan tuduhan rasuah yang menyelubungi 1MDB.

WSJ berpegang teguh kepada laporannya pada Jumaat.

"Kami amat berhati-hati dan kami percaya penyiasatan dan dokumen yang kami ada adalah kukuh dan datangnya daripada siasatan yang diyakini dan bukannya siasatan politik," kata Ken Brown, Ketua Biro WSJ Hong Kong, kepada saluran televisyen berita kewangan Amerika Syarikat, CNBC.

"Ia adalah berita yang penting dan kami menanganinya dengan amat serius. Pada bila-bila masa anda melihat pemimpin sebuah negara yang telah… sekurang-kurangnya, bukti menunjukkan adanya aliran wang ke dalam akaun peribadinya… terikat kepada urusan kerajaan, ia adalah amat dramatik, "kata beliau.

1MDB menanggung hutang 42 bilion ringgit (US$11.2 bilion) dan sedang disiasat kerajaan atas dakwaan penyelewengan.

Sebelum Najib membuat sebarang kenyataan berhubung dakwaan itu, pejabat beliau terlebih dahulu mengeluarkan kenyataan yang antara lain menyebut Pejabat Perdana Menteri percaya terdapat usaha bersepadu oleh individu tertentu untuk melemahkan keyakinan terhadap ekonomi negara.

"Dengan itu menjadi kewajipan kepada anggota media yang bertanggungjawab untuk tidak menganggap dokumen-dokumen berkenaan sebagai tulen melainkan disahkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan,” kata kenyataan itu.

Selain itu, 1MDB turut mengeluarkan kenyataan penafian yang ia pernah menyalurkan dana ke akaun milik Najib.

"Merujuk kepada laporan media yang diterbitkan, 1MDB ingin memperjelaskan bahawa syarikat ini tidak pernah menyalurkan dana kepada perdana menteri," kata 1MDB dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Manakala Ihsan Perdana Sdn Bhd, sebuah lagi syarikat yang dikaitkan dalam laporan WSJ itu, turut mengeluarkan kenyataan penafian memindahkan wang ke dalam sebarang akaun individu termasuk milik Perdana Menteri pada lewat malam.

Pengarah Urusannya Dr Shamsul Anwar Sulaiman berkata, dakwaan bahawa syarikat itu memindahkan wang untuk program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ke dalam akan peribadi Najib adalah tidak berasas.

"Dakwaan itu adalah tidak berasas dan merupakan pembohongan ... saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang pemindahan wang ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri seperti didakwa dalam laporan media," katanya dalam satu kenyataan Jumaat.

Reuters melaporkan Najib kelihatan santai pada majlis berbuka puasa Ramadan dengan para pemimpin lain dan pegawai tempatan di Johor Baharu, bandar di selatan Malaysia pada malam Jumaat.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.