Enam Akaun Bank Dibekukan Oleh Pasukan Petugas Khas
2015.07.07

Enam akaun bank milik pihak-pihak yang dipercayai terlibat dalam dakwaan penyaluran dana berjumlah beratus juta dolar Amerika ke dalam akaun bank perdana menteri telah dibekukan oleh Pasukan Petugas Khas.
Pengumuman mengenai pembekuan akaun bank itu dibuat dalam satu kenyataan media bersama Peguam Negara Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Abu Kassim Mohamed pada Selasa.
Kesemua mereka berkata, Pasukan Petugas Khas itu juga telah mengambil dokumen-dokumen berkaitan 17 akaun dari dua buah bank bagi membantu siasatan pada Isnin.
"Pasukan Petugas Khas juga telah mengambil dokumen-dokumen melibatkan isu ketidakpatuhan peraturan-peraturan dan kaedah Bank Negara Malaysia oleh bank terbabit,
Siasatan masih berjalan. Justeru, Pasukan Petugas Khas menyeru kepada semua pihak agar memberi kerjasama sepenuhnya bagi melengkapkan siasatan,” menurut kenyataan itu yang bagaimanapun tidak menyebut nama pemilik-pemilik akaun dan bank-bank yang terlibat.
Pada Sabtu lalu, Gani dalam satu kenyataan berkata, Pasukan Petugas Khas telah pun memulakan siasatan berhubung isu 1MDB itu.
Peguam Negara itu turut mengesahkan bahawa Pasukan Petugas Khas telah menyerbu syarikat SRC International Sdn. Bhd., Gandingan Mentari Sdn. Bhd., dan Ihsan Perdana Sdn. Bhd., pada Jumaat dan telah memperolehi dokumen daripada ketiga-tiga premis yang terlibat.
Beliau bagaimanapun, tidak memberikan butiran lanjut mengenai keadaan atau kandungan dokumen itu serta tidak pula menyatakan bentuk tindakan selanjutnya yang beliau telah anjurkan kepada pasukan petugas tersebut.
Dalam perkembangan yang sama, portal berita Malaysiakini melaporkan bahawa sumber yang tahu tentang siasatan itu mendakwa bahawa tiga daripada enam akaun itu adalah milik perdana menteri.
"Ya, tiga akaun kepunyaannya (Najib)," kata sumber itu dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan serta enggan mendedahkan butiran mengenai tiga akaun yang lain.
The Wall Street Journal (WSJ) yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, melaporkan bahawa penyiasatan mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB), sebuah dana negara yang berhutang, menunjukkan hampir AS$700 juta (RM2.64 bilion) telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.
Najib pantas menafikan dakwaan itu dengan menyatakan ia sebagai "sabotaj politik", tetapi Bank Negara, bank pusat Malaysia, dan sebuah bank swasta tempatan yang didakwa mempunyai akaun Najib, masih belum memberikan maklum balas terhadap dakwaan WSJ itu.
1MDB melalui beberapa kenyataan yang keluarkan sebelum ini berkata, syarikat itu tidak pernah meyalurkan apa-apa (wang) kepada Najib, yang berterusan menafikan sebarang salah laku.
Dua hari lepas, Najib berkata beliau akan membuat keputusan dalam masa beberapa hari mengenai bentuk tindakan yang akan diambil terhadap WSJ berhubung tuduhan itu.
Tindakan undang-undang
Katanya, perkara tersebut telah dirujuk kepada barisan peguam beliau untuk mendapatkan nasihat dan bentuk tindakan susulan dari segi perundangan dan sebagainya yang boleh diambil di dalam dan luar negara.
Difahamkan, Najib sedang mendapatkan khidmat nasihat daripada beberapa orang peguam di New York untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar WSJ itu.
Sementara itu, WSJ yang sejak awal lagi mempertahankan laporannya dan berkata ia berdasarkan kepada penyiasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa Malaysia telah memuat naik sembilan dokumen yang mengaitkan penyaluran dana ke akaun milik Perdana Menteri di laman webnya pada Selasa.
Akhbar harian antarabangsa yang menyiarkan berita perniagaan itu menerbitkan artikel bertajuk "Dokumen Kerajaan Daripada Siasatan Najib Razak" di laman webnya dengan menyatakan dokumen itu diperolehi daripada "penyiasat kerajaan Malaysia".
Bagaimanapun, beberapa maklumat seperti lima digit terakhir akaun AmIslamic Bank Bhd yang dikatakan milik Najib telah disunting.