Malaysia Cuba Kesan Pembocoran Dokumen Rahsia Skandal 1MDB

Oleh staf BeritaBenar
2015.07.08
150708-MY-GANI620 Pasukan Petugas Khas merampas pelbagai peralatan daripada pejabat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kuala Lumpur. 8 Julai 2015.
AFP

Pihak berkuasa Malaysia berkata mereka sedang cuba mengesan pembocoran dokumen yang diperolehi oleh akhbar The Wall Street Journal yang menunjukkan beratus-ratus juta dolar telah disalurkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak daripada dana negara, dengan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang mendedahkan dokumen rahsia tersebut.

Peguam Negara Abdul Gani Patail dalam satu kenyataan, “menekankan kebimbangan” tentang pembocoran dokumen berkaitan dengan suatu siasatan jenayah yang sedang dijalankan terhadap skandal dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau meminta supaya siasatan penuh dibuat berhubung dengan perkara berkenaan.

Gani berkata, kebimbangannya berhubung pembocoran dokumen itu turut "disokong" oleh Gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abu Kassim Mohamed

Polis Siasat

Ketua Polis Negara seperti dilaporkan oleh Agensi Berita Nasional (Bernama) berkata, "Siasatan terhadap 1MDB itu dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas, namun kita juga akan jalankan siasatan berhubung pembocoran maklumat perbankan yang membabitkan isu itu,”

The Wall Street Journal (WSJ) yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat (AS), pada Jumaat, melaporkan dakwaan bahawa Najib menerima sehingga AS$700 juta (RM2.64 bilion) deposit di dalam pelbagai akaun peribadinya di AmBank, bank kelima terbesar di Malaysia berdasarkan aset, di antara Mac 2013 dan Februari tahun ini.

Najib pantas menafikan dakwaan itu pada lewat Jumaat lepas, dan menyifatkannya sebagai "tuduhan palsu," dan "sebahagian daripada kempen bersepadu sabotaj politik untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik."

"Tuduhan Wall Street Journal merupakan satu niat jahat yang didukung oleh pihak tertentu dalam negara yang bertujuan memaksa saya melepaskan jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO," katanya.

WSJ yang sejak awal lagi mempertahankan laporannya dan berkata ia berdasarkan kepada penyiasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa Malaysia telah memuat naik sembilan dokumen yang mengaitkan penyaluran dana ke akaun peribadi milik Perdana Menteri di laman webnya pada Selasa.

Abdul Gani mengambil maklum bahawa dokumen yang didedahkan dalam artikel Wall Street Journal bertajuk, "Malaysia Orders Freeze of Accounts Tied to Probe of Alleged Transfers to Prime Minister Najib" bertarikh 7 Julai itu merupakan perkara yang berkaitan dengan siasatan

Katanya "Satu lagi isu yang membimbangkan adalah bahawa dokumen itu dikatakan telah dibocorkan dari dalam siasatan itu sendiri,"

Agensi berita Associated Press (AP) melaporkan, pihak berkuasa Malaysia membekukan enam akaun bank dan mengambil dokumen-dokumen yang berkaitan dengan 17 akaun di kedua-dua bank untuk siasatan lanjut.  Pejabat Peguam Negara mengeluarkan kenyataan pada Rabu yang menegaskan tiada satupun daripada enam akaun itu, adalah milik Najib.

Pengumuman mengenai pembekuan akaun bank itu dibuat dalam satu kenyataan media bersama Peguam Negara, Gabenor Bank Negara, Ketua Polis Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada Selasa.

Pada Rabu, 1MDB telah mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan pasukan petugas khas telah datang ke pejabat itu untuk menjalankan siasatan terhadap syarikat pembangunan strategik berkenaan.

"Kami boleh mengesahkan bahawa beberapa pegawai dari Pasukan Petugas, menjalankan suatu siasatan di 1Malaysia Development Bhd , dan melawat pejabat kami hari ini,

“Kami menyerahkan kepada mereka beberapa dokumen dan bahan berkaitan bagi membantu  siasatan yang sedang dijalankan sekarang. 1MDB memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Pasukan Petugas Khas dan semua pihak berkuasa undang-undang,

"Kami mengulangi pendirian kami sebelum ini bahawa sekiranya terdapat salah laku dan penyelewengan, tindakan perlu diambil berlandaskan undang-undang negara," kata syarikat itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Surat kepada WSJ

Sementara itu, Najib yang menulis di dalam blognya berkata, peguamnya telah menghantar surat kepada WSJ bagi meminta pengesahan mengenai laporan akhbar tersebut sebelum mengambil tindakan undang-undang

Najib berkata “Sebagaimana arahan saya, surat peguam tersebut meminta Wall Street Journal mengesahkan pendirian akhbar tersebut berikutan laporan yang telah dibuat menuduh saya menyalahgunakan dana AS$700 juta milik 1MDB”.

Perdana Menteri itu juga telah mengarahkan Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak untuk meneliti artikel yang diterbitkan The Wall Street Journal bertajuk " Malaysia Leader's Accounts Probed".

Bertindak bagi pihak firma berkenaan, Wan Azmir Wan Majid, dalam satu kenyataan berkata artikel bertarikh 2 Julai itu, dicemari pelbagai tuduhan terhadap Najib yang melibatkan beberapa syarikat dan transaksi.

"Kami telah diarahkan untuk mengenal pasti fakta dan memberikan fakta-fakta penuh sebelum pelanggan kami dapat meneruskan dengan arahan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, Kabinet mengambil pendirian bersama bahawa semua pihak perlu memberi peluang untuk proses berjalan dengan sewajarnya berhubung dakwaan pemindahan dana 1MDB ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri itu.

"Perbincangan mesyuarat Kabinet dimulakan dengan perdana menteri menyatakan beliau sedang memberi pertimbangan untuk mengambil tindakan undang-undang, dan seperti yang anda semua maklum, peguam yang mewakili perdana menteri akan menghantar surat kepada The Wall Street Journal," katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama pada Rabu.

Ditanya sama ada tuduhan itu merupakan suatu konspirasi untuk menyingkir perdana menteri, beliau berkata "Saya tak melihatnya begitu. Saya tak boleh beri komen."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.