Amerika Syarikat Bakal Tingkatkan Taraf Malaysia Dalam Laporan Pemerdagangan Manusia
2015.07.09

Pejuang hak asasi kemanusiaan marah dengan laporan bahawa Amerika Syarikat akan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam laporan pemerdagangan manusia akan datang, dan mereka melihat kerajaan Amerika Syarikat lebih mengutamakan kepentingan perdagangan berbanding penderitaan manusia yang diperdagangkan.
"Malaysia sebenarnya kurang layak untuk mendapatkan kenaikan taraf," kata Timbalan Pengarah Asia Human Rights Watch Phil Robertson, yang menganggap Malaysia diberikan taraf yang lebih baik kerana menyertai rundingan perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat.
Di dalam temubual dengan BeritaBenar pada Khamis, beliau merujuk kepada Perjanjian Perkongsian TransPasifik (TPP) yang sedang dirundingkan oleh pentadbiran Obama.
“Ini sebenarnya adalah tentang politik Amerika Syarikat dan cubaan untuk mengelak Kongres menyingkir Malaysia daripada perjanjian itu, dan ini merupakan satu penyelewengan yang nyata terhadap ketelusan proses laporan TIP (laporan tahunan pemerdagangan manusia)," katanya.
"Jika seseorang melihat rekod antipemerdagangan manusia di Malaysia sepanjang tahun lepas, mangsa masih dilayan dengan buruk, pendatang masih lemah dan sentiasa dizalimi, kubur-kubur Rohingya masih dijumpai, sementara penangkapan dan pendakwaan jarang dilakukan - jadi di manakah usahanya untuk memperbaiki keadaan? " soal Robertson.
Dengan memetik para pegawai Amerika Syarikat, agensi berita Reuters pada Rabu melaporkan bahawa Jabatan Negara akan menaikkan taraf Malaysia dari kategori paling rendah Tahap 3 kepada Tahap 2 di dalam Senarai Pemerhatian AS, menurut Laporan Tahunan Pemerdagangan Manusia (TIP), yang dijangka keluar tidak lama lagi.
TIP memberi penilaian tahunan bagaimana setiap negara melaksanakan langkah-langkah untuk memerangi penyeludupan manusia dan pemerdagangan manusia dari tempoh 1 April hingga 31 Mac.
Peningkatan tahap ini akan membolehkan AS untuk berdagang dengan Malaysia di bawah perjanjian TPP, Reuters melaporkan.
Pada Jun lalu, Kongres meluluskan rang undang-undang yang menghalang negara-negara di dalam senarai Tahap 3 daripada mengambil bahagian di dalam perjanjian perdagangan pelbagai hala itu.
Pengarah Perikatan Menamatkan Perhambaan dan Pemerdagangan (ATEST) yang berpangkalan di Amerika Syarikat pada 22 Jun lalu memberitahu BeritaBenar bahawa undang-undang perdagangan itu boleh memberi kesan kepada kedudukan sesebuah negara di dalam laporan TIP itu.
"Tahun ini, Kongres sedang membahaskan sama ada untuk mengenakan pertimbangan antipemerdagangan terhadap negara-negara yang ingin meraut manfaat perdagangan dengan Amerika Syarikat," kata Melysa Sperber dalam satu wawancara.
"Kami bimbang bahawa perubahan dasar ini boleh memberi tekanan kepada Jabatan Negara untuk menaikkan taraf Malaysia ke Tahap 2 bagi memelihara hubungan dagang AS dengan rakan kongsi penting ini."
'Belum dimuktamadkan'
Pada Khamis, pegawai Jabatan Negara enggan mengesahkan desas-desus untuk menaikkan taraf Malaysia.
"Laporan Pemerdagangan Manusia belum dimuktamadkan. Adalah terlalu awal untuk membuat spekulasi, " kata Jurucakap Jabatan Negara John Kirby dalam kenyataan kepada BeritaBenar.
"Apa sahaja kesimpulan yang dicapai berhubung dengan sesebuah negara adalah berdasarkan analisis pragmatik maklumat yang terbaik - demi memperkukuhkan kepentingan kami di dalam hal hak asasi kemanusiaan di seluruh dunia."
'Perhambaan moden'
Di Malaysia, Glorene Das, pengarah Tenaganita, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Lumpur yang menyokong hak pekerja asing, marah dengan berita mengenai langkah untuk menaikkan taraf itu.
Das, dalam kenyataannya di laman Facebook Tenaganita pada Khamis, menghentam tindakan kerajaan Amerika Syarikat dan menyelar,
"Apa bezanya anda (AS) dengan kerajaan korup Malaysia? "
"Ia (AS) seharusnya mengambil berat terhadap setiap orang, kerana ini adalah satu penyusutan nilai kemanusiaan bersama kita," katanya, sambil menyindir, pemerdagangan manusia "harus digelar dengan nama sebenarnya -. perhambaan moden".
"Jika Malaysia dinaikkan taraf," kata Das, "maka, sangat jelas perdagangan adalah lebih penting bagi AS berbanding isu perhambaan manusia!"
Seramai dua juta pendatang tanpa izin bekerja di Malaysia dan kebanyakan daripada mereka dipercayai diperdagangkan ke negara itu melalui selatan Thailand.
Pada Mei dan Jun lepas - di kedua-dua bahagian sempadan Thailand-Malaysia – sejumlah besar mayat mangsa pemerdagangan ditemui terbiar di kem penyeludupan manusia yang bersarang di dalam hutan.
Charles Santiago, seorang ahli parlimen Malaysia dan ahli pembangkang Parti Tindakan Demokratik (DAP) menyokong kritikan dari kumpulan-kumpulan hak asasi kemanusiaan.
"Benar-benar mengecewakan (tindakan) untuk meletakkan Malaysia pada Tahap 2 bagi membolehkan penyertaannya dalam perjanjian perdagangan Perkongsian TransPasifik [TPP]. Kita boleh membuat kesimpulan bahawa Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama tidak serius mengenai laporan TIP itu, " kata Santiago kepada BeritaBenar yang dihubungi di Kuala Lumpur.
"Malaysia tidak sepatutnya dinaikkan dari tahap terendah laporan itu. Dalam masa kurang 12 bulan, AS menyuarakan nada yang berbeza, " kata Santiago, pengerusi Parlimen ASEAN bagi Hak Asasi Kemanusiaan.
"Dan saya tertanya-tanya mengapa. Menaikkan Malaysia ke Tahap 2 adalah melanggar hak asasi kemanusiaan, " katanya.
Malaysia: Dikecualikan dua tahun berturut-turut
Tahun lalu, Jabatan Negara menurunkan Malaysia ke Tahap 3 daripada Tahap 2 Senarai Pemerhatian AS, dengan berkata negara itu tidak mematuhi sepenuhnya standard minima untuk menghapuskan pemerdagangan manusia.
Jabatan Negara juga memberikan Malaysia pengecualian maksimum berturut-turut bagi laporan TIP 2012 dan 2013 yang menghalangnya daripada penurunan tahap.
Pengecualian tidak lagi diberikan kepada Malaysia yang nampaknya tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mematuhi standard minima, dan oleh itu negara itu diturunkan ke Tahap 3, menurut laporan TIP 2014.
Bagi Roy Michael, Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan Malaysia-Amerika Syarikat, kemungkinan untuk menaikkan taraf Malaysia ke Tahap 2 adalah satu berita yang sangat baik.
“Ini bukan tentang layak atau tidak layak untuk Malaysia dikeluarkan daripada Tahap 3. Malaysia telah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memerangi pemerdagangan manusia dan perkara berkaitan dengan pemerdagangan manusia adalah terikat kepada bidang kuasa multinasional. Tanggungjawab bukan sahaja perlu dilakukan Malaysia, malah semua negara-negara di laluan pemerdagangan manusia perlu memainkan peranan agresif dalam membendung pemerdagangan manusia,” katanya kepada BeritaBenar dari ibu pejabatnya di Washington DC pada Khamis.
Tambah beliau, pelaksanaan program perlindungan imigresen dan sempadan yang kukuh perlu dibuat oleh semua negara berkenaan. Dengan itu, perlu dihadkan permintaan dan penawaran pemerdagangan manusia.
"Selain itu, hubungan Amerika Syarikat dan Malaysia sentiasa kukuh dan sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia boleh memainkan peranan yang tegas untuk menggesa negara-negara anggota ASEAN melaksanakan kod tatalaku yang kukuh," tambahnya.
Bagaimanapun, usaha BeritaBenar untuk mendapatkan maklum balas daripada Menteri Dalam Negeri Malaysia, Ahmad Zahid Hamidi, tidak berjaya kerana difahamkan beliau sedang bercuti dan berada di luar negara.
Kementerian Dalam Negeri Malaysia dalam kenyataan media pada 23 Jun tahun lepas menyebut “Walaupun kedudukan Malaysia telah jatuh ke Tahap 3 dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara AS 2014 itu, ianya bukan gambaran sebenar akan komitmen atau inisiatif yang telah diambil oleh Kerajaan Malaysia bagi menangani jenayah ini.”
Kenyataan itu menambah, Kerajaan Malaysia menyedari akan kekangan yang dihadapinya dalam membanteras jenayah pemerdagangan manusia terutama dari aspek undang-undang yang sedia ada.
Imran Vittachi menyumbang kepada laporan ini.