Tujuh Rangka Mayat Terakhir Mangsa Sindiket Pemerdagangan Manusia Dibawa Keluar
2015.06.08

Polis Malaysia berjaya mengeluarkan tujuh rangka mayat terakhir mangsa sindiket pemerdagangan manusia, sekali gus menamatkan operasi menggali dan mengeluarkan mayat yang bermula sejak 25 Mei lepas.
Ketua Polis Perlis Shafie Ismail berkata tujuh lagi rangka mayat berkafan itu, yang ditemui di tujuh liang kubur di Bukit Genting Perah, telah dibawa turun melalui kawasan Felcra Lubuk Sireh.
Penemuan terakhir itu menjadikan jumlah keseluruhan rangka mayat yang dikeluarkan sehingga hari ini adalah sebanyak 106, katanya.
Kerja-kerja menggali dan mengeluarkan mayat itu bermula di Bukit Wang Burma pada hujung bulan lepas hingga 2 Jun lepas, di mana pasukan forensik polis menemui 35 rangka mayat.
Shafie berkata sebanyak 125 penggalian dilakukan di kawasan berupa kubur di lokasi kedua di Hutan Simpan Mata Ayer bermula Khamis lepas.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 71 rangka mayat berjaya ditemui di lokasi kedua iaitu di Bukit Genting Perah, Hutan Simpan Mata Ayer, Felcra Lubuk Sireh dan 35 lagi rangka mayat ditemui di lokasi pertama iaitu di Bukit Wang Burma,” katanya kepada BeritaBenar pada Isnin di Perlis.
Beliau berkata pada Ahad, sebanyak 30 rangka mayat ditemui di dalam 31 liang kubur (satu kubur kosong) dan dikeluarkan dari kawasan perkuburan di hutan simpan itu.
Pada 5 Jun, 14 rangka mayat berkafan ditemui dalam 12 kubur yang digali di hutan simpan Mata Ayer dan pada Ahad, sebanyak 20 lagi rangka mayat, berkafan ditemui di dalam 20 liang kubur di tempat sama.
Operasi tamat
Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan satu kenyataan media berhunbung perkara itu di Kuala Lumpur pada Isnin.
Kenyataan itu antara lain menyebut: "Dengan penemuan terakhir ini, maka operasi menggali dan mengeluarkan rangka mayat oleh PDRM yang terdiri daripada Pasukan Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah dan Pasukan Gerakan Am ditamatkan hari ini."
Kesemua rangka mayat itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah, untuk proses patologi.
Sementara itu, Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir berkata jenazah mangsa sindiket pemerdagangan manusia etnik Rohingya yang telah dibedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, akan dikebumikan di dalam satu liang lahad di Pokok Sena di negeri itu.
Pejabat Mufti dan Majlis Agama Islam Kedah akan menguruskan kesemua jenazah itu mengikut peraturan dan syarat yang ditetapkan agama memandangkan ada daripadanya dalam keadaan tidak sempurna, katanya.
Jenazah tersebut merupakan sebahagian rangka manusia yang telah dikeluarkan daripada perkuburan sejak polis mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem transit yang diwujudkan sindiket pemerdagangan manusia di sempadan Perlis-Thailand.
Pada 24 Mei lepas, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia di antara Kampung Wai di Kuala Perlis sehingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, kira-kira sepanjang 11 kilometer (6.9 batu).
Perlis ialah negeri paling utara di semenanjung Malaysia dan di sempadan barat negeri itu, ia bercantum dengan Thailand, kawasan yang dikenali sebagai Banjaran Nakawan.
Kesemua kubur yang ditemui itu terletak di dalam Taman Negeri Perlis.
Dalam laporan terdahulu, pegawai Turus Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Perlis Muhammad Bahar Alias berkata kerja penggalian kubur mendapati setiap kubur adalah sedalam 0.4 meter (15.8 inci) di tapak yang dijadikan kem transit haram sindiket pemerdagang manusia di kawasan berbukit hutan itu.
Pada awal Mei lepas, lebih 30 mayat mangsa sindiket pemerdagangan manusia ditemui di sempadan di bahagian selatan Thailand, yang menyebabkan negara itu mengambil tindakan tegas terhadap penyeludupan manusia
Polis Thailand percaya kesemua mayat yang ditemui itu, mati akibat dibiarkan kebuluran oleh sindiket pemerdagangan manusia.
Wilayah selatan Thailand terkenal sebagai pusat transit bagi penyeludupan pendatang haram termasuk Rohingya, orang Islam minoriti yang melarikan diri daripada penganiayaan dan konflik di Myanmar, yang majoriti penduduknya beragama Buddha.
Kem penyeludupan itu terletak di kawasan hutan pergunungan Padang Besar di daerah Sadao, dalam wilayah Songkhla, hanya 300 meter (984 kaki) dari sempadan Malaysia.