Indonesia Hantar Bantahan Rasmi Kepada Malaysia
2015.06.19

Menteri Luar Indonesia Retno LP Marsudi akan mengemukakan bantahan rasmi kepada Malaysia yang tentera jiran itu didakwa menceroboh ruang angkasa dan perairan di wilayah Nunukan, Kalimantan Utara.
"Kami akan memeriksa koordinatnya untuk memastikan samada pesawat dan kapal Malaysia betul-betul berada di wilayah Indonesia," katanya kepada pemberita di Jakarta pada Jumaat.
Retno berkata pihaknya berbincang dengan Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) Ketua Jeneral Moeldoko mengenai perkara itu.
Ambalat yang berada di dalam wilayah Nunukan terletak di sempadan antara pulau Kalimantan, Indonesia dan Sabah, Malaysia.
Akhbar Jakarta Post pada 7 Jun lepas melaporkan Tentera Udara Indonesia memintas sembilan pesawat asing yang terbang secara haram di ruang angkasa Ambalat-Karang Unarang, di Kalimantan Utara.
Laporan itu memetik Panglima Tentera Udara Indonesia yang berpangkalan di Tarakan, Kalimantan Utara, Lt. Kol Tiopan sebagai berkata tentera udara negara itu mengesan jet dan helikopter tentera Malaysia memasuki ruang udara negara itu tanpa sebarang kebenaran.
Selepas kami mengesan mereka dalam radar kami.. kami meminta identiti mereka dan memberi amaran supaya tidak terbang di ruang udara Indonesia," kata beliau.
Akhbar itu turut melaporkan yang Indonesia akan menghantar nota bantahan diplomatik kepada kerajaan Malaysia berkaitan isu pencerobohan ruang angkasa dan perairan negara itu.
“Kami akan menghantar nota bantahan kepada kerajaan Malaysia berhubung pencerobohan wilayah sempadan Indonesia di Nunukan,” kata Menteri Penyelaras Politik, Undang-Undang dan Keamanan Indonesia, Tedjo Edhy Purdijatno, seperti dilaporkan akhbar itu.
“Langkah awal yang dilakukan Indonesia adalah memperketatkan pemantauan serta rondaan di wilayah-wilayah itu yang meliputi banyak pulau, termasuk menempatkan pesawat di pangkalan tentera di Kalimantan Utara.
“Menurut tentera Indonesia, kapal perang (Tentera Laut Diraja) Malaysia dikesan menceroboh perairan Ambalat di Nunukan sebanyak sembilan kali tetapi berjaya dipintas dan diusir,” katanya kepada BeritaBenar di Jakarta pada Jumaat.
Beliau berkata “tindakan provokasi dari negara jiran itu menyebabkan kami memperkuatkan pertahanan laut, udara dan darat di wilayah itu”.
“Kami menambah bilangan aset udara dan laut demi menjaga kedaulatan serta keamanan wilayah sempadan ini,” kata beliau.
Sejarah sebagai bukti
Tedjo Edhy berkata Ambalat merupakan negara Republik Indonesia kerana penyelidikan sejarah membuktikan bahawa daerah itu adalah sebahagian daripada Kesultanan Bulungan di Kalimantan.
“Selain itu, konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) juga mengesahkan bahawa Indonesia telah menyenaraikan Ambalat sebagai milik Indonesia menurut Undang-Undang (UU) Nombor 17 Tahun 1984 Indonesia, dan ini turut diakui dunia ,” tambah Tedjo Edhy.
Dalam perkembangan sama, Menteri Pertahanan Indonesia Ryamizard Ryacudu berkata, tentera Indonesia sudah bersedia melancarkan serangan jika terdapat sebarang bentuk pencerobohan ke atas negara itu.
“Kita telah melancarkan Operasi Perisai Sakti, dan jika mereka memasuki wilayah Indonesia maka kita akan menyerang. Tentera kita tahu bagaimana untuk menjaga wilayah negara," kata Menteri itu, yang juga bekas Panglima Tentera Indonesia.
Ambalat adalah kawasan maritim seluas 15.235 kilometer persegi yang terletak di luar pantai Kalimantan Utara. Indonesia dan Malaysia mendakwa kawasan itu milik mereka.
Pada 2009, kedua-dua negara terbabit dalam pertikaian Ambalat, dengan kerajaan Indonesia menuduh negara jirannya itu menceroboh sempadannya beberapa kali.
Indonesia dan Malaysia bersetuju untuk membuka semula perbincangan diplomatik bagi menyelesaikan pertikaian itu, setahun kemudian.