SPRM Tahan 21 Pekebun Sayur Di Cameron Highlands

Oleh staff Berita Benar
2015.07.01
150701-MY-CAMERON620 Notis yang dikeluarkan oleh Pengarah Perhutanan Negeri Pahang memerintahkan supaya menghentikan semua kerja-kerja membajak, menanam dan lain-lain aktiviti yang berkaitan serta mengosongkan tanah dengan segera di sebuah ladang haram di Cameron Highlands. Cameron Highlands merupakan destinasi pelancongan yang pertama di Malaysia sejak awal pemerintahan British lagi. 19 November 2013.
AFP

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seramai 21 pekebun sayur dalam ‘Ops Sejuk” kerana dipercayai cuba memberi rasuah kepada anggota penguatkuasa bagi meneruskan aktiviti penerokaan tanah secara haram di Cameron Highlands, Pahang pada Khamis.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Mohd Shukri Abdull berkata kesemua mereka yang berusia antara 20 dan 68 tahun ditahan serentak di beberapa lokasi di kawasan tanah tinggi itu termasuk di Tanah Rata, Ringlet, Tringkap, Brinchang dan Kampung Raja.

Cameron Highlands merupakan sebuah pusat peranginan tanah tinggi yang terletak di barat daya negeri Pahang, sebuah negeri yang kaya dengan khazanah hutan semula jadi. Tanah tinggi itu terkenal dengan pengeluaran hasil tanaman seperti teh, buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga-bungaan yang bermutu tinggi yang jarang didapati ditempat lain di Malaysia.

Pada tahun lalu, lima orang terkorban manakala 90 orang lagi dilaporkan hilang tempat tinggal akibat banjir lumpur yang melanda tanah tinggi itu, susulan penerokaan tanah secara haram.

Pendatang adalah peneroka tanah

Penerokaan haram itu dipercayai dilakukan oleh penguasaha kebun yang kebanyakannya terdiri daripada pendatang tanpa izin.

Mereka itu dipercayai memberi rasuah kepada penguatkuasa di tanah tinggi itu bagi melindungi kegiatan haram mereka.

Berikutan itu, SPRM telah menempatkan anggotanya di beberapa agensi di Cameron Highlands untuk memantau pegawai penguatkuasa tempatan serta pihak yang berurusan dengan mereka.

Mohd Shukri berkata, SPRM telah menjalankan siasatan berhubung kegiatan ini sejak enam bulan lepas, dan berjaya mendedahkan aktiviti penerokaan tanah secara haram di tanah tinggi  yang masih berleluasa.

Sehubungan itu, katanya suruhanjaya berkenaan melancarkan ‘Ops Sejuk’ dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara selama dua hari yang berakhir pada Rabu di mana mereka berjaya menahan seramai 16 orang di premis masing-masing dan lima orang lagi menyerah diri di Pejabat SPRM Perak pada Khamis.

Tangkapan itu melibatkan kegiatan rasuah yang berlaku di Ringlet (sembilan orang), Tanah Rata (seorang), Tringkap (dua orang), Brinchang (seorang), Kampung Raja (enam orang), Kuala Terlah (seorang) dan Kampar (seorang).

"Ini termasuk penerokaan tanah secara haram, melanggar syarat Lesen Pendudukan Sementara, melindungi pendatang asing tanpa izin dan menyimpan racun tidak berjadual," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, seorang warga Bangladesh berusia 42 tahun yang turut ditahan dipercayai telah menetap di Malaysia selama 10 tahun.

“Lelaki itu  mempunyai kepentingan dalam sebuah syarikat di Cameron Highlands yang bernilai RM500,000 dan memberi habuan kepada beberapa pegawai penguatkuasa untuk memastikan kegiatan pencerobohan haram tidak diambil tindakan,

"Pekebun-pekebun sayur yang aktif di kawasan seluas lebih 41 hektar itu didapati membayar rasuah sehingga RM30,000," katanya.

Beliau menambah kesemua mereka yang ditahan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Mohd Shukri berkata, mereka yang ditahan telah dilepaskan dengan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mengulas lanjut, Mohd Shukri menegaskan bahawa SPRM dalam perkara ini hanya menjalankan siasatan dari segi kesalahan rasuah manakala isu penerokaan haram dan pendatang tanpa izin adalah di bawah bidang kuasa agensi-agensi yang berkaitan.

"Isu ini telah lama sejak tahun lalu dan tindakan lebih tegas perlu diambil pihak penguatkuasa bertanggungjawab dan tidak dibiarkan begitu sahaja. Ini termasuk tindakan penguatkuasaan berkaitan Akta Racun dan Pendatang Tanpa Izin," katanya.

Mohd Shukri berkata , SPRM sedia berkongsi maklumat dengan agensi lain bagi memastikan permasalahan yang berlaku dapat diselesaikan sehingga ke akar umbi.

H.Aleeya menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.