Pakatan Pembangkang Malaysia Berpecah
2015.06.16

Ahli paling kuat dalam pakatan pembangkang Malaysia pada Selasa menarik diri daripada Pakatan Rakyat lantas mengakhiri perikatannya selama tujuh tahun dengan dua lagi parti pembangkang serta mengeruhkan suasana politik di Malaysia.
Parti Tindakan Demokratik (DAP) keluar daripada pakatan itu, sebagai tindak balas terhadap resolusi rakan pembangkangnya Parti Islam Se-Malaysia (PAS), pada muktamarnya awal bulan ini, untuk memutuskan hubungan dengan DAP, kata Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng pada Selasa.
Kegagalan Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk berunding dengan sekutunya dalam pakatan itu berhubung kontroversi hukuman yang ditetapkan di bawah undang-undang syariah dikenali sebagai hudud. Undang-undang tersebut yang cuba dilaksanakan oleh PAS di Kelantan, negeri pantai timur yang dikuasainya, merupakan satu lagi faktor yang menyumbang kepada perpecahan itu.
Justeru itu, PAS telah melanggar protokol yang dipersetujuinya dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) semasa membentuk Pakatan Rakyat pada April 2008, yang berpegang kepada prinsip persetujuan bersama dan saling mempercayai, kata Guan Eng dalam satu kenyataan.
“Kemungkiran janji Hadi ini, disusuli dengan keputusan utama yang dibuat pada 6 Jun lepas apabila Muktamar PAS, perhimpunan agung yang merupakan badan pembuat keputusan tertinggi parti itu, menerima tanpa membahaskan satu usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP," kata Guan Eng , Ketua Menteri Pulau Pinang.
"Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP menerima usul Muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP dan berkuatkuasa daripada itu, Pakatan Rakyat tidak lagi wujud," katanya.
"Oleh kerana Pakatan Rakyat dibentuk oleh tiga parti berkenaan berdasarkan konsensus dan terikat dengan Rangka Kerja Polisi Bersama, usul Muktamar PAS dengan cara berkesan telah membunuh Pakatan Rakyat. Oleh itu Pakatan Rakyat tidak lagi wujud," katanya.
'Masih dengan Pakatan'
Dalam reaksi terhadap pengumuman DAP itu, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang mengetuai Dewan Pemuda PAS, berkata Pakatan Rakyat masih utuh secara teknikalnya kerana rakan sekutu PKR masih belum membuat keputusan berhubung pakatan itu.
"Kami masih dengan Pakatan. Keputusan DAP itu, tidak membubarkan gabungan ini. Itu adalah keputusan DAP, dan kami tidak akan meninggalkan PR," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada hari Selasa, menurut The Malaysian Insider.
Kemudian, pemimpin PAS dan PKR mengadakan mesyuarat tergempar yang berlangsung hingga ke pagi Rabu (waktu tempatan). Pemimpin PAS bagaimanapun tidak memberi ulasan umum mengenainya tetapi Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail mengeluarkan kenyataannya.
"PKR percaya adanya keperluan mendesak untuk mengkaji semula bentuk kerjasama ini yang bertujuan mengukuhkan gabungan parti-parti politik yang berpegang kepada satu polisi progresif dan bersama Pakatan Rakyat," kata Wan Azizah.
"Masalah yang wujud dalam Pakatan Rakyat memerlukan perhatian segera daripada pemimpin-pemimpin dan harus ditangani dengan kebijaksanaan terbaik," katanya dalam kenyataan itu.
Kemelut goncangkan politik
Pengumuman DAP pada Selasa, untuk keluar daripada pakatan pembangkang menyebabkan kemelut politik tidak menentu di peringkat nasional.
Barisan pakatan pembangkang itu, berjaya memenangi undi popular dalam pilihan raya umum 2012, namun barisan parti pemerintah dan Perdana Menteri Najib Razak masih terus memegang tampuk kuasa melalui amalan "gerimander" atau memanipulasi kawasan-kawasan pilihan raya.
Tindakan DAP keluar daripada pakatan itu juga memberi kesan di peringkat negeri. Akibatnya, keseimbangan kuasa politik kini retak di Selangor dan Pulau Pinang, di mana Pakatan Rakyat menguasai badan perundangan negeri itu.
Di peringkat persekutuan DAP, yang keahlian besarnya terdiri daripada kaum minoriti Cina Malaysia, memiliki 37 kerusi di Parlimen berbanding 28 dan 21 kerusi yang masing-masing disandang oleh PKR dan PAS.
Sejak beberapa bulan lepas, DAP dan PAS bertegang leher berhubung isu hudud.
PAS menggesa supaya hudud dilaksanakan di Kelantan, negeri yang dikuasainya, untuk umat Islam sahaja. Mengikut hudud, pesalah akan menghadapi hukuman keras di bawah undang-undang syariah termasuk pemotongan tangan dan direjam dengan batu.
Para pengkritik, bagaimanapun, telah memberi amaran bahawa hukuman syariah di peringkat negeri itu boleh menyebabkan negara berpecah-belah berdasarkan agama dan perkauman.
DAP dan PKR, yang ahlinya terdiri daripada pelbagai kaum, telah berbalah dengan PAS berikutan keengganan parti Islam itu untuk meletakkan Presiden PKR Wan Azizah sebagai calon pilihan raya kecil Permatang Pauh baru-baru ini.
"Keputusan bahawa (Pakatan Rakyat) tidak lagi wujud bukan satu tindakan menyerah kalah tetapi untuk mengiktiraf realiti yang disokong oleh harapan dan keyakinan masa depan," lapor The Malaysian Inisider sambil memetik Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang, bapa Guan Eng, sebagai berkata dalam satu kenyataan pada Selasa.
Kini, terdapat peluang untuk "penyusunan semula kuasa politik" di Malaysia menjelang pilihan raya umum akan datang, yang jangka diadakan pada awal 2017, kata Lim.
"Rakyat Malaysia perlu meneruskan kehidupan, kerana tiada gunanya untuk mengalah kepada polemik, dengan menghidupkan semula harapan rakyat Malaysia yang mahukan perubahan dan meyakinkan mereka bahawa kemungkinan itu masih membara dan relevan untuk pilihan raya umum ke-14," katanya.
H. Aleeya dan Hata Wahari menyumbang kepada laporan ini.