Polis Malaysia Batal Program Dialog Perdana Menteri

Oleh Hata Wahari
2015.06.05
150605-MY-1MDB620 Perdana Menteri Malaysia Najib Razak menyaksikan majlis bertukar dokumen pada satu majlis perjanjian perniagaan antara 1Malaysia Development Berhad dan Grid Corporation dari China di Kuala Lumpur. 11 Januari 2010.
AFP

Program Dialog bersama Perdana Menteri Najib Razak dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, pada Jumaat dibatalkan pada saat akhir kerana didakwa berlaku kekecohan di luar dewan itu.

Arahan pembatalan majlis dialog Nothing2Hide dibuat oleh Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar menerusi laman twitternya @KBAB51, kira-kira pukul 8.53 pagi.

Program anjuran Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam) itu, bertujuan memberi peluang kepada Najib untuk merungkaikan segala persoalan rakyat termasuk menjawab pelbagai persepsi negatif yang dilemparkan terhadapnya.

Kebelakangan ini pelbagai isu mengenai pengurusan dan kewangan negara di bawah perdana  menteri itu,  sering dikritik oleh bekas perdana menteri Mahathir Mohamad yang tidak puas hati dengan cara kerja perdana menteri itu.

Antara isu yang sedang hangat diperkatakan ialah 1IMDB, yang dipercayai menanggung hutang sebanyak RM42 billion  oleh syarikat pelaburan strategik negara itu.

Pelbagai dakwaan dan spekulasi dilontarkan oleh banyak pihak bahawa RM27 bilion daripada sejumlah RM42 bilion telah 'hilang' atau 'lesap'.

Kerajaan Malaysia bagaimanapun menafikannya.

Beri peluang tanya soalan terus

Sementara itu, Pengerusi SukaGuam Khairul Anwar berkata program itu dijadualkan bermula pada pukul 10 pagi bertujuan untuk memberi peluang kepada mereka yang hadir bertanya soalan secara terus kepada Perdana Menteri termasuk isu-isu kontroversi seperti 1MDB dan urusan pembelian tanah oleh Tabung Haji.

Bagaimanapun, sebelum membatalkan program itu, penganjur mengumumkan penangguhan sesi dialog, dan meneruskan majlis tanpa kehadiran perdana menteri.

Pengajur memberi peluang kepada bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad untuk berucap kepada hadirin yang setia menanti, dan tidak berganjak, walaupun ketua polis negara telah mengeluarkan arahan supaya majlis itu dibatalkan.

Mahathir dalam ucapannya mengulangi dakwaan mengenai dasar yang dianjur oleh perdana menteri Najib Razak tidak membawa kebaikan kepada negara terutamanya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau juga mendakwa Najib terlalu tunduk kepada kuasa besar lain dalam urus tadbir negara sehingga perlu bertanya sebelum membuat keputusan.

“Jadi, adakah negara kita masih lagi dijajah. Saya nampak seolah-olah negara kita masih lagi dijajah.

"Rancangan dan polisi lama dibatalkan dan diganti dengan dasar-dasar baharu ciptaannya sendiri yang saya tidak bersetuju," katanya

"Saya bukan perdana menteri, masa saya sudah habis. Ini masa Datuk Seri Najib dan saya tidak harus ganggu. Dan saya bertahan hati sekian lama.

"Tetapi apabila ia melibatkan kehilangan berbilion ringgit, saya dapati ia tidak boleh dibenarkan kerana perbuatan ini dibuat secara sulit dan tidak diberitahu kepada rakyat," katanya.

Sepuluh minit selepas berucap, seorang pegawai polis menghampiri Mahathir dan meminta agar bekas perdana menteri itu berhenti berucap dengan penuh berhemah,  kerana mendakwa majlis itu tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Maklumat tidak hadir di laman Facebook

Pejabat Perdana Menteri dalam laman Facebooknya Jumaat memaklumkan Najib tidak hadir program dialog itu kerana faktor keselamatan atas nasihat ketua polis negara, pada kira-kira pukul 12 tengahari.

Sementara itu, Khalid di satu sidang media pada pukul 5 petang, berkata polis telah menerima maklumat di saat akhir, mengenai ancaman keselamatan dan ketenteraman awam.

Katanya, terdapat ancaman daripada dua kumpulan yang tidak sehaluan merancang untuk  kekecohan semasa majlis dialog yang dijadualkan itu.

Khalid bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat lanjut mengenai dua kumpulan berkenaan sebaliknya menegaskan maklumat itu adalah sahih.

"Arahan pembatalan ini saya keluarkan mengikut Seksyen 103 Kanun Prosedur Jenayah selepas mendapat maklumat terdapat ancaman keselamatan yang cukup serius, walaupun keputusan itu tidak disenangi Perdana Menteri pada awalnya," kata Khalid pada persidangan media di Kuala Lumpur.

Dianggarkan 1,500 peserta daripada badan bukan kerajaan dan aktivis hadir sejak 9 pagi ini untuk berdialog dengan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Najib dalam status akaun Facebook lewat petang itu, menulis : "Saya sentiasa bersedia dan komited untuk berjumpa dan berdialog dengan badan-badan bukan kerajaan bagi membicarakan perkara berkaitan negara dan masyarakat.

"Apapun perjumpaan dan dialog tersebut hendaklah berjalan dalam suasana yang tenang dan baik agar membawa kepada perbincangan yang berfaedah pada kita semua. Jika kita ikhlas dan bersikap terbuka perbincangan dan dialog boleh bawa kebaikan bersama."

Bagaimanapun, pengguna laman sosial itu mencemuh Najib dengan pelbagai kritikan kononnya beliau ‘takut’ untuk menghadiri majlis dialog sebelum ianya dibatalkan oleh pihak polis itu.

Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi yang diminta mengulas mengenai pembatalan majlis dialog itu oleh Ketua Polis Negara berkata pembatalan program itu bukan atas arahan beliau atau Perdana Menteri.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar membuat keputusan itu berdasarkan aspek keselamatan susulan maklumat awal akan berlaku beberapa insiden yang tidak diingini di majlis tersebut.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.