Malaysia Tempatkan Pendatang Di Empat Depoh Lain
2015.05.28

Malaysia akan memindahkan seramai 1,369 pedatang tanpa izin yang berada di Depoh Tahanan Imigresen Belantik di Sik, Kedah ke empat depoh tahanan lain bagi memberi ruang yang lebih selesa di depoh itu
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata tahanan pelbagai warganegara itu akan dipindahkan ke depoh tahanan Imigeresen Ajil di Hulu Terengganu, Terengganu, Machap Umboo (Melaka), Bukit Jalil (Kuala Lumpur) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang.
"Mereka aka dipindahkan dalam masa terdekat disebabkan depoh Belantik hanya dapat menampung 1,000 orang tahanan.
“Sekarang depoh ini terpaksa menampung dua kali ganda daripada jumlah sepatutnya, iaitu kira-kira 2,869 orang tahanan yang berada di kem pada masa ini,” katanya.
Pada 10 Mei lalu, seramai 1,018 orang pendatang dari Myanmar dan Bangladesh mendarat dengan bot di pantai Pulau Langkawi, Kedah. Kesemua mereka ditahan oleh pihak berkuasa dan dibawa ke depoh imigresen Belantik.
“Jumlah 2,869 orang itu termasuklah penghuni lama depoh berkenaan dan kerajaan mengambil keputusan untuk mengurangkan jumlah pendatang kepada 1,500 orang saja di Belantik, dengan harapan ia mampu memberi keselesaan kepada pelarian Rohingya ini," katanya.
Pemeriksaan kesihatan
Sementara itu, Wan Junaidi berkata saringan kesihatan turut dijalankan, dengan bantuan 10 orang sukarelawan dari Jabatan Kesihatan untuk mengesan dan merawat penyakit yang dihadapi pelarian Rohingya.
“Saringan kesihatan dan pemeriksaan awal mendapati ramai daripada mereka dikesan menghidap penyakit kulit, demam, batuk dan tekanan darah rendah.
“Ini mungkin disebabkan oleh perjalanan yang jauh dan lama, serta diberi makan nasi putih dan minum air laut sepanjang mereka berada di dalam bot, kata Wan Junaidi.
"Di sini mereka diberi makan empat kali sehari dan sebanyak RM6.50 diperuntukkan untuk setiap seorang. Kita yakin mereka akan pulih dengan cepat selepas diberi makanan dan rawatan yang diperlukan selain depoh ini turut menyediakan fasiliti yang lengkap untuk kegunaan mereka," katanya.
Beliau berkata setakat ini terdapat 12 Depoh Tahanan Imigresen di Semenanjung.
"Kita tidak menggalakkan kedatangan pendatang asing secara beramai-ramai, namun jika ada yang mendarat seperti pelarian Rohingya, mereka akan ditempatkan di 12 depoh ini," katanya.
Dua kem PLKN disediakan
Dalam perkembangan yang sama, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata dua kem Pusat Latihan Khidmat negara (PLKN) di Kedah iaitu Kem Rimba Taqwa di Sik dan Kem Rekreasi Belia di Baling akan turut dijadikan pusat penempatan sementara bagi pelarian Rohingya.
Katanya kedua-dua kem berkenaan, boleh memuatkan kira-kira 400 orang pelarian.
Beliau berkata penempatan pelarian di kem PLKN merupakan penyelesaian jangka pendek dengan penyelesaian jangka masa panjang perlu direalisasikan bagi mengatasi masalah pelarian Rohingya ini.
Mengenai kawalan di Selat Melaka, Hishammuddin berkata, Tentera Laut Diraja Malaysia telah menggerakkan empat kapal dengan kekuatan 350 orang anggota bagi melaksanakan operasi menyelamat dan memberi bantuan kepada pelarian Rohingya yang kini berada di lautan.
Beliau berkata kapal itu ialah KD Kasturi, KD Lekir, KD Ledang dan KD Laksamana Tun Abdul Jamil yang ketika ini sedang mempergiatkan rondaan di kawasan yang terlibat dan bersedia memberikan bantuan yang diperlukan kepada pelarian Rohingya.
Lagi rangka mayat ditemui
Dalam pada itu, Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan pasukan forensik polis menemui 13 rangka mayat dipercayai mangsa pemerdagangan manusia di kawasan perkuburan, Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis.
Penolong Ketua Urus Setia Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia Asmawati Ahmad berkata sebanyak sembilan lagi rangka mayat dibawa turun dari hutan berkenaan pada Khamis malam.
"Kesemua rangka yang dijumpai dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah untuk tindakan lanjut oleh pakar patologi, katanya sambil menambah, kerja-kerja membawa keluar rangka mayat dari lokasi itu akan diteruskan.
Isnin lepas, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem sementara kepunyaan sindiket pemerdagangan manusia antara Kampung Wai di Kuala Perlis hingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, sejauh 11 kilometer (6.9 batu).