“Yassin” Diekstradisi Ke Malaysia
2015.06.22

Malaysia akan membawa dipercayai dalang utama sindiket pemerdagangan manusia yang dikenali sebagai “Yassin” ke muka pengadilan selepas proses mengekstradisi di Thailand selesai, kata Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata “Yassin”, seorang lelaki warga Rohingya berusia 30 tahun itu, telah ditahan oleh pihak berkuasa Thailand baru-baru ini, dan kerajaan Malaysia kini sedang dalam proses mengekstradisi lelaki berkenaan.
"Ekstradisi sudah dijalankan dan sedang diusahakan. Kita akan lakukan pendakwaan apabila Yassin dibawa ke mari (Malaysia) mengikut undang-undang negara, " katanya seperti dilaporkan oleh Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada Sabtu.
Bagaimanapun beliau tidak memaklumkan bila “Yassin” akan dibawa ke Malaysia.
Sepasukan polis elit dibawah penyelarasan Bukit Aman yang terdiri daripada Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc), Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) dan Cawangan Khas, difahamkan telah berada di Thailand, sejak minggu lepas, dalam usaha mengesan dalang sidiket itu, untuk dibawa ke muka pengadilan mengikut undang-undang Malaysia.
Pada Mei lepas, Malaysia digemparkan dengan penemuan 139 kubur yang dikesan pihak berkuasa di 28 kem transit yang dibina oleh sindiket pemerdagangan manusia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian.
Setakat ini, 106 mayat dilaporkan telah dijumpai.
Ahmad Zahid minggu lepas, mengumumkan yang pihak berkuasa Thailand telah menyerahkan beberapa dalang sindiket pemerdagangan manusia kepada Malaysia.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sebenar dalang yang ditahan itu, sebaliknya berkata kegiatan itu tidak mungkin dilakukan oleh seorang dalang.
Ekstradisi rakyat Malaysia
Ketika ini, Ahmad Zahid berkata kerajaan Malaysia juga sedang bekerjasama dengan pihak kerajaan Bangladesh dan Myanmar untuk mengekstradisi rakyat Malaysia, yang terlibat dengan pemerdagangan manusia, yang bersembunyi di negara-negara berkenaan.
"Tangkapan sudah dibuat terhadap warganegara Malaysia, dan Thailand pun sudah tangkap warganegara mereka. Kami akan ambil tindakan undang-undang dan mendakwa mereka di mahkamah," katanya.
Menteri berkenaan turut mengesahkan beberapa tangkapan telah dibuat terhadap rakyat Malaysia yang disyaki terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia oleh pasukan penguatkuasa negara itu sejak beberapa hari lepas.
"Bukan sahaja waran tangkap tapi tangkapan juga telah dilakukan," katanya selepas ditanya sama ada waran tangkap telah dikeluarkan terhadap rakyat Malaysia yang disyaki terlibat dalam sindiket itu.
Beliau bagaimanapun enggan menyebut jumlah sebenar waran tangkap yang telah dikeluarkan.
"Tak perlu sebut jumlah, tetapi ia satu jumlah munasabah mengikut laporan dan siasatan yang kita lakukan," katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Ahmad Zahid Hamidi berkata perjanjian 'General Border Committee Meeting Malaysia-Thailand' (Mesyuarat Am-Jawatankuasa Sempadan Malaysia-Thailand) akan dikaji semula bagi meningkatkan keupayaan kawalan keselamatan di sempadan kedua-dua negara.
"Kajian semula ini perlu diberi keutamaan kerana jika dilihat khemah sementara yang dibina di sempadan Wang Kelian tidak dapat diakses dan dijejaki oleh pihak berkuasa Malaysia.
"Ia disebabkan kecuraman dan kawasan yang tidak munasabah oleh hukum manusia untuk sampai dari sempadan Malaysia, sebalikya ia lebih hampir dan boleh dimasuki dari Thailand," katanya di lobi Parlimen pada Isnin.
Sementara itu, pada Isnin, kerajaan negeri Kedah telah mengebumikan 21 jenazah mangsa pemerdagangan manusia di Wang Kelain, di tanah perkuburan khairiah Kampung Tualang di daerah Pokok Sena.
Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir berkata, kesemua 21 jenazah mangsa jenayah pemerdagangan manusia di Wang Kelian di tanah Perkuburan Khairiah Kampung Tualang di daerah Pokok Sena.
Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir berkata kesemua 21 jenazah, terdiri daripada 19 lelaki dan dua wanira mangs jenayah pemerdagangan manusia yang merupakan kumpulan pertama daripada kesemua 106 mayat yang ditemui di kedua-dua kem transit haram di sempadan Malaysia-Thailand itu.
Katanya baki 85 jenazah yang lain akan dikebumikan secara berperingkat selepas proses bedah siasat selesai dengan kumpulan kedua 28 jenazah mangsa bakal dikebumikan di lokasi sama pada 29 Jun ini.
"Kita berharap dengan pengebumian hari ini akan menyebabkan negara-negara ASEAN berusaha mencari penyelesaian berpanjangan terhadap isu ini (jenayah pemerdagangan manusia)," katanya.
Adie Suri Zulkiflli dan H. Aleeya menyumbang kepada laporan ini.