Indonesia: Penduduk Aceh Kritik Bekas Pemberontak Mahu Sertai IS
2015.07.13

Pemimpin masyarakat di wilayah Aceh Indonesia menggesa sekumpulan bekas gerila Gerakan Aceh Merdeka (GAM) supaya membatalkan rancangan mereka menyertai kumpulan pelampau Negara Islam (IS).
"Mereka perlu menimbang semula rancangan mereka dengan lebih menyeluruh kerana ia boleh mendatangkan akibat buruk berbanding manfaat kepada mereka," kata Yusni Sabi, yang mengetuai Forum Penyelarasan bagi Pencegahan Keganasan di Aceh, sebuah NGO tempatan, kepada BeritaBenar.
"Jika mereka berkeras mahu pergi, ia akan memberi kesan negatif kepada Aceh. Oleh itu, semua pihak berkepentingan perlu mendekati (memujuk) bekas pemberontak GAM untuk membatalkan rancangan mereka," katanya.
Yusni, salah seorang pemimpin wilayah, memberikan pandangannya kepada BeritaBenar mengenai bekas pejuang GAM, Fakhruddin Bin Kasem, yang berkata bahawa beliau dan 100 bekas gerila Aceh berharap dapat melarikan diri daripada kemiskinan di Aceh dan menyertai IS di Syria.
“Saya dan 100 rakan (yang) merupakan bekas pejuang GAM bersedia pergi ke Syria untuk menyertai IS, kerana tiada apa lagi yang boleh kami lakukan di Aceh untuk menanggung keluarga kami," kata Fakhruddin, 35, bekas timbalan komander kumpulan gerila di Aceh Timur Kabupaten, wilayah Aceh, kepada BeritaBenar.
Mendaftar dengan IS membolehkan beliau menggunakan kepakarannya dalam pertempuran, bersama kumpulan itu, yang mengisytiharkannya sebagai khalifah di bahagian Iraq dan Syria, serta memperdalakan pengetahuannya tentang Islam, katanya.
'Terdesak'
Fakhruddin memberitahu BeritaBenar bahawa veteran perang Aceh telah diabaikan oleh kerajaan wilayah itu, yang menjadi sebab utama beliau menjadi pejuang jihad bergaji kerana keluarganya kini dalam keadaan terdesak dan kemahiran beliau hanyalah untuk berjuang.
"Saya tahu bahawa menjadi pejuang IS akan dibayar. Oleh itu, saya dan pejuang GAM lain berminat menyertainya, supaya kami boleh menanggung keluarga kami," katanya.
Fakhruddin mendakwa, pentadbiran wilayah Aceh telah mengabaikan veteran perang walaupun Gabenor Zaini Abdullah dan Timbalan Gabenor Sudirman Manaf adalah bekas anggota GAM.
Cemar Nama Baik Islam
Yusni, yang juga seorang profesor di Universiti Islam Negeri Ar-Raniry di Banda Aceh, berkata IS, melalui reputasinya yang sangat ganas, adalah musuh yang telah mencemarkan nama baik Islam.
"Islam adalah agama yang penuh belas ihsan. Islam adalah agama yang memaafkan. Islam mencintai keamanan. Dalam ajaran Islam, tidak ada tahanan yang harus dicederakan, apatah lagi dibunuh tanpa perbicaraan sah seperti apa IS lakukan, "katanya, merujuk kepada hukuman kejam IS terhadap banduan.
Doktrin yang didukung oleh kumpulan pelampau itu tidak sesuai dengan amalan Islam di Aceh, kata Teungku Faisal Ali, ketua piagam Nahdatul Ulama (NU) Aceh, satu daripada organisasi Islam utama di Indonesia.
Kesediaan bekas pejuang GAM untuk menyertai kumpulan pelampau itu adalah "satu bentuk keadaan yang terdesak," katanya, kerana mereka berfikir bahawa kerajaan Aceh tidak memberi perhatian yang cukup terhadap mereka.
"Bagaimana kita boleh mengatakan bahawa kita mempertahankan Islam apabila kita berputus asa? Islam melarang perasaan putus asa terhadap rahmat Allah. Tanah Aceh adalah luas dan masih banyak perkara yang boleh dilakukan untuk menanggung keluarga mereka,"kata Faisal yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Perundingan Ulama Aceh, sebuah badan ulama.
Ketika diminta mengulas mengenai tuntutan Fakhruddin yang mahu menyertai IS bagi mendalami kefahamannya tentang Islam, Faisal menepis dakwaan itu.
Terdapat banyak sekolah-sekolah Islam di Aceh, di mana orang seperti Fakhruddin boleh belajar tentang Islam jika mereka serius mahu berbuat demikian.
"Terdapat ramai ulama di Aceh yang boleh mengajar bahawa Islam mencintai keamanan dan menghormati antara satu sama lain dengan cara yang lebih baik berbanding sekolah-sekolah di Syria," kata Faisal.
Tiada Kemahiran Lain Selain 'Berjuang'
Sementara itu, bekas jurucakap GAM di Kecamatan Peureulak, Aceh Timur, Kafrawi, mengesahkan kepada BeritaBenar bahawa Fakhruddin adalah bekas pejuang.
"Kerajaan tempatan di Aceh tidak memberi perhatian terhadap bekas pejuang GAM. Oleh itu, apabila pihak-pihak lain (seperti IS) memberi harapan bagi kehidupan yang lebih baik, mereka berminat," kata Kafrawi.
"Saya hanya lulus sekolah rendah. Saya tidak mempunyai apa-apa kepakaran. Kemahiran saya hanya untuk berjuang," katanya.
Jika beliau dan yang lain tinggal di Aceh, mereka akan menjadi beban kepada masyarakat, yang telah pun memandang rendah kepada mereka kerana kurang kemahiran serta tahap pendidikan yang rendah.
Akibatnya, ramai bekas anggota GAM terbabit dengan jenayah, masalah yang semakin berleluasa sejak beberapa tahun ini.
"Apabila kami mencari kerja binaan, kadang-kadang kontraktor tidak (mahu mengambil bekerja) kerana kami adalah bekas pejuang GAM. Orang juga mempersoalkan mengapa kami perlu menjadi pekerja kolar biru sedangkan pejuang GAM lain telahpun menikmati kemakmuran," kata Fakhruddin.
Selama 30 tahun, GAM berjuang menentang angkatan tentera Indonesia dalam perang pemisahan yang berakhir dengan perjanjian yang ditandatangani di Helsinki pada Ogos 2005, di mana Jakarta bersetuju memberikan autonomi kepada Aceh.
Mencabar Polis
Menurut Fakhruddin, beliau bersedia menerima akibat daripada keputusan itu.
"Jika polis mahu memeriksa saya, teruskan. Saya bersedia. Polis boleh datang ke rumah saya dan melihat keadaan saya dan keluarga saya," tambahnya.
Beliau dan veteran GAM lain telah mendapatkan bantuan dan nasihat daripada Pasukan Peguam Muslim (TPM), sebuah kumpulan bantuan guaman.
Safaruddin, ketua pejabat TPM di Aceh, mengesahkan bahawa beliau telah bertemu dengan Fakhruddin dan berpuluh-puluh bekas rakan pejuangannya.
"Dalam setiap pertemuan, mereka menyatakan kesungguhan menyertai IS kerana kepakaran mereka (dalam) peperangan," kata Safaruddin kepada BeritaBenar.
"Mereka juga berkata, daripada melakukan jenayah di Aceh, adalah lebih baik mereka berjuang untuk IS, supaya mereka boleh menanggung isteri-isteri dan anak-anak mereka."
Tidak Masuk Akal
Dalam usaha mereka ke Syria, Fakhruddin dan rakan-rakannya telah mendapatkan bantuan daripada kumpulan bantuan guaman Islam tempatan, kata pegawai tingginya kepada BeritaBenar.
Pada Khamis, Ketua Polis Aceh Husein Hamidi memberitahu wartawan bahawa pihaknya akan menahan sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang, tetapi tiada seorangpun daripada bekas pejuang GAM yang melakukan jenayah, katanya.
Beliau menafikan laporan bahawa sekumpulan penduduk tempatan merancang menyertai IS.
“Tidak ada perkara seperti itu. Apa orang Aceh fikirkan sekarang ialah meraikan sambutan Aidilfitri dengan selamat. Hanya ada beberapa orang yang tidak menentu, jadi, tidak apalah, "katanya.
Aryos Nivada, seorang pakar politik dan keselamatan Aceh, berkata apa yang Fakhruddin dan rakannya rancangkan adalah perkara yang tidak masuk akal kerana masyarakat antarabangsa dan kerajaan Indonesia menolak IS.
"Saya tidak fikir bekas gerila GAM bersedia meninggalkan keluarga mereka di Aceh kerana pemergian mereka akan hanya membebankan keluarga," kata Aryos kepada BeritaBenar.
"Saya yakin IS tidak akan mendaftarkan mereka dalam kumpulan itu kerana idea GAM adalah sekular manakala IS mahu mewujudkan khalifah Islam. Ini belum lagi tentang alasan ekonomi. IS pasti pantas menolak mereka," kata Aryos.
Ismira Lutfia Tisnadibrata menyumbang kepada laporan ini.