Jenazah 21 Mangsa Pemerdagangan Manusia Selamat Disemadikan
2015.06.22
Suasana sedih menyelubungi tanah perkuburan khairiah Kampong Tualang, di daerah Pokok Sena, Kedah semasa pengebumian kumpulan pertama 21 daripada 106 jenazah mangsa pemerdagangan manusia warga Rohingya dan Bangladesh pada Isnin.
Proses pengebumian kumpulan pertama itu, melibatkan 19 jenazah lelaki yang dikebumikan dalam satu liang lahad, manakala jenazah dua wanita disemadikan di dalam liang lahad berasingan.
Kedua-dua liang lahad itu tertelak bersebelahan.
Lima buah trak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa kesemua keranda kayu daripada Hospital Sultanah Bahiyah, di Alor Star ke tanah perkuburan itu, dengan diiringi motosikal peronda polis.
Pengebumian kesemua jenazah itu bermula seawal 9.30 pagi dan pengurusannya dikendalikan oleh Majlis Agama Islam Kedah bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan PDRM.
Lebih 500 orang terdiri daripada warga Rohingya, Bangladesh, orang tempatan dan kakitangan agensi kerajaan yang terlibat dalam proses pengebumian itu, berada di tanah perkuburan itu.
Kawasan itu, turut dikawal ketat oleh anggota polis.
Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir menghadiri majlis tahlil sejurus selepas pengebumian selesai dilakukan.