‘Kambing Hitam’ Dalam Pasukan Polis

Oleh Hata Wahari
2015.06.04
150604-MY-IGP620 Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar semasa persidangan media di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis. 24 Mei 2015
BeritaBenar

Polis Diraja Malaysia tidak menafikan wujudnya segelintir ‘kambing hitam’ dalam pasukan itu yang melanggar undang-undang.

Malah Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar menegaskan bahawa pasukan itu tidak pernah mengecualikan diri mereka daripada tindakan undang-undang

“Kita tidak pernah menganggap yang polis mempunyai kuasa melebihi undang-undang malah  (pihak polis) turut termaktub di bawah undang-undang seperti rakyat Malaysia yang lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

“Kita tidak menafikan kewujudan 'kambing hitam' yang melanggar undang-undang, namun mereka hanyalah satu kumpulan kecil dalam pasukan polis dan kumpulan ini tidak boleh dikatakan atau disebut sebagai satu ‘institusi,” tambah Khalid .

Beliau berkata demikian dalam mengulas kenyataan bekas Ketua Hakim Negara Mohamed Dzaiddin Abdullah pada sebuah forum minggu lalu, yang mendakwa sikap pasukan polis yang tidak mengambil peduli konsep kedaulatan undang-undang merupakan antara sebab terdapat kematian dalam tahanan.

Sikap tidak acuh dan menghormati hak asasi manusia

Mohamed Dzaiddin semasa forum itu turut mendakwa terdapat sikap tidak acuh polis terhadap kedaulatan undang-undang dan tidak menghormati hak asasi manusia.

Bekas ketua hakim negara yang kini mengetuai Suruhanjaya Siasatan Diraja berkata polis turut membiarkan penyalahgunaan kuasa dan kekerasan di kalangan anggotanya selain turut mengamalkan ‘blue wall of silence’(tidak melaporkan kesalahan, salah laku, atau jenayah rakan sekerja).

Bekas Ketua Hakim Negara itu turut mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Khalid pula menegaskan “dakwaan bahawa polis mengamalkan peraturan tidak bertulis seperti ‘blue wall of silence’ untuk melindungi pegawai polis adalah satu perkara yang tidak masuk akal.“

Polis telah pun mengambil inisiatif untuk mewujudkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard bagi memantau dengan rapi sebarang bentuk pelanggaran undang-undang dan penyalahgunaan kuasa di kalangan pegawai polis, jelas beliau.

Khalid berkata, beliau menghargai kenyataan tokoh negara itu namun tidak semua pendapat yang dilontarkan itu betul.

“Kebimbangan utama kita adalah apabila kenyataan yang dikeluarkan Tun Dzaiddin itu dianggap betul. Kita pasti beliau akan menghargai usaha kita untuk mempertahankan dakwaan yang dibuat beliau demi keadilan dan nama baik Polis,” tambahnya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.