Penulis Blog Masih Ditahan Manakala 24 Individu Dibebaskan

Oleh Nani Yusof & Hata Wahari
2015.07.16
150716-MY-KITSIANG620 Pemimpin veteran Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Kit Siang (tengah) pada satu perhimpunan di Stadium Kelana Jaya, Selangor. 8 Mei, 2013.
AFP

Polis Malaysia pada Khamis membebaskan 25 orang termasuk seorang ahli politik dengan jaminan polis, manakala seorang penulis blog masih lagi ditahan, berikutan insiden pergaduhan dan rusuhan di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur pada hujung minggu lepas.

Seorang lagi yang ditahan polis ialah Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd Ali Baharom yang juga dikenali sebagai Ali Tinju, kerana dipercayai membuat ucapan berbaur perkauman di luar plaza itu. Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di bawah Akta Hasutan pada Khamis.

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Bukit Aman Asmawati Ahmad berkata, Ketua Umno Bahagian Bagan, Pulau Pinang, Shaik Hussein Mydin yang ditahan kerana dipercayai telah menulis mesej telegram mengkritik Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar, telah dibebaskan dengan jaminan polis pada kira-kira pukul 4.30 petang Khamis.

Shaik Hussein ditahan di luar balai polis Seberang Prai oleh sepasukan polis dan dibawa ke Bukit Aman sebaik sebelum mengadakan sidang akhbar berhubung pergaduhan di Plaza Low Yat pada Rabu lepas.

“Saya telah dibebaskan daripada tahan polis pada pukul 4.30 petang tadi dan kini dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang,” katanya kepada BeritaBenar semasa dihubungi dari Washington DC.

Asmawati berkata blogger Papagomo, atau nama sebenarnya Wan Mohd Azri Wan Deris, akan berada di dalam tahanan polis sehingga Jumaat.

Dia telah ditangkap di rumahnya pada malam Selasa di bawah Akta Hasutan berhubung dengan kejadian di luar Plaza Low Yat.

Sementara itu, Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Zainuddin Ahmad sebagai berkata, mereka yang dibebaskan termasuk empat jurujual telefon bimbit di plaza berkenaan serta perusuh yang terlibat di dalam kejadian pergaduhan itu.

Ali Tinju mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM8,000 oleh seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak dibenar mengacau, mengganggu atau menghubungi saksi pihak pendakwaan dalam kes itu.

Insiden pergaduhan di Plaza Low Yat didakwa mula tercetus Sabtu lepas, berpunca dari rasa tidak puas hati oleh seorang remaja lelaki yang dituduh mencuri telefon bimbit dari sebuah kedai telefon di situ.

Pengawal keselamatan di plaza itu menahan dan menyerahkan remaja terbabit kepada polis, lantas menimbul kemarahan rakannya yang memukul pekerja dan memecah barangan di kedai telefon tersebut pada hari sama.

Keesokannya, dianggarkan lebih 100 individu, dipercayai rakan remaja yang ditahan itu, berkumpul di hadapan plaza mulai 8 malam sehingga berlakunya rusuhan yang berlarutan sehingga ke awal pagi.

Khabar angin serangan ekstremis

Polis juga menafikan khabar angin kononnya akan berlaku serangan ekstremis di ibu negara berikutan insiden di Plaza Low Yat pada Khamis.

Asmawati Ahmad berkata,  mesej yang menggesa orang ramai supaya berhati-hati ketika mengunjungi beberapa lokasi di ibu kota kerana dikhuatiri kononnya akan diserang pihak ekstremis, serta terdapat perancangan untuk melakukan pertempuran kaum atas nama maruah bangsa dan agama, adalah palsu.

"Kesemua berita itu adalah palsu semata-mata dan disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang bertujuan merosakkan keharmonian dan ketenteraman awam,” katanya menerusi laman rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Khamis.

Beliau berkata tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang menyebarkan maklumat palsu di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Perdana Menteri Najib Razak pada Isnin lepas menegaskan,  kejadian pergaduhan yang berlaku di plaza itu perlu dilihat sebagai perbuatan jenayah dan bukannya satu masalah perkauman.

Beliau menyifatkan tindakan sesetengah pihak yang menggunakan media sosial untuk menghangatkan unsur perkauman dalam kejadian itu sebagai tidak bertanggungjawab dan memberi perspektif tidak tepat tentang perkara sebenar yang berlaku.

"Saya nak tegaskan dalam perkara seperti ini, kelazimannya ialah untuk melihat sesuatu dari perspektif kaum. Satu perbuatan jenayah akhirnya dijadikan pertimbangan yang berunsur perkauman. Ini tidak seharusnya berlaku dalam negara kita," katanya.

Hentikan fitnah

Najib dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri menggesa seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia supaya menghentikan perbuatan fitnah memfitnah sesama agama dan rakan sebangsa.

"Pada hari baik di Aidilfitri ini, marilah kita kembali kepada fitrah. Jernihkan hubungan yang telah layu, perkukuhkan persaudaraan yang hampir lesu. Bukalah seluas-luasnya pintu hati, pintu rumah dan pintu-pintu kebaikan serta jendela silaturrahim 1Malaysia," katanya dalam perutusan yang disiarkan oleh stesen televisyen tempatan di Malaysia pada malam Khamis.

Terdahulu itu semasa mengadakan sidang televideo secara serentak kepada duta dan perwakilan pelajar di tiga negara di kediaman rasminya Seri Perdana,  Najib meminta rakyat Malaysia di luar negara supaya berfikir secara rasional dan tidak mempercayai secara bulat-bulat berita yang disebarkan dalam media sosial.

"Jangan kita terima bulat-bulat apa yang disajikan melalui media sosial... Gunalah kesempatan ini untuk membina 'networking' kita di luar negara yang boleh membawa kesan yang baik,” katanya.

Di dalam perkembangan yang sama,  bekas perdana menteri Mahathir Mohamad berkata insiden rusuhan di Plaza Low Yat itu, tidak sepatutnya berlaku dalam bulan Ramadan yang mulia.

"Ini tidak harus berlaku walau berbeza agama, walau ada perasaan marah, cara penyelesaian bukanlah dengan cara merusuh, negara akan menjadi sebuah negara yang tidak aman dan tidak menarik untuk sesiapa pun," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Mahathir berkata dalam menghadapi sesuatu masalah, rundingan secara aman dan damai adalah langkah terbaik bagi mengelakkan huru-hara.

Sementara itu pemimpin veteran Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Kit Siang menggesa penubuhan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk mengkaji insiden pergaduhan dan rusuhan di plaza itu.

Beliau kerkata, kejadian itu tidak sepatutnya menjadi isu perkauman kerana ia adalah kes pencurian.

"Negara telah merdeka begitu lama, kita perlu mempunyai kematangan dalam masyarakat berbilang kaum dan Suruhanjaya Siasatan Diraja itu bukanlah untuk mencari kesalahan sesiapa tetapi untuk memahami mengapa ketegangan kaum begitu mudah tercetus," katanya semasa melawat Plaza Low Yat pada Rabu.

Haram sentiman perkauman

Bagi Pengerusi Kumpulan Perbankan CIMB Nazir Razak, perbuatan yang menyentuh sentiman perkauman diharamkan berikutan kebimbangan terhadap masa depan Malaysia.

"Apabila pencuri telefon bimbit yang bodoh menyebabkan pergaduhan antara kaum, saya bimbang mengenai masa depan mereka. Marilah kita membuat ketetapan dengan menjadikan isu perkauman ini sebagai sesuatu yang dilarang demi merapatkan kita semua bersama," kata beliau yang juga adik kepada Perdana Menteri.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.