Satu Lagi Operasi Gali Kubur Di Perlis

Oleh staf BeritaBenar
2015.06.02
150602-MY-KUBUR620 Pihak berkuasa sedang berusaha mengeluarkan mayat dari sebuah kubur di sebuah kem transit pemerdagangan manusia di kawasan hutan berhampiran Padang Besar, sempadan Malaysia-Thailand. 13 Mei 2015
AFP

Polis Malaysia akan memulakan operasi menggali kubur di sebuah lagi kem transit pemerdagangan manusia yang dikesan terletak di Hutan Simpan Mata Ayer di Lubuk Sireh, Perlis pada Rabu.

Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan Ketua Polis Perlis SAC Shafie Ismail sebagai berkata, kerja-kerja penggalian di kawasan itu akan bermula ekoran kebenaran daripada polis Thailand untuk menggunakan laluan Ban Talok bagi memulakan operasi menggali kubur di hutan simpan itu.

Katanya, sebanyak 91 kubur sudah dikenal pasti wujud di kawasan hutan yang terletak kira-kira 100 meter dari sempadan Malaysia-Thailand itu.

Pada Ahad lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim, berkata kem transit di Hutan Simpan Mata Ayer, yang telah ditinggalkan oleh sindiket pemerdagangan manusia, dibina dengan cantik dan rapi serta lengkap dengan kemudahan seperti surau dan empangan kecil.

"Kelengkapan seperti generator, kain kafan, tikar sembahyang, telekung dan kebun sayur juga kelihatan seolah-olah ada satu komuniti di situ. Sama ada wujud penyeksaan itu kita tunggu polis siasat," katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama pada Ahad lepas.

Shahidan berkata bentuk kem sementara itu kelihatan seperti kem tentera Viet Cong dan jarak antara kem tersebut dengan kem di Bukit Wang Burma, Wang Kelian itu mengambil masa lebih dua jam dengan berjalan kaki.

"Keluasan kawasan itu lebih separuh daripada keluasan padang bola dan saya percaya ia tidak  dibina rakyat Malaysia berdasarkan reka bentuk dan keadaan sekeliling," katanya.

Shahidan yang juga bekas Menteri Besar Perlis berkata kem itu kini dikawal rapi oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi memastikan tidak ada pihak mencuri bahan bukti, dan sehingga pihak forensik dan polis mengenal pasti perkara yang berkaitan.

Operasi gali Rabu ini

Sementara itu, Shafie berkata penggunaan laluan di Ban Talok, hanya mengambil masa kira-kira sejam kerana kawasannya tidak securam di laluan Wang Kelian yang mengambil masa lebih dua jam.

"Jarak kem transit di Hutan Simpan Mata Ayer itu agak jauh dari kem di Wang Kelian. Ia mengambil masa kira-kira dua jam berjalan kaki dari kem di Wang Kelian.

“Operasi di Wang Kelian telah berakhir dan pasukan polis serta forensik akan berehat dulu sebelum memulakan operasi Rabu nanti," katanya.

Setakat ini, 35 rangka manusia, dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang dijumpai di hutan Bukit Wang Burma di Wang Kelian, telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah untuk proses patologi.

Sementara itu, sebanyak 139 kubur di 28 buah kem sementara sindiket pemerdagangan manusia ditemui antara Kampung Wai di Kuala Perlis hingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

Kawasan di mana kubur ditemui terletak di dalam Taman Negeri Perlis yang mana sempadan barat negeri Perlis bercantum dengan Thailand, kawasan yang dikenali sebagai Banjaran Nakawan.

Dalam perkembangan yang sama Timbalan Menteri Dalam Negeri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kerajaan berhasrat untuk membina tembok dan benteng di sempadan Malaysia-Thailand di samping meningkatkan pengawasan di pusat pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin.

Beliau berkata pembinaan struktur itu mungkin jauh lebih berkesan dalam mengawasi sempadan, kerana hakikatnya pasukan keselamatan memang tidak mampu untuk memantau lebih 100 'jalan tikus' di kawasan sepanjang kira-kira 700km (435 batu) sempadan negara yang memisahkan Malaysia dan Thailand.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata polis kini sedang menyiasat identiti seorang lelaki yang bernama 'Yassin' yang dipercayai menjadi agen utama dalam sindiket pemerdagangan manusia itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.