Warga Rohingya Ketuai Sindiket Penyeludupan Manusia

Oleh Imran Vittachi
2015.05.28
150528-MY-KAPAL620 Anggota-anggota Tentera Laut Diraja Malaysia bersolat di atas dek kapal semasa misi mencari dan menyelamat bot pendatang di perairan utara pulau Langkawi, 28 Mei 2015.
AFP

Warga Islam Rohingya mengetuai sindiket jenayah yang menyeludup masuk ribuan rakan mereka ke Malaysia melalui laut, kata Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim pada Khamis.

"Ada sindiket yang menyeludup masuk ribuan daripada mereka dengan bot. Sindiket ini didalangi oleh Rohingya sendiri," katanya di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, negeri Perlis.

Perlis ialah negeri paling utara semenanjung Malaysia dan bersempadan dengan Thailand.

Di situlah pihak berkuasa Malaysia membongkar 28 kem  penyeludupan manusia minggu ini dan mula menggali 139 kubur disyaki pendatang  di dalam hutan sepanjang sempadan Thailand.

Noor Rashid memberitahu beberapa anggota sindiket pemerdagangan manusia itu telah ditangkap dan  kem-kem yang terdapat di Bukit Wang Burma itu  adalah agak baru.

"Jika anda melihat keadaan fizikal kem, kayu-kayu yang digunakan untuk membinanya kelihatan masih baru," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Khamis menafikan rakyat Malaysia mendalangi operasi haram itu.

"Mereka [Malaysia] mungkin tahu mengenai aktiviti pengedaran dan boleh menjadi rakan subahat, tetapi mereka bukannya penganjur,"  The Star, akhbar Malaysia, memetik beliau sebagai berkata.

Menurut laporan yang disiarkan pada Khamis oleh agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama), seorang Rohingya yang dikenali sebagai "Yassin" adalah lelaki yang mendalangi kem-kem yang ditemui di dalam hutan itu.

Bernama menyiarkan temu bual eksklusif dengan seorang lelaki Rohingya berusia 25 tahun itu yang memberitahu beliau dapat melepaskan diri dari satu daripada kem berkenaan selepas dipenjarakan di sana tahun lepas.

Wawancara itu dilaporkan di Alor Setar, ibu negeri Kedah, negeri yang terletak di selatan negeri Perlis.

"Dalam fikiran saya hanya ada satu sahaja - mati. Saya hanya mahu mati kerana mati lebih senang daripada hidup," kata pelarian Rohingya itu Nurul Amin Nobi Hussein kepada Bernama.

Katanya beliau dikurung dalam kandang yang turut menempatkan antara 200 hingga 300 orang, serta 1,500 orang ditahan di kem-kem itu.

"Saya dikurung seperti kambing dan ayam dalam kandang dan setiap masa dikelilingi oleh kematian.  

Setiap hari, lima hingga enam orang daripada kami menemui ajal sama ada disebabkan penyakit atau dipukul dan ditembak," katanya.

Bot-bot dikesan

Dalam perkembangan lain, kapal tentera laut Malaysia pada Khamis mengesan dua bot yang dipercayai membawa 40 pendatang haram dari barat laut Pulau Langkawi, namun ia terus belayar selepas dikesan, menurut laporan berita.

"Kedua-dua bot beralih ke perairan Thailand selepas menyedari kehadiran kapal TLDM [Tentera Laut Diraja Malaysia] yang memantau pergerakan mereka," Bernama memetik Kapten Shahrum Shaim sebagai berkata.

Jika bot berkenaan sebenarnya membawa pendatang haram, ia boleh menjadi pengesanan pertama bot  pemerdagangan manusia di Selat Melaka sejak nelayan Indonesia menyelamatkan 433 migran Bangladesh dan warga Islam Rohingya dari sebuah bot kayu  pada 20 Mei  lepas.

Menurut Agence-France Presse, kedua-dua bot itu masing-masing membawa 20 orang.

"Arahannya ialah mencari mereka dan memberi bantuan kemanusiaan. Kami juga bersedia membawa mereka ke darat, "AFP memetik Roslee Mohamad Isa, pemangku TLDM wilayah utara Malaysia, sebagai berkata.

"Saya mempunyai sembilan tan makanan dan pakaian untuk pendatang itu yang kami percaya adalah etnik Rohingya," kata Roslee. "Kami mahu menyelamatkan nyawa."

'Perlu ada kredibiliti'

Pengesanan itu berlaku pada malam mesyuarat antarabangsa mengenai pemerdagangan manusia dan penghijarahan tidak teratur yang dijadualkan berlangsung di Bangkok pada Jumaat.

Wakil-wakil dari sekurang-kurangnya 17 negara akan berkumpul untuk membincangkan cara-cara menangani pemerdagangan manusia serta membendung krisis kemanusiaan di seluruh yang mencengkam pendatang haram.

Lebih daripada 3,000 pendatang Bangladesh dan Rohingya mendarat di Malaysia dan Indonesia sejak 10 Mei.

Negara Teluk Parsi, Qatar, pada Khamis berikrar menyumbang $50 juta untuk membantu Indonesia member perlindungan kepada warga Islam Rohingya dari Myanmar,  lapor AFP.

Negara-negara yang memberi perlindungan kepada pendatang harus memastikan agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian (UNHCR) dan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migran mempunyai akses tanpa had terhadap mereka, kata Phil Robertson, Timbalan Pengarah Asia Human Rights Watch, kepada BeritaBenar.

"Adalah penting akses ini tidak dihalang, tidak bersyarat, supaya agensi-agensi antarabangsa boleh melakukan tugas mereka dan mengenal pasti migran berkenaan," katanya.

‘Penilaian tanpa halangan’ oleh agensi-agensi bebas itu akan membolehkan masyarakat antarabangsa membantu menghantar pulang atau menempatkan semula pendatang berkenaan di negara-negara ketiga, kata Robertson.

"Perlu ada kredibiliti dalam keseluruhan proses. Jika ada beban perkongsian oleh masyarakat antarabangsa, penilaian mengenai siapa orang ini, dan bagaimana keadaan mereka, dan dari mana mereka datang serta mengapa mereka datang ke sini, perlu dilakukan dalam cara yang tidak berat sebelah oleh agensi PBB yang dipercayai semua, "katanya.

Bangladesh akan pindahkan ribuan pelarian ke luar pesisir

Sementara itu, kerajaan  Bangladesh, satu daripada negara punca krisis penghijrahan maritim ini, berkata ia merancang untuk memindahkan  pelarian Rohingya yang tertumpu di daerah Bazar Cox ke sebuah pulau  luar pesisir, bermula dengan pemindahan awal seramai 34,000 pelarian.

Sejak bertahun-tahun lepas, berpuluh ribu warga Rohingya  melarikan diri daripada konflik agama di Rakhine, sebuah negeri di barat Myanmar yang terletak di seberang sempadan Bazar Cox.

Pelarian Rohingya itu akan dipindahkan ke Pulau Hatia kerana Bazar Cox - destinasi pelancongan popular di tenggara Bangladesh – kini sesak dengan mereka, kata Pesuruhjaya Daerah Noakhali  Bodor Munir Ferdous kepada BeritaBenar.

"Kerajaan meminta kami mencari kawasan buat mereka, [dan] kami mencadangkan kawasan 500 ekar di Pulau Hatia," katanya. "Kami sedang membincangkan tentang bagaimana memindahkan mereka dari Bazar Cox ke Pulau Hatia."

UNHCR, yang membantu pelarian Rohingya Muslim di Bangladesh sejak 1991, berkata langkah itu perlu dilakukan secara sukarela, lapor AFP.

Penempatan semula secara paksaan akan menjadi "amat rumit dan kontroversi," jurucakap UNHCR Onchita Shadman memberitahu agensi itu.



Nani Yusof di Washington, Adie Suri Zulkifli dan Hata Wahari di Malaysia dan Jesmin Papri di Bangladesh menyumbang kepada laporan ini.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.