MAS Tamat Khidmat 6,000 Pekerja
2015.06.01

Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) akan menamatkan perkhidmatan 6,000 kakitangannya, yang merupakan sebahagian daripada pelan pemulihan syarikat itu.
Susulan itu, MAS telah menghantar surat penamatan perkhidmatan kepada 20,000 kakitangannya bermula Isnin, diikuti dengan surat tawaran kepada 14,000 kakitangan untuk menyertai entiti baru Malaysian Airlines Bhd (MAB), seperti yang dilaporkan portal berita M-Star pada Isnin.
Laporan itu menyebut, MAB ialah entiti baru yang ditubuhkan oleh pemegang saham utama MAS, Khazanah Nasional Bhd dalam mengambil alih kontrak, aset dan liabiliti syarikat penerbangan nasional itu dalam usaha memulihkannya bagi meraih semula keuntungan.
Sementara itu AFP melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif MAS Christoph Muller berkata syarikat penerbangan nasional negara itu sudah bankrap.
"Penerbangan Malaysia secara teknikalnya sudah muflis dan kemerosotan prestasi bermula lama sebelum berlakunya dua tragedi pada tahun 2014," kata beliau merujuk kepada dua bencana yang menggegarkan syarikat penerbangan itu sehingga mengalami kerugian teruk pada tahun lepas.
Pada 8 March tahun lepas, pesawat Boeing 777 MH370 yang membawa 12 anak kapal serta 227 penumpang, termasuk dua orang bayi, hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL. Usaha mengesan pesawat itu masih diteruskan.
Empat bulan kemudian sebuah lagi pesawat Boeing 777-200 MH17 bersama 283 penumpang dan 15 anak kapal, yang dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur, ditembak ketika melalui ruang udara Ukraine dan jatuh di timur Donetsk, kira-kira 60 kilometer (38 batu) dari sempadan Russia.
Mueller yang merupakan ketua pegawai eksekutif rakyat asing pertama diberi tanggungjawab untuk memulihkan syarikat pernerbangan itu sejak Mei lepas.
Proses penstrukturan bermula
Mueller yang pernah menerajui syarikat penerbangan Ireland Aer Lingus, Belgium – Sabena, dan mendapat nama jolokan "The Terminator", itu berkata tindakan drastik memecat 6,000 pekerjanya merupakan satu tindakan yang tidak dapat dielakkan.
"Proses penstrukturan semula, bermula hari ini. Malaysia masih perlu mempunyai syarikat penerbangan kebangsaan yang sendiri bagi membantu pertumbuhan ekonomi negara. Namun model perniagaannya perlu dikendalikan sebagai sebuah entiti komersial,” tambah Muller.
Sementara itu, Portal berita M-Star melaporkan Mueller dalam satu taklimat pada Isnin berkata, 14,000 pekerja yang menerima surat tawaran akan diberikan masa 12 hari untuk membuat keputusan manakala pekerja yang bercadang untuk menyertai MAB akan mula bekerja dengan entiti baru itu bermula 1 September ini.
Menyifatkan proses penyusunan semula MAS itu sebagai "pemulihan semula yang sukar', beliau berkata model perniagaan MAB akan dijalankan sebahagian besarnya sebagai operasi komersial dengan harapan syarikat penerbangan itu akan pulih semula menjelang 2017.
Penyusunan semula kapasiti syarikat tersebut termasuk penamatan perkhidmatan kakitangan, merupakan sebahagian daripada pelan pemulihan 12 perkara MAS yang diumumkan Khazanah dalam usaha untuk mengekang kos dan mengecilkan operasinya.
Mueller berkata terma dan syarat pekerjaan bagi MAS Bhd dibuat mengikut tanda aras beberapa syarikat penerbangan lain manakala skala gaji baru mengambil kira kos sara hidup di sini dan tempat-tempat lain di mana MAS beroperasi.
"Kami telah mengambil kira senarai kekananan kakitangan, jadi ia adalah satu proses yang sangat kompleks," katanya.
Difahamkan kebanyakan mereka yang akan ditamatkan perkhidmatan terdiri daripada pekerja bahagian kejuruteraan, teknikal serta perakaunan.