MMA Bimbang Seluar Bersalin Mesra Aurat Halang Proses Bersalin

Oleh staf BeritaBenar
2015.07.15
150715-MY-WANITA620 Sekumpulan wanita Malaysia menadah tangan berdoa di luar Mahkamah Tinggi di Putrajaya, di luar Kuala Lumpur. 5 Mac, 2014.
AFP

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bimbang seluar bersalin mesra aurat boleh menghalang proses bersalin terutamanya yang menggunakan forsep dan vakum, kata Presiden MMA, Dr. Ashok Zachariah Philip, kepada BeritaBenar pada Rabu.

Katanya, seluar yang direka menutup aurat itu juga boleh melambatkan pembersihan dan pembalutan jika proses bersalin secara pembedahan perlu dilakukan.

Semasa proses bersalin, doktor mungkin perlu menggunakan pelbagai peralatan atau perlu membuat pembedahan; orang awam mungkin menganggap proses tersebut berisiko rendah, katanya dari Kuala Lumpur ketika menjawab emel daripada BeritaBenar.

Minggu lepas, seluar bersalin mesra aurat keluaran Malaysia dengan jenama MamaPride telah mencetuskan kontroversi apabila badan-badan bukan kerajaan yang memperjuangkan nasib wanita mempersoalkan akan keselamatan penggunaan seluar berkenaan.

Seluar bersalin itu kelihatan seperti seluar senaman dan mempunyai kain lapik di bahagian kelangkang seperti cawat yang boleh dibuka semasa proses melahirkan. Ia turut melindungi bahagian peha, lutut dan betis ibu daripada terdedah semasa proses bersalin.

Saira Shameem, penasihat program Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) dari ibu pejabatnya di Malaysia, seperti dilaporkan oleh agensi berita Reuters pada Jumaat berkata, "Seluar itu boleh menimbulkan risiko yang merumitkan semasa pembedahan kecemasan,”

Menurut beliau, seluar berkenaan adalah contoh bagaimana "tafsiran agama" berpotensi meletakkan keselamatan wanita, dan anak-anak di dalam keadaan yang berisiko.

Manakala bagi Evelynne Gomez, seorang pegawai komunikasi dengan All Women's Action Society (AWAM) berkata, kebanyakan pengamal perubatan menyarankan pakaian longgar, selesa dan boleh bernafas serta mudah semasa proses bersalin sedang berjalan.

Katanya, panjang seluar juga boleh menimbulkan masalah semasa proses bersalin kerana ia boleh mengganggu doktor ketika pemeriksaan sedang dijalankan.

“Hakikatnya, seluar itu menyediakan ruang sangat kecil untuk melahirkan bayi, dan wujud kebimbangan bahawa keselamatan ibu dan bayi dikompromi,” kata Gomez.

Antara Kesopanan dan Kehidupan

Dr. Ashok berkata, walaupun MMA memahami keinginan wanita untuk berada di dalam keadaan sopan, kebanyakan doktor mendapati semasa proses bersalin, perkara itu lazimnya tidak dianggap penting dalam minda seseorang ibu.

“Dan jika perlu memilih antara kesopanan dan kehidupan, kami berharap pilihan itu dibuat dengan bijak,

“Jikalau seseorang wanita bercadang untuk menggunakan seluar ini semasa proses bersalin, saya menasihati mereka supaya membawa perkara berkenaan kepada pengetahuan pakar obstetrik dan berbincang secara menyeluruh tentang kebaikan dan keburukan pemakaian itu,” tambah beliau.

Kata beliau, “jika doktor selesa dengan idea pemakaian seluar ini serta telah mempertimbangkan semua fakta termasuk keadaan diri pesakit dan risiko khusus bagi diri mereka, saya rasa pihak-pihak lain tidak harus membuat bantahan.”

Dr. Ashok turut menasihatkan ibu-ibu yang bakal bersalin supaya mempunyai hubungan yang baik dengan doktor.

Katanya, seluar "MamaPride" tidak tergolong di dalam definisi peranti perubatan di bawah Akta Peranti Perubatan.  Oleh yang demikian, pendaftaran di bawah akta itu tidak diperlukan
di Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, akta itu memberikan Menteri Kesihatan peluang untuk menggunakan budi bicaranya bagi mengisytiharkan pelbagai peralatan perubatan sebagai sejenis peranti perubatan di bawah perintah yang telah diwartakan.

Tambah beliau, MMA tidak menyiasat atau memeriksa produk itu; dan dengan itu ia tidak mempunyai sebarang pendapat mengenai seluar bersalin tersebut.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.