Mukhriz Akhirnya ‘Lepaskan’ Jawatan MB

S. Adie Zul
2016.02.03
160203-MY-MUKHRIZ620 Mukhriz Mahathir pada sidang media memaklumkan mengenai perletakan jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah, di Wisma Darul Aman, Alor Star, Kedah, 3 Febuari 2016.
BeritaBenar

Mukhriz Mahathir, anak bekas perdana menteri Mahathir Mohamad, salah seorang daripada pengkritik pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak berikutan skandal wang derma RM2.6 billion, akhirnya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah yang ke-11 pada Rabu setelah didesak oleh para pemimpin partinya sendiri.

Pengumuman Mukhriz, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu, mengakhiri kemelut politik Kedah yang berlarutan selepas timbalannya, Ahmad Bashah Md Hanipah mengetuai gerakan mengkritik pentadbiran Menteri Besar itu dalam satu sidang media mengejut pada 20 Januari lalu.

Dalam sidang media itu, Ahmad Bashah mendakwa 14 ketua UMNO dan beberapa ahli parlimen Barisan Nasional di Kedah telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz, yang didakwa gagal menyusun gerak kerja parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, yang perlu dijalankan dalam tempoh dua tahun.

‘Disingkir kerana bersuara’


Bagaimanapun, dalam sidang media untuk mengumumkan perletakan jawatannya di Wisma Darul Aman hari ini, Mukhriz menafikan dakwaan Ahmad Bashah, dan sebaliknya mendakwa serangan terhadap beliau merupakan usaha terancang untuk menutup mulut beliau kerana mengkritik pentadbiran Najib susulan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), serta peningkatan bebanan sara hidup rakyat akibat daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan yang diperkenalkan pada tahun lepas.

“Perkara ini [perletakan jawatan] terpaksa dilakukan akibat daripada gerakan untuk menjatuhkan saya dari jawatan tertinggi kerajaan negeri yang sekaligus mahu menutup mulut saya daripada menjadi suara rakyat dalam pelbagai isu nasional, dan lebih dikesali mereka mengheret pihak istana ke kancah politik dalaman UMNO,” katanya dalam satu sidang media yang dihadiri ramai wartawan dalam dan luar negara di Alor Star, kira-kira 226 batu dari Kuala Lumpur.

“Saya dimaklumkan bahawa saya kehilangan suara majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah apabila undian sulit di hadapan Yang Teramat Mulia Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah telah diperolehi dari kesemua anggota DUN Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.

Beliau menambah, tiada alasan munasabah yang dikemukakan oleh kumpulan anggota gerakan yang menyatakan hilang keyakinan terhadap beliau itu, berkaitan kewibawaannya dalam mentadbir negeri yang rata-rata diterima baik oleh rakyat terhadap pelbagai inisiatif yang dibuat demi kesejahteraan rakyat Kedah.

“Sesungguhnya alasan sebenar tindakan ini diambil ke atas saya adalah kerana kritikan yang telah saya suarakan terhadap perdana menteri sepertimana yang beliau [Najib] sendiri akui,” katanya dalam sidang media itu.

Pada Julai tahun lepas, Najib secara mengejut telah menggugurkan timbalannya, Muhyiddin Yassin, yang lantang mengkritik mengenai skandal 1MDB, merombak kabinet, serta menamatkan perkhidmatan Peguam Negara Abdul Gani Patail yang sedang mengetuai siasatan terhadap syarikat pelaburan negara 1MDB.

Ditanya sama ada beliau akan bersara dari politik, Mukhriz berkata dia akan terus kekal sebagai ahli DUN Ayer Hitam dan setia bersama UMNO untuk terus bersuara bagi pihak rakyat dan turut mengesahkan mengenai tawaran jawatan Timbalan Menteri oleh Najib yang ditolaknya.

Sejam selepas itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Bakar Din mengumumkan nama Ahmad Bashah sebagai calon yang akan menggantikan Mukhriz sebagai Menteri Besar dengan majlis mengangkat sumpah jawatan akan berlangsung di Istana Anak Bukit pada Khamis (4 Feb).

Ahmad Bashah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dalam satu sidang media berasingan sejurus selepas pengumuman itu, memuji tindakan Mukhriz yang sekaligus menamatkan isu berkenaan dengan semangat persaudaraan tetapi menafikan dakwaan yang beliau sangat bertegas mahukan jawatan Menteri Besar.

Hilang sokongan majoriti


Dalam pada itu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan media pada Rabu berkata Mukhriz terpaksa melepaskan jawatan kerana hilang keyakinan sokongan majoriti dari anggota DUN Kedah.

“Ini berpunca daripada kurang keyakinan terhadap kepimpinannya sebagai Menteri Besar dan pemimpin parti di peringkat negeri, serta kebimbangan tentang perlunya persediaan yang lebih rapi untuk mempertahankan Kedah dalam PRU akan datang.

“Perdana Menteri berpendapat jentera parti dan kerajaan perlu berdisiplin dan bekerjasama sebagai sebuah pasukan yang bersatu dalam mendepani cabaran ekonomi dan keselamatan serta menunaikan janji pada PRU lalu, selepas Barisan Nasional diberikan mandat oleh rakyat Kedah,” kata kenyataan itu di laman Facebooknya.

Mengulas mengenai tekanan ke atas Mukhriz sehingga memaksanya meletakkan jawatan, ahli Parlimen yang mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dari Pokok Sena, Kedah, Mahfuz Omar membidas cara UMNO mengendalikan krisis berkenaan.


“Apa yang berlaku ke atas Mukhriz adalah satu perkara yang amat menyedihkan akibat ketidakadilan dalam UMNO yang bertindak menyingkirkan pemimpin yang berani bersuara demi rakyat. Biarpun saya dari parti PAS, tetapi secara jujurnya saya tidak melihat sebarang kewajaran untuk menyingkirkan Mukhriz," kata beliau kepada BeritaBenar.

“Apakah kesalahan Mukhriz kepada rakyat Kedah dalam mentadbir Kedah dan dia juga bersih dari sebarang skandal,” soal beliau lagi.

Mahfuz berkata, adalah menjadi satu kerugian besar kepada Kedah dan rakyat Malaysia apabila seorang Menteri Besar yang masih mendapat sokongan kuat dari rakyat disingkirkan tanpa diberi keadilan semata-mata berpunca dari agenda di Putrajaya.

'Cabaran besar'

Dalam reaksi terhadap pengunduran Mukhriz itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) di Jitra, Kedah, Prof Madya Dr Mohamad Azizuddin Mohd Sani berkata, cabaran utama bagi Ahmad Bashah buat masa ini adalah mengembalikan sokongan rakyat negeri itu terhadap UMNO.

“Apa yang berlaku kepada Mukhriz sememangnya dijangkakan kerana dua faktor utama, iaitu hubungan beliau dengan beberapa UMNO bahagian dan juga hakikat bahawa beliau adalah anak kepada Mahathir, yang secara terbuka mengkritik pentadbiran Najib,” katanya kepada BeritaBenar.

Ujarnya, Ahmad Bashah mempunyai cabaran besar dalam mengekalkan sokongan terhadap UMNO, kerana faktor Mukhriz, merupakan penyumbang besar kepada sokongan terhadap Barisan Nasional dalam PRU lalu.

Kedah pernah berada di bawah pemerintahan PAS selama lima tahun mulai 2008.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM itu, menurut statistik, hampir 70 peratus pengundi berdaftar pada PRU akan datang terdiri daripada pengundi muda berumur 40 tahun ke bawah.

“Saya tidak menolak kemungkinan krisis politik Kedah juga mempunyai kesan menyeluruh kepada lanskap politik negara dan ini adalah cabaran utama kepada pentadbiran Najib dalam menarik sokongan pengundi muda,” ujarnya lagi.

Pendapat Mohamad Azizuddin turut disokong oleh seorang ahli Pemuda UMNO bahagian Sik, sebuah daerah pedalaman di Kedah, Ahmad Sufian Hasan yang berkata penyingkiran Mukhriz akan memberi kesan besar terhadap kepada parti itu di Kedah dalam PRU akan datang.

“Ini terbukti apabila Mukhriz telah berjaya menarik sokongan muda termasuk di kalangan penyokong parti pembangkang sehingga Barisan Nasional berjaya merampas kembali Kedah dari PAS dalam PRU lalu.

"Saya akui sukar bagi parti untuk menerangkan kepada golongan muda di peringkat akar umbi mengapa Mukhriz disingkirkan, tanpa memberi alasan kukuh dan ini memberi isyarat yang bercanggah kepada rakyat dengan usaha kita untuk mengukuhkan sokongan terhadap UMNO," katanya kepada BeritaBenar pada Rabu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.