Najib Tangguh 18 Bulan Pemilihan UMNO

Oleh staf BeritaBenar
2015.06.26
150626-MY-UMNONAJIB620 Presiden UMNO Najib Razak dan timbalannya Muhyiddin Yassin menjerit slogan UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur. 1 Disember 2012.
AFP

Presiden UMNO Najib Razak, yang kini sedang berdepan dengan pelbagai tekanan berkaitan isu semasa dan pengurusan pentadbirannya sebagai Perdana Menteri Malaysia, pada Jumaat mengumumkan penangguhan selama 18 bulan pemilihan parti, yang pada awalnya dijadualkan  tahun depan.

Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) adalah parti terbesar di Malaysia dan juga tulang belakang kerajaan campuran Barisan Nasional yang memimpin negara itu.

Najib berkata, penangguhan yang melibatkan semua peringkat dalam parti itu bertujuan untuk memberi keutamaan kepada perkhidmatan parti untuk rakyat serta usaha memperkukuhkan parti itu.

"Penangguhan ini juga dapat memberi ruang dan peluang bagi pengukuhan UMNO supaya lebih mantap dalam menghadapi pilihanraya akan datang,” kata beliau kepada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Kuala Lumpur.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, terdapat desas-desus mengenai penangguhan pemilihan parti itu yang mula tersebar di sistem pesanan WhatsApp selain dikatakan sudah mula dibincangkan oleh beberapa wakil UMNO bahagian.

“Penangguhan ini tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan, dan Majlis Tertinggi mengambil ketetapan itu mengikut Fasal 10.16 perlembagaan parti yang memberi hak kepada MT untuk menangguhkan pemilihan di peringkat pucuk pimpinan, bahagian dan cawangan parti,”  kata Najib.

Pehimpunan Agung dan Majlis Tertinggi UMNO adalah kuasa tertinggi, dan perjalanan parti berasaskan kepada kuasa dan perintah yang tertakluk kepada Perlembangaan dan Peraturan parti.

UMNO mempunyai kira-kira 3.2 juta ahli dengan seramai 146,500 perwakilan dari 191 bahagian. Kesemua perwakilan ini bertanggungjawab untuk memilih barisan kepimpinan parti semasa perhimpunan agung parti diadakan.

Najib berkata penangguhan tersebut bukan satu keputusan yang luar biasa kerana pernah dilakukan ketika zaman pentadbiran Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi berasaskan rasional yang sama.

Pada Januari 1999, Mahathir yang pada ketika itu merupakan Perdana Menteri ke-5 dan Presiden UMNO, telah membuat keputusan untuk menangguhkan pemilihan majlis tertinggi parti yang dijadualkan pada bulan Jun.

“Penangguhan ini adalah untuk memberi tumpuan kepada pilihanraya umum akan datang yang perlu diadakan sebelum April tahun 2000,” Mahathir berkata ketika itu, selepas membuat pengumuman mengenai perlantikan timbalan perdana menteri yang baru tiga bulan selepas memecat timbalannya Anwar Ibrahim.

Abdullah Ahmad Badawi yang pada ketika itu merupakan Menteri Luar Malaysia telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, selepas Anwar didapati bersalah atas dakwaan rasuah dan liwat.

Pada September 2006, Abdullah yang ketika itu Presiden UMNO turut menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti yang dijadualkan pada 2007 sehingga selepas pilihanraya umum.

“Majlis Tertinggi bersetuju untuk menangguhkan pemilihan parti bagi membolehkan pemimpin UMNO memberi tumpuan kepada usaha mencapai kemenangan dalam pilihan raya,” kata Abdullah yang tidak pula menyatakan tarikh pilihanraya umum.

Pilihanraya umum lepas diadakan pada 21 Mac 2004 manakala pilihan raya umum akan datang perlu diadakan sebelum Mac 2009.

Najib berkata, "Ini bukan bererti bahawa UMNO bukan merupakan parti yang demokratik, menafikan semangat demokrasi dan keterbukaan, tetapi bila sampai pada masanya kita akan memberi ruang untuk mengadakan pemilihan,"

Kali terakhir UMNO mengadakan pemilihan parti adalah pada Oktober 2013 dan mandat kepimpinan Umno sekarang akan berakhir pada 2016 manakala mandat Parlimen sekarang akan berakhir pada 2018.

Disamping itu, Najib berkata MT turut menyokong keputusan tersebut supaya kaedah pemilihan dapat dilihat secara mendalam dengan mendapatkan pandangan semua pihak.

“Ada pendapat-pendapat yang kita terima, terdapat kelemahan pada pemilihan yang lalu, tapi kita masih tetap dengan prinsip demokrasi dalam parti," katanya.

Najib turut meminta anggota UMNO supaya menjalankan kerja-kerja di peringkat akar umbi berdasarkan petunjuk prestasi utama yang telah ditetapkan parti.

Sementara itu Timbalan Presiden UMNO Muhiyiddin Yassin pada November lalu, mencadangkan supaya UMNO tidak menangguhkan pemilihan parti selepas pilihanraya umum seperti yang dilakukan sebelum ini. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO.

Sebaliknya, beliau mahukan pemilihan itu dijalankan mengikut masa yang ditetapkan oleh perlembagaan parti.
Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri turut mencadangkan Perlembagaan UMNO dipinda untuk membolehkan barisan pelapis muda memainkan peranan dan memberi khidmat lebih besar kepada parti.

"Saya percaya UMNO tidak akan berpecah sekiranya pemilihan diadakan. Pemimpin UMNO tentunya cukup matang untuk menghadapinya," kata beliau.

Risiko besar

Dalam pada itu, veteran UMNO, Sanusi Junid pada Mei lalu berpendapat bahawa Najib akan berdepan dengan risiko besar seandainya pemilihan parti ditangguh sehingga selepas pilihanraya umum ke-14 menjadi kenyataan.

Katanya, situasi semasa yang sedang berlaku kini boleh membawa kepada pelbagai kemungkinan termasuk perubahan tampuk nombor satu parti sendiri.

"Ramai wakil akar umbi yang mahu melihat perubahan dalam parti selepas banyak pendedahan mengenai syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selain kritikan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad sendiri.

Isu 1MDB sedang hangat diperkatakan kerana syarikat pelaburan strategik Malaysia itu dipercayai menanggung hutang sebanyak RM42 billion ($12 billion).

Pelbagai dakwaan dan spekulasi dilontarkan oleh banyak pihak bahawa RM27 bilion ($7.8 billion) daripada sejumlah RM42 bilion telah 'hilang' atau 'lesap'.

Kerajaan Najib, bagaimanapun, menafikannya.

“Jadi, Najib harus mula berfikir mengenai kedudukannya selepas tekanan yang diterima," ujar Sanusi.

Seorang lagi, veteran UMNO, Rahim Tamby Chik pada April lepas berkata, perhimpunan Agung UMNO 2015 dilihat bakal menjadi penentu tempoh Najib kekal menjadi presiden parti sekaligus perdana menteri sehingga pilihan raya umum ke-14 atau sebaliknya.

"UMNO pasti akan menanggung risiko jika penangguhan dibuat, Najib akan berhadapan pelbagai cabaran terutama daripada bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang akan memberi pelbagai kenyataan 'panas' jika tiada pemilihan dibuat tahun depan.

"Najib juga berkemungkinan berhadapan dengan cabaran paling getir dalam parti iaitu memastikan keutuhan UMNO di dalam pentadbiran negara. Najib turut akan berhadapan cabaran akar umbi yang mahu muka baru sebagai pemimpin parti sekali gus perdana menteri baru untuk 'bertarung' atas nama parti pada pilihan raya umum ke-14," katanya.

Katanya, keistimewaan UMNO, presiden parti merupakan perdana menteri.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula berpendapat, Mahathir adalah punca utama Najib mengalami tekanan luar biasa dalam isu melibatkan kemelut 1MDB akhir-akhir ini.

Wan Junaidi berkata, tekanan itu juga disifatkan semakin berat dengan sikap beberapa ahli UMNO yang tidak bertanggungjawab dan tidak tampil untuk memberi sokongan kepada Najib.

Menteri Dalam Negeri yang juga Naib Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi pada 5 Jun lalu berkata, mana-mana anggota Kabinet yang telah hilang kepercayaan atau mempertikaikan keputusan Perdana Menteri dinasihatkan supaya melepaskan jawatan tanpa diminta berbuat demikian.

“Kalau ada dalam kalangan mereka hilang kepercayaan atau mempertikai keputusan, apatah lagi di tempat terbuka dengan mengeluarkan kenyataan terbuka, cara terhormat ialah dengan melepas jawatan tanpa diminta kerana telah hilang kepercayaan.

“Saya tidak fikir perlu menunggu sehingga Perdana Menteri melakukan pemecatan atau penyingkiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai teguran Najib melalui media yang telah meminta mana-mana anggota Kabinet yang tidak bersama dengannya dalam usaha pemulihan 1MDB supaya meletakkan jawatan.

Antara mereka yang lantang ‘bersuara’ mengenai isu 1MDB itu ialah Muhyiddin, Timbalan Najib di dalam UMNO dan di dalam kabinet, dan sepupu Najib, Hishammuddin Hussein, yang juga Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein yang Naib Presiden parti.

Pada sidang media semasa mengumumkan penangguhan pemilihan UMNO, Perdana Menteri itu turut membayangkan kemungkinan ada rombakan kabinet tidak lama lagi walaupun beberapa menteri menafikannya sebelum ini.

Najib, ketika ditanya mengenai spekulasi tentang rombakan itu, tidak menafikannya dan menggesa orang ramai supaya bersabar.

"Tunggulah," katanya.

Sebelum ini, spekulasi bertiup kencang bahawa Najib mungkin menggugurkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Shafie Apdal, yang kritikal terhadap kemelut yang membabitkan 1MDB, dan kes yang terbaru melibatkan perbelanjaan dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne, Australia oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).

H.Aleeya menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.