Negara Islam, Kumpulan Islam lain eksploitasi nasib Rohingya

Oleh staf BeritaBenar
2015.06.11
150611-MY-ROHINGYA620 Aktivis Islam Indonesia bakar patung sami radikal Myanmar, Ashin Wirathu, semasa protes pro-Rohingya di Jakarta, 27 Mei, 2015.
AFP

Nasib Rohingya telah membangkitkan kemarahan ramai orang Islam di selatan Asia, tetapi beberapa elemen pelampau mengambil setapak langkah ke hadapan dengan menggunakan penderitaan mereka yang tiada kerakyatan itu untuk menggerakkan semangat jihad.

Namun, para pegawai dagang dan komuniti pelarian Rohingya di Malaysia dan Bangladesh tidak mengendahkan gesaan itu.

"Saya minta belia-belia Burma: angkatlah pedang dan bunuhlah demi jalan Tuhan. Tidak syak lagi, Tuhan bersama-sama kita, " kata Ehsanullah Ehsan, jurucakap kumpulan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP), dalam satu mesej audio yang disebarkan pada Isnin, lapor Agence France-Presse.

"Pusat-pusat latihan, kemudahan, rakyat kami, semuanya ada untuk memberi keselesaan kepada anda, " katanya.

Kumpulan militan Negara Islam (IS) juga menyedari nasib beratus-ratus Rohingya yang melarikan diri daripada penganiayaan di Myanmar sejak beberapa minggu lepas dimana mereka cuba mendarat di pantai-pantai di Asia Tenggara, setelah ditinggal terbengkalai oleh penyeludup manusia dan dihalau kemasukan mereka oleh tentera-tentera laut negara serantau.

Kumpulan IS telah menghantar mesej melalui media sosial dengan mengalu-alukan kedatangan Rohingya di kawasan-kawasan yang diisytiharkannya sebagai khalifah di Syria dan Iraq, kata Jasminder Singh, penganalisis Pusat Penyelidikan Kekerasan dan Keganasan Politik di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam di Singapura.

"Ada pengumuman di media sosial seperti Twitter dan Facebook baru-baru ini yang menggalakkan Rohingya untuk berpaling kepada IS, dan catatan itu menyatakan bahawa jika tiada sesiapa mahu menerima Rohingya dan penindasan masih dilakukan terhadap Rohingya, dengan itu, tinggal di Negara Islam lebih sesuai, " kata Jasminder Singh kepada BenarNews melalui e-mel.

"Rohingya sebelum ini dikaitkan dengan al-Qaeda. Jika kita memandang mereka sebagai sebahagian daripada IS hari ini atau kemudian hari, ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan," katanya.

Dalam Radar IS

Malah, terdapat negara-negara Islam yang memberi perhatian kepada nasib Rohingya sebelum imej beratus-ratus orang melarikan diri daripada diskriminasi agama dan keganasan kaum di negeri Rakhine, di Myanmar, terpapar di dalam media dunia.

Dalam ucapannya pada 1 Julai lepas di mana beliau mengisytiharkan penubuhan khalifah, pemimpin IS, Abu Bakr al-Baghdadi merujuk Rohingya sebagai penduduk Islam di dunia yang "tertindas" dan perlu dibantu IS.

"Oleh itu, tingkatkan cita-cita anda, wahai tentera Negara Islam! Kerana saudara-saudaramu di seluruh dunia sedang menunggu anda menyelamatkan mereka (Rohingya), dan (mereka) menantikan briged anda," katanya menurut satu transkrip ucapan beliau yang disiarkan oleh sayap media IS.

"Sudah cukup buat anda untuk hanya menyaksi adegan Afrika Tengah, dan Burma ... Apa yang tersembunyi daripada kita adalah jauh lebih besar lagi, " katanya.

"Oleh itu, demi Allah, kami akan membalas dendam! Demi Allah, kami akan membalas dendam! Walaupun ia mengambil masa yang lama, kami akan membalas dendam, dan setiap kemudaratan terhadap umat Islam akan dibalas dengan lebih ramai lagi pejuang."

Mengulas mengenai ucapan al-Baghdadi, Singh berkata, ini menunjukkan apa yang berlaku di Myanmar pasti diperhatikan dan dipantau oleh IS.

Mengeksploitasi kemarahan orang ramai

Di seluruh Asia Selatan dan Tenggara, kemarahan umat Islam terhadap cara Myanmar menindas Rohingya semakin meluap.

Dari Jakarta ke Kuala Lumpur, New Delhi, Dhaka dan Karachi, demonstrasi pro-Rohingya diadakan di mana penunjuk perasaan membakar bendera Myanmar atau patung pemimpin Buddha dari negara itu.

Pelampau dan kumpulan-kumpulan radikal Islam dari sejauh Tanduk Afrika turut mengambil kesempatan dengan mencetuskan kemarahan dan menyebarkan propaganda mengenainya.

Di Somalia, al-Shabaab, sebuah kumpulan yang dikaitkan dengan al-Qaeda, telah mengutuk dasar Myanmar terhadap Rohingya.

"Di tangan penganut-penganut Buddha yang ganas, beribu-ribu umat Islam termasuk wanita dan kanak-kanak, telah melarikan diri dari rumah mereka dan berusaha untuk sampai dengan selamat di pantai, jenayah mereka hanyalah kerana mematuhi Islam," kata al-Shabaab dalam satu kenyataan, lapor Britain Daily Telegraph pada 20 Mei.

"Alu-alukan kedatangan mereka, bukalah pintu rumah anda dan berilah perlindungan kepada umat Islam yang melarikan diri itu," kata al-Shabaab.

"Gerakkan tenaga, wang dan pendapatan anda untuk mempertahankan maruah umat Islam yang dianiaya dan tangkislah serangan ganas orang musyrik."

Menurut satu laporan yang diterbitkan oleh Dhaka Tribune pada Selasa, kumpulan Islam Bangladesh telah cuba untuk menghasut keganasan dengan menyiarkan gambar dan maklumat palsu mengenai penganiayaan terhadap Rohingya.

"Laporan menyatakan Jamaat-e-Islami dan beberapa kumpulan militan tempatan termasuk Jama'atul Mujahideen Bangladesh (JMB), Harkat-il-Jihad al-Islami (Huji) dan Pasukan Ansarullah Bangla telah merekrut Rohingya," kata akhbar itu.

Kumpulan-kumpulan ini dikaitkan dengan militan Rohingya Solidarity Organization (RSO), IS, al-Qaeda dan Taliban, dakwa Dhaka Tribune.

Laporan akhbar itu ini tidak dapat disahkan.

Tidak Diendahkan

Tidak ada bukti kukuh menunjukkan bahawa kaum Rohingya telah menyambut seruan kumpulan Islam ekstremis untuk berjuang secara militan. Di Bangladesh dan Malaysia, pemimpin masyarakat Rohingya menolak dakwaan itu.

"Kehidupan kami tidak menentu. Kami tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan mana-mana organisasi asing atau tempatan,” Mohammadullah, setiausaha agung di sebuah kem pelarian di tenggara Teknaf, Bangladesh, di mana 19,000 Rohingya didaftarkan, memberitahu BenarNews melalui telefon.

"Ada beberapa kumpulan berkepentingan yang telah (membuat dakwaan) mengenai hubungan kami tetapi tidak pernah dapat membuktikannya. Ada yang mainkan permainan ini, mengambil kesempatan akan keadaan kami, " katanya. "Kami cuma mahu terus hidup."

Mohamad Nor Abu Bakar, Pengerusi Persatuan Rohingya Kedah di Malaysia, berkata kaumnya miskin dan mereka "tidak mahu campur tangan dalam politik dan peperangan tempatan ."

"Kami hanya mahu kehidupan yang lebih baik dan tinggal di dalam negara Islam," katanya kepada BenarNews melalui telefon.

"Kaum kami tidak akan berperang."



Nani Yusof dan Shahriar Sharif menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.