Krisis Pendatang: Tujuh belas Negara Janji Ambil Tindakan

Oleh Pimuk Rakkanam di Bangkok
2015.05.29
150529-MY-MEETING620 Htin Lynn, ketua delegasi Myanmar, berucap pada Mesyuarat Khas Penghijrahan Tidak Teratur di Bangkok, 29 Mei 2015.
BeritaBenar

Myanmar menyertai 16 negara lain di Bangkok pada Jumaat untuk menyatakan persetujuan bagi menangani punca krisis penghijrahan haram Asia Tenggara, namun ketua delegasinya berkata Myanmar  tidak boleh dipertanggungjawabkan sebagai punca masalah itu.

"Setiap negara berdaulat mempunyai cabarannya sendiri," kata Htin Lynn, wakil khas Kementerian Luar Myanmar, pada mesyuarat khas mengenai penghijrahan tidak teratur.

"Ada di antaranya, jika tidak semua, termasuk dalam bidang kuasa tempatan ... tiada gunanya menuding jari. Ia tidak membawa kita ke mana-mana pun, "kata beliau sambil menambah "bagi isu penghijrahan haram orang hanyut ini, anda tidak boleh persalahkan negara saya sahaja.”

Htin menjawab komen Volker Turk, Penolong Pesuruhjaya Tinggi bagi perlindungan di agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian (UNHCR) pada awal mesyuarat itu.

"Tiada penyelesaian tanpa menangani punca akar umbinya...," kata Turk. "Antara lain, ini memerlukan Myanmar untuk bertanggungjawab sepenuhnya terhadap semua rakyatnya."

"Memberikan kewarganegaraan adalah matlamat utama dan kami mengalu-alukan beberapa langkah awal yang diambil dalam hal ini," tambah beliau. "Sementara itu, status undang-undang untuk semua penduduk mengiktiraf Myanmar sebagai negara sendiri, amatlah diperlukan."

'Realiti Menyedihkan'

Asia Tenggara menghadapi krisis kemanusiaan bulan ini apabila lebih  3,000 pendatang Bangladesh dan warga Islam Rohingya dari Myanmar mendarat di Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Rakhine, negeri di barat Myanmar, merupakan kediaman bagi Rohingya tetapi ramai yang melarikan diri daripada penindasan di negara itu yang didominasi penganut Buddha, yang kerajaannya juga tidak mengiktiraf mereka sebagai warganegara.

Pemimpin negara-negara jiran, yang paling terjejas dengan peningkatan penghijrahan haram itu, tidak membuat kritikan langsung terhadap Myanmar, selaras dengan dasar tidak campur tangan serantau.

"Krisis semasa ini menunjukkan realiti yang menyedihkan kerana ada yang masih dipaksa meninggalkan kediaman mereka dan orang yang disayangi kerana pelbagai sebab," kata  Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Thailand Jeneral Thanasak Patimaprakorn pada pertemuan itu.

“Penghijrahan tidak teratur menjadi semakin rumit dan menuntut penyelesaian yang menyeluruh. Kita tidak boleh menyelesaikan satu masalah hanya untuk mengetahui kemudiannya bahawa ia telah mewujudkan masalah yang lain, "katanya.

Pada 20 Mei, Thanasak menyertai rakan sejawatannya dari Malaysia dan Indonesia mengadakan mesyuarat tiga hala di Malaysia untuk membincangkan perkara itu, namun mereka tidak menunjukkan kecenderungan itu pada mesyuarat Jumaat yang dianjurkan Thailand.

Kerajaan tentera Thailand melaksanakan tindakan keras terhadap pemerdagangan manusia  pada awal bulan ini hingga memaksa bot-bot yang sarat dengan pendatang haram untuk belayar jauh ke selatan bagi  mencari tempat pendaratan.

Pada  Jumaat, tentera laut Myanmar menahan sebuah bot yang sarat dengan 727 pendatang haram di luar pantai selatan negara itu, menurut laporan berita.

'Rasa selamat dan kekitaan'

Negara-negara barisan hadapan iaitu Myanmar, Thailand, Malaysia, Indonesia dan Bangladesh pada Jumaat menyertai negara-negara lain menyatakan persetujuan untuk berkongsi sumber bagi memerangi pemerdagangan manusia dan meningkatkan usaha membantu beribu-ribu pendatang haram yang terkandas di laut.

Tetapi, perjanjian itu tidak menyebut perkataan "Rohingya."

Negara penganjur, Thailand, dan delegasi dari 16 negara Asia dan Pasifik berjanji untuk mewujudkan satu pasukan petugas bersama dan berkongsi risikan mengenai penyeludupan manusia, menggiatkan operasi mencari dan menyelamat maritim terhadap  bot-bot pendatang, serta menangani  ‘punca akar umbi’  penghijrahan tidak teratur itu.

Myanmar, Bangladesh dan Indonesia bersetuju untuk membantu meningkatkan kehidupan ‘masyarakat yang berisiko’ itu.

Menurut satu klausa mengenai perkara itu, usaha berkenaan termasuklah menyediakan bantuan pembangunan kepada kawasan berisiko, serta "meningkatkan rasa selamat dan kekitaan, menggalakkan penghormatan sepenuhnya terhadap hak asasi manusia dan akses penduduk terhadap hak dan perkhidmatan asas seperti perumahan, pendidikan dan penjagaan kesihatan. "

Sementara itu di Indonesia, pegawai-pegawai kerajaan mengumumkan bahawa mereka akan menghantar pulang beratus-ratus pendatang Bangladesh yang tiba di pulau Sumatera barat bulan ini.

Setiausaha Luar Negeri Bangladesh Shahidul Haque, yang mengetuai delegasi negaranya pada mesyuarat di Bangkok, berkata rakyatnya itu akan dihantar pulang dalam tempoh sebulan.

Bantuan Amerika Syarikat dan Australia

Mesyuarat di Bangkok juga menghasilkan komitmen bantuan kewangan daripada Amerika Syarikat dan Australia bagi membantu membendung krisis itu.

Kerajaan Amerika Syarikat berkata ia akan menyumbang AS$3 juta bagi usaha-usaha kemanusiaan oleh Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM).

Australia pula memberikan bantuan AU$5 juta untuk menggalakkan kehidupan dan program pembangunan di Rakhine dan Bazar Cox, iaitu daerah di tenggara Bangladesh yang menjadi tumpuan ratusan ribu pelarian Rohingya.

"Apa yang perlu kita lakukan ialah mencari cara menyelamatkan nyawa, memastikan mereka selamat, dan kemudian cuba melakukan perubahan di peringkat sumber supaya penduduk tidak merasa perlu melarikan diri dan berpaling kepada geng-geng jenayah untuk menguruskan keperluan pengangkutan mereka," kata Anne C. Richard, penolong setiausaha negara Ameriksa Syarikat bagi penduduk, pelarian dan penghijrahan, pada mesyuarat itu.

"Kita semua  benar-benar berharap bahawa mereka yang lari dari Burma [Myanmar], boleh kembali ke kediaman mereka dan hidup di Burma yang aman, stabil dan demokratik."

Pada Jumaat, tentera AS turut mendapat kebenaran daripada kerajaan Thailand untuk melakukan penerbangan tinjauan di ruang udara negara itu bagi mencari bot-bot pendatang yang terkandas.

 

Shahriar Sharif di Bangladesh dan Nurdin Hasan di Indonesia menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.