Krisis Migran: Jeneral Thailand Disyaki Terbabit Pemerdagangan Manusia
2015.06.01

Seorang jeneral berpangkat tiga bintang dikehendaki pihak berkuasa kerana disyaki terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia yang bergerak dari Thailand ke Myanmar, Bangladesh dan Malaysia, kata polis semalam.
Sebuah mahkamah di wilayah Songkhla di selatan Thailand mendakwa Leftenan Jeneral Manas Kongpaen bagi empat kesalahan di bawah undang-undang anti-pemerdagangan manusia dan imigresen negara itu, serta mengeluarkan waran bagi penangkapannya.
Manas, yang digantung perkhidmatannya oleh Tentera Diraja Thailand pada Isnin, adalah pegawai tentera tertinggi yang terlibat dalam skandal pemerdagangan manusia hasil daripada tindakan keras kerajaan negara itu terhadap penyeludupan manusia bulan lepas.
Bot-bot penyeludup, yang cuba mendarat di pantai Thailand, telah dihalang masuk ke negara itu menyebabkan sekurang-kurangnya 3,000 pendatang haram mendarat di pantai-pantai Malaysia dan Indonesia.
Manas adalah suspek ke-85 yang dinamakan dalam siasatan berkaitan dengan tindakan keras itu, yang dilaksanakan berikutan penemuan kubur-kubur pendatang haram di Padang Besar, sebuah wilayah di daerah kecil yang terletak di sempadan Malaysia.
Menurut laporan berita Thailand, Manas memohon bantuan daripada seorang peguam tentera untuk membelanya terhadap pertuduhan itu.
Manas, 58, terlibat dalam pemerdagangan pendatang warga Islam Rohingya dari Myanmar sejak 2013, kata Jeneral Polis Ek Angsananond kepada pemberita di Hat Yai, Songkhla.
"Dia dikehendaki kerana bekerjasama dengan tiga yang lain untuk menjalankan perbuatan pemerdagangan manusia, memberikan bantuan kepada pendatang haram, menahan pendatang yang lain selain mengurung pendatang bagi mendapatkan wang tebusan," kata Jeneral Polis Ek kepada pemberita.
Dalam siasatannya, polis mengumpul bukti pembayaran yang dibuat kepada akaun bank Manas daripada mereka yang disyaki penyeludup, kata Ek.
Polis juga memohon perintah ekstradisi seorang warganegara Thailand, Nattapat Saengthong (juga dikenali sebagai Ko Mik), dari Myanmar kerana disyaki terlibat dalam pemerdagangan manusia, kata Ek.
Pernah bertugas di selatan
Leftenan Jeneral Manas mempunyai pengalaman luas di selatan Thailand, pusat transit utama bagi pemerdagangan pendatang Islam ke Malaysia.
Pada 2009, beliau ditugaskan ke wilayah pelabuhan selatan Ranong sebagai seorang pegawai tentera kanan untuk menangani kemasukan Rohingya dan etnik minoriti lain dari Myanmar.
Thailand kemudian dikritik kerana tidak membenarkan Rohingya mendarat di pantainya dan melencongkan haluan mereka ke negara-negara ketiga seperti Malaysia dan Indonesia.
"Tiada salahnya jika rakan-rakan mahu pergi ke negara-negara ketiga, dan kita hanya membantu dengan memberi mereka makanan, air, bekalan dan bahan api," kata Manas pada satu seminar mengenai penghijrahan haram di Universiti Chulalongkorn di Bangkok pada Februari 2009.
Hampir 800 pendatang ditahan
Sejak melaksanakan tindakan keras pada awal Mei lepas, Thailand telah menahan 779 pendatang haram, kata Kolonel Banpot Poolpien, jurucakap Perintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC).
Thailand terus memantau perairan pantai baratnya bagi mengesan bot-bot yang sarat dengan pendatang yang mungkin masih terkandas di laut, kata Banpot.
"Kami memberi tumpuan kepada bantuan kemanusiaan namun, jika sesiapa yang memasuki negara ini secara tidak sah, kami akan mengendalikan mereka mengikut undang-undang imigresen," kata beliau.
Sementara itu, satu laporan media Malaysia menyatakan pendatang masih berada di selatan Thailand.
Kira-kira 500 pendatang tanpa izin menunggu untuk menyeberang masuk ke Malaysia dari Danok, sebuah kawasan di wilayah Songkhla di Thailand, yang terletak di sempadan kedua-dua negara.
Mereka menunggu untuk masuk ke Malaysia di Bukit Kayu Hitam, kata Ketua Polis Kubang Pasu Supt. Abdul Rahim Abdullah pada Isnin, lapor agensi berita milik negara, Bernama.
“Arahan telah dikeluarkan supaya Pasukan Gerakan Am, Unit Pencegah Penyeludupan dan Balai Polis Bukit Kayu Hitam meningkatkan lagi langkah-langkah keselamatan," kata Abdul Rahim.
Dalam perkembangan lain, pihak berkuasa Myanmar pada Isnin menahan sebuah bot membawa lebih 700 migran di luar pantainya selepas tentera laut negara itu memintas bot berkenaan di perairan tempatan pada Jumaat, lapor agensi berita Reuters.
"Kerajaan sedang memeriksa identiti mereka, bertanya apa yang mereka mahu lakukan dan ke mana mereka mahu pergi," Reuters memetik jurucakap kerajaan Ye Htut sebagai berkata.
Namun, beliau tidak memberi butiran lanjut mengenai koordinat bot itu.
Dan di timur Indonesia, seramai 65 migran dari Bangladesh, Myanmar dan Sri Lanka mendarat di pulau Rote pada Isnin selepas tentera laut Australia memintas bot mereka dan menolak kemasukannya, lapor Agence France-Presse.
"Menurut keterangan mereka, tentera laut dan imigresen Australia menolak kemasukan mereka selepas disoal siasat," AFP memetik Hidayat, seorang pegawai polis tempatan, sebagai berkata. "Mereka berkata mereka dalam perjalanan ke New Zealand."