Dua Rakyat Malaysia Ditembak Di Selatan Thailand
2015.06.29

Polis Thailand menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian tembakan yang membabitkan dua rakyat Malaysia di Sungai Kolok, daerah Narathiwat, selatan Thailand pada Isnin.
Jurucakap polis berkata, lelaki yang ditahan dikenali sebagai Jirasut Awae, rakyat Thailand berusia 52 tahun, selepas siasatan mengenai kejadian itu dilakukan.
“Berdasarkan imej daripada kamera litar tertutup, polis berjaya menahan lelaki itu di sebuah rumah sewa di bandar ini, dan beliau mengakui terlibat dalam kejadian tembakan itu.
“Polis sedang memburu seorang lagi lelaki yang masih bebas dipercayai bersama-sama Jirasut, yang dikenali sebagai Abunloh Lamaha, seorang rakyat Malaysia,” kata jurucakap polis itu.
Katanya, kejadian tembakan itu dipercayai berlaku berhampiran Pejabat Bekalan Air Sungai Kolok apabila kedua-dua rakyat Malaysia itu sedang menunggang motosikal yang di sewa sebaik tiba dengan sebuah feri dari Kelantan.
Beliau berkata, kedua-dua mereka dipercayai mahu ke pasar basah yang terletak berdekatan stesen kereta api di pusat bandar itu.
Katanya, lelaki yang dikenali sebagai Asrah Yefee yang memandu motosikal, mati selepas terkena satu tembakan di kepala manakala pembonceng Mohamad Asshraf Zafri, berada dalam keadaan kritikal selepas ditembak dari belakang.
Mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Kolok.
“Detektif polis yang berjaya mengumpul bahan bukti menemui beberapa kelongsong peluru .99mm dan kartrij mengandungi kira-kira 14 peluru berhampiran tempat kejadian,” kata jurucakap itu.
Kejadian tembakan itu merupakan yang kedua sepanjang bulan ini di daerah Narathiwat, di selatan Thailand yang bersempadan dengan negeri Kelantan, Malaysia.
Pada 20 Jun lepas, seorang ahli perniagaan dari Kelantan, yang dikenali sebagai Nik Li Nik Mat, 47, dipercayai dibunuh di bandar itu dan mayatnya dibuang berhampiran tapak perlupusan sampah.
Menurut polis, ahli perniagaan itu mengalami luka yang teruk di bahagian kepala, bahu dan dada selepas dipercayai ditetak menggunakan benda yang tajam.
Nik Li dipercayai berada di bandar itu dipercayai atas urusan mengutip hutang tertunggak daripada seorang rakyat Malaysia yang tinggal di bandar berkenaan.
Dua hari selepas kejadian itu, polis Thailand berjaya menahan tiga orang suspek termasuk pasangan suami isteri yang dipercayai terlibat dalam kes itu.
Menurut polis, mangsa dipercayai pergi ke bandar itu untuk mengutip hutang.