Wanita Mahu Berjihad Kesal Selepas Tiba Di Syria

Oleh staf BeritaBenar
2015.07.02
150702-MY-YUSOPHIN620 Wanita Syria lari menyelamatkan diri daripada serangan di kawasan bergolak di daerah Douma, di timur Damsyik. 22 April 2015
AFP

Seorang wanita Malaysia yang dipercayai berada di Syria menyatakan rasa kesalnya kerana menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) dan mahu pulang ke tanahair tetapi takut berbuat demikian kerana hukuman mati menunggu mereka yang cuba melepaskan diri dari kem IS.

Beliau yang dikenali sebagai Yusophin, 28, menyatakan kekesalannya kepada kakaknya, Sofie yang tinggal di Kuala Lumpur.

Disember lalu, IS telah memenggal kepala 120 anggota kumpulan sendiri, rata-rata mereka yang cuba kembali ke negara asal, jelas pemerhati Hak Asasi Manusia Britain yang berpengkalan di Syria.

Akhbar The Straits Times dalam laporan ekslusif pada Rabu menemubual Sofie, 31, seorang ibu kepada dua orang anak itu berkata, beliau mempunyai alasan tersendiri mengapa sering berasa bimbang setiap kali menonton berita di televisyen.

Ini kerana adik tunggal perempuannya, Yusophin, meninggalkan rumah tanpa berita sejak September tahun lalu untuk menyertai kumpulan pengganas.

"Dia hilang sejak September lalu. Selepas dua atau tiga hari, dia menghantar gambarnya di Raqqa, Syria di WhatsApp saya," jelas Sofie yang enggan mendedahkan nama sebenarnya kepada akhbar itu.

"Dia hanya beritahu mahu jihad di Syria,” kata Sofie.

Raqqa merupakan pusat pemerintahan IS dan lokasi menjalankan segala operasi di Syria dan Iraq.

Yusophin merupakan salah seorang daripada 66 rakyat Malaysia, bersama-sama beratus-ratus wanita dari Barat, termasuk dari Eropah, Amerika Syarikat dan Australia yang memilih untuk menyertai IS di Syria dan Iraq.

Sofie percaya bahawa adiknya itu mahu meninggalkan Syria sebaik sahaja tiba di sana tetapi amat sukar berbuat demikian kerana seperti yang diketahui, hukuman mati bakal menunggu  mereka.

"Dia menangis ketika kami bercakap. Kami berbual lebih kurang 30 minit. Malah adik saya memberitahu dia sudah berkahwin dengan rakyat Malaysia bernama Ashraf yang tiba selepas dia sampai di sana.

"Suaranya seperti menyesal, tetapi sangat sukar untuk melepaskan diri. Dia memberitahu bahawa di sana terlalu banyak tempat pemeriksaan," kata Sofie.

Menurut Sofie, Ashraf berasal dari Shah Alam dan memiliki perniagaan perkhidmatan pembersihan, dan bertemu Yusophin di Malaysia melalui seorang kawan.

"Sekarang dia telah berkahwin dan mengandung, Yusophin berazam untuk terus berada di Syria kerana dia mempunyai seseorang bersamanya," kata Sofie.

Yusophin memberitahu Sofie, beliau hidup di kem dan mempunyai ramai kawan baru di kalangan orang Asia di Raqqa yang tiba di kem itu setiap hari, dan jumlah mereka dianggarkan beratus-ratus termasuk rekrut baru dan juga penduduk yang berpindah ke kem itu.

"Yusophin mendedahkan orang Asia kebanyakannya dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina. Terdapat satu atau dua orang dari Singapura," kata Sofie.

Berubah selepas sertai kelas agama

Mengimbas kembali perubahan diri adiknya itu, Sofie berkata, Yusophin adalah seorang yang ceria dan tidak memakai hijab.

"Dia bekerja sebagai penyelia di sebuah pasaraya popular di sini. Namun semuanya berubah selepas dia menyertai kelas agama di Damansara Damai, Selangor. Selepas itu dia mula berhijab, dan lama-kelamaan dia tidak lagi memakai seluar jins serta memilih pakaian yang longgar.

"Saya ada menegurnya agar memakai pakaian berwarna warni dan tidak hanya bewarna hitam sahaja, namun saya dimarah. Malah dikatakan cuba mengawalnya. Selepas itu kelakuannya jauh berubah dan dia mula melepak bersama dengan kawan-kawan yang dikenali ketika mengikuti kelas agama.

"Selepas itu, dia membuat pinjaman peribadi RM20,000 dipercayai untuk membiayai lawatannya ke Syria. Dia terbang ke Istanbul di Turki dan melalui jalan darat ke bandar Gaziantep, berhampiran dengan sempadan Syria," jelasnya.

Sofie berkata, dia tidak akan berputus asa dan berharap agar adiknya akan kembali satu hari nanti.

"Saya tahu jika dia kakan embali, pasti dia akan dipenjara, tetapi itu lebih baik kerana berada dekat dengan keluarga di negara sendiri," katanya.

"Setiap malam apabila menonton berita saya sentiasa berharap tidak ada laporan rakyat Malaysia yang terbunuh di Syria," jelasnya.


Oleh staf BeritaBenar dengan maklumat dari laporan berita

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.