DAP Menggesa PAS Supaya Menangguhkan Pindaan Hudud


2015.03.04
MY-hudud-620 Ahli PAS mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan di luar masjid negara di Kuala Lumpur, 12 Januari 2013.
Photo: Benar

Pada hari Selasa (3 Mac), seorang ahli penting dalam Pakatan Rakyat menyeru Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menangguhkan pelaksanaan pindaan rang undang-undang yang lebih ketat kepada kanun jenayah syariah negeri tersebut dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan, media tempatan melaporkan.

PAS telah bersetuju untuk membentangkan kepada ahli-ahli Pakatan Rakyat (PR) pindaan kepada Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 itu tetapi gagal berbuat demikian apabila Parlimen bersedia untuk bersesi selama sebulan bermula 9 Mac, seorang ahli perundangan kanan dalam Demokratik Parti Tindakan Rakyat (DAP) berkata.

PAS memerintah negeri di pantai timur Semenanjung itu.

Kerajaan negeri Kelantan dilaporkan merancang mengetepikan pindaan berkenaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada 18 Mac, Malay Mail Online melaporkan.

"Oleh kerana mungkin tidak cukup masa untuk mengkaji pindaan rang undang-undang kepada Kanun Jenayah [Syariah] Kelantan 1993, saya cadangkan kepada Dewan Undangan Negeri Kelantan menangguhkan apa-apa pembentangan pindaan pada bulan ini," kata pemimpin parlimen DAP Lim Kit Siang dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari Selasa.

Hukuman yang lebih berat

PAS juga dijangka akan mengetepikan cadangan yang bertujuan untuk menghapuskan langkah perlembagaan yang diambil untuk menghalang pelaksanaan hudud iaitu undang-undang jenayah di bawah kod syariah, mengikut laporan Malay Mail Online. Jika hudud dilaksanakan, hanya orang Islam sahaja yang akan dikenakan hukum tersebut dan ini akan termasuk memotong anggota badan penjenayah kerana perbuatan mencuri, AFP melaporkan.

Cadangan tersebut disokong oleh Nik Aziz, pemimpin PAS yang meninggal dunia bulan lepas pada usia 84 akibat kanser prostat.

Walau bagaimanapun, cadangan perundangan hendaklah terlebih dahulu dikemukakan kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, Lim berkata, mengikut laporan Free Malaysia News.

"Ia tidak patut dibentangkan seperti yang dicadangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 18 Mac," akhbar itu memetik Lim, seorang Ahli Parlimen yang mewakili Gelang Patah di negeri Johor.

Perselisihan antara sekutu

Ketegangan antara PAS dan juga sekutunya timbul berkenaan isu hudud.

Pegawai PAS, khususnya, menolak kritikan bahawa parti mereka telah melanggar perjanjian dengan sekutu mereka.

Pada akhir bulan Februari, PAS memberi amaran kepada mereka supaya tidak menghina isu tersebut, mengikut laporan yang dikeluarkan oleh The Star pada 24 Februari yang lalu.

"Saya ingin mengingatkan DAP bahawa PR bukan milik mereka. PR dibentuk oleh tiga parti dan tidak ada sekutu yang boleh menetapkan apa yang kami boleh atau tidak boleh lakukan,” The Star memetik Penolong Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

"Saya juga ingin mengingatkan DAP bahawa PAS tidak pernah meninggalkan perjuangan untuk melaksanakan hudud di Malaysia .... PAS komited dalam melaksanakan undang-undang Allah untuk mengurangkan kadar jenayah," katanya.

Tambahan lagi, mengikut laporan The Star, parti keagamaan ini akan terus berjuang dalam pelaksanaan pindaan berkenaan, Timbalan Menteri Besar negeri Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah memberitahu pemberita pada 22 Februari yang lalu.

"Walaupun kami telah menunggu 23 tahun, kami masih bersabar dalam perjuangan kami untuk melihat hudud dilaksanakan sebagai undang-undang tertinggi di Kelantan dan tiada apa-apa yang akan dapat menghalang kami, termasuk sekutu kami dalam PR," kata pegawai PAS itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.