Pengerusi Bank Direman, Seleweng Dana Buku RM15 Juta
2016.08.30
Putrajaya

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa memperoleh reman tujuh hari bagi menahan pengerusi sebuah bank terkemuka di Malaysia, Bank Rakyat, untuk membantu siasatan kes penyelewengan dana penerbitan buku berjumlah RM15 juta milik bank berkenaan.
Lelaki berusia 65 tahun itu, yang dipercayai bekas pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Selasa bagi mendapatkan penahanan reman daripada Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman.
Suspek itu diminta menghadirkan diri ke pejabat SPRM Kuala Lumpur pada tengah hari Isnin dan dibawa ke Pejabat SPRM Putrajaya pada 3 petang sebelum beliau kemudiannya ditahan agensi itu.
Pengarah Siasatan SPRM Azam Baki yang dihubungi BeritaBenar pada Selasa, mengesahkan tentang penahanan reman pengerusi bank itu yang bergelar ‘Tan Sri’ namun, beliau enggan mengulas lanjut kerana kes berkenaan masih dalam siasatan.
Sementara itu, pengarah urusan dan bekas pengarah perolehan bank tersebut serta dua pemilik syarikat penerbitan dibebaskan pada Selasa selepas siasatan terhadap mereka selesai dijalankan.
Menurut sumber BeritaBenar, selain menyiasat tentang penyalahgunaan dana itu, SPRM juga akan menyiasat mengenai pelanggaran prosedur dalam pemberian dana bagi menghasilkan buku mengenai seorang pemimpin di Malaysia.
“Dana RM15 juta milik bank itu sudah pun disalurkan kepada syarikat penerbitan yang dipilih,” kata sumber berkenaan.
Sumber itu mendedahkan bahawa dana bank itu sepatutnya digunakan untuk menghasilkan sebuah buku mengenai hubungan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan bapanya Abdul Razak Hussein, yang merupakan Perdana Menteri Malaysia kedua.
Menurut sumber itu, kontrak penghasilan buku berkenaan telah dianugerahkan kepada syarikat penerbitan terbabit pada tahun lepas
Sumber itu memberitahu bahawa SPRM menerima maklumat mengenai kes tersebut daripada pemberi maklumat baru-baru ini.
Suspek bekas panglima Angkatan Tentera dan Duta Besar ke Perancis
Carian BeritaBenar dalam laman web Bank Rakyat mendapati pengerusi bank tersebut ialah Jeneral Abdul Aziz Zainal (Bersara), yang merupakan Panglima Angkatan Tentera Malaysia dari 2007 hingga 2009. Beliau juga pernah berkhidnat sebagai Duta Besar Malaysia ke Perancis dari 2010 ke 2013.
Menurut laporan akhbar The Malay Mail, selain menyiasat suspek mengikut Sekysen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) AMLA(Akta Pengubahan Wang Haram), SPRM turut membeku wang RM1 juta dalam akaun miliknya.
Mengikut perjanjian penerbitan buku itu, sebanyak 20,000 naskah sepatutnya diterbitkan namun, jumlah yang dihasilkan dikatakan jauh lebih rendah, menurut laporan itu.
SPRM kini diterajui Ketua Pesuruhjaya baharu, Dzulkifli Ahmad, yang sebelum ini mengetuai pasukan penguatkuasaan pemulihan pendapatan negara, Jabatan Peguam Negara. Beliau menggantikan Abu Kassim Mohamed yang memilih untuk mempercepatkan penamatan tempoh kontraknya kerana ditawarkan menjadi pakar jemputan di International Anti-Corruption Academy (IACA), iaitu Universiti Pencegahan Rasuah pertama di dunia yang terletak di Austria.
Semasa diterajui oleh Abu Kassim, SPRM telah menjalankan siasatan skandal 1MDB yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Najib Razak.
Menurut laporan Wall Street Journal, agensi itu telah meminta Peguam Negara untuk memfailkan tuduhan jenayah terhadap Najib berhubung wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank beliau melalui entiti yang berkaitan dengan 1MDB.
Dalam satu temu bual eksklusif bersama agensi berita nasional Malaysia, Bernama, baru-baru ini, Dzulkifli berkata, fokus utamanya adalah memastikan perkhidmatan awam bersih daripada gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Kita tidak mahu perkhidmatan awam dicemari dengan perbuatan rasuah dan ada pegawai kanan yang dilihat berkehidupan mewah melebihi pendapatannya serta mengumpul harta melalui perbuatan jenayah rasuah,” katanya dalam laporan itu.
Tiga pegawai tinggi kerajaan ditahan
Pada 15 Ogos lalu, SPRM telah menahan tiga pegawai tinggi kerajaan termasuk seorang pegawai tinggi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk membantu siasatan berkaitan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.
SPRM turut membeku wang berjumlah RM13 juta dalam akaun bank milik ketiga-tiga suspek itu.
Seorang daripada suspek itu didapati memiliki 31 kondominium mewah bernilai lebih RM15 juta. Ketiga-tiga mereka telah dibebaskan dengan ikat jamin.