Pengerusi dan Pengarah Bank Rakyat Didakwa Seleweng Dana RM15 Juta
2016.09.07
Kuala Lumpur

Pengerusi Bank Rakyat, sebuah bank terkemuka di Malaysia, dan pengarah urusannya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu berhubung kes penyelewangan dana penerbitan buku bernilai hampir RM15 juta pada Mac lepas.
Pengerusi bank Abdul Aziz Zainal yang juga bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia dan pengarah urusan bank Mustafha Abd Razak bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mardhiah Hasbullah selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, Abdul Aziz, 65, yang berpangkat Tan Sri dan jeneral bersara, didakwa bersubahat dengan Mustafha untuk melakukan pecah amanah terhadap satu harta iaitu Peruntukan Kumpulan Perbelanjaan Pemasaran Kod 59100 berjumlah RM14,991,283.20 juta.
Mustafha, 48, pula didakwa pecah amanah terhadap harta itu di bawah peruntukan dan nilai yang sama.
Abdul Aziz dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 409 Kanun Keseksaan manakala Mustafha didakwa mengikut Seksyen 409 kanun yang sama. Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun hingga 20 tahun dengan sebatan dan boleh didenda.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Menara Kembar Bank Rakyat di Jalan Travers pada 11 Mac lepas.
Hakim Madihah Harullah menetapkan ikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan memerintahkan pasport kedua-dua tertuduh diserahkan ke mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 10 Oktober ini sebagai tarikh sebutan kes.
Pengarah Bahagian Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Masri Mohd Daud bertindak bagi pihak pendakwaan manakala Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin mewakili Mustafha dan peguam Muhammad Shafee Abdullah mewakili Abdul Aziz.
Kedua-dua tertuduh tiba di Mahkamah Sesyen kira-kira 9:45 pagi ditemani peguam dan ahli keluarga mereka.
Abdul Aziz merupakan Panglima Angkatan Tentera Malaysia dari 2007 hingga 2009 dan pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Perancis dari 2010 ke 2013.
Menurut sumber BeritaBenar, dana bank itu sepatutnya digunakan untuk menghasilkan sebuah buku mengenai hubungan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan bapanya Abdul Razak Hussein, yang merupakan Perdana Menteri Malaysia kedua.
Kontrak penghasilan buku berkenaan telah dianugerahkan kepada syarikat penerbitan terbabit pada tahun lepas, kata sumber itu sambil memberitahu bahawa SPRM menerima maklumat mengenai kes tersebut daripada pemberi maklumat baru-baru ini.
Bukan Kes Pertama Bank Rakyat
Menurut laporan The Star, penahanan Abdul Aziz dan Mustafha berhubung dakwaan kes pecah amanah, bukanlah skandal pertama yang melanda bank itu, kerana pada 1977, pengerusi bank pada masa itu, Harun Idris telah dijatuhi hukuman penjara kerana rasuah.
Harun, bekas Menteri Besar Selangor, telah ditahan dan didakwa bersama pengarah urusan bank itu, Abu Mansor Basir dan pengurus besar Ismail Din.
Mereka dituduh memalsukan minit mesyuarat dengan tujuan menipu bank dengan mencagarkan sahamnya kepada First National City Bank (kini Citibank) bagi mendapatkan surat pinjaman untuk Tinju Dunia Sdn Bhd menganjurkan pertarungan Muhammad Ali vs Joe Bugner, menyebabkan Bank Rakyat kerugian RM7.9 juta.
Mahkamah Tinggi memerintahkan Harun dijatuhkan hukuman penjara 6 bulan dan denda RM15,000 kerana bersubahat dalam kesalahan pecah amanah. Abu Mansor pula dijatuhi hukuman 2 tahun penjara sementara Ismail dipenjarakan setahun.
Pada tahun sama, Mahkamah Persekutuan memperkukuhkan sabitan dan meningkatkan hukuman penjara Harun kepada 4 tahun, Abu Mansor kepada 3 tahun penjara tetapi mengurangkan hukuman penjara Ismail kepada sehari dan denda RM10,000.
Bagaimanapun, selepas menjalani hukuman penjara 3 tahun, Yang di-Pertuan Agong pada masa itu, berkenaan mengampunkan Harun pada 1981.