Selatan Thailand: Tiga Orang Termasuk Kanak-kanak Perempuan Terbunuh Dalam Pengeboman

Staf BeritaBenar
2016.09.07
Narathiwat, Thailand
160906-TH-bombings-1000.jpg Beberapa lelaki sedang mengebumikan jenazah seorang bapa dan anak perempuannya yang berusia 4 tahun, yang terbunuh dalam satu serangan bom di wilayah Narathiwat, selatan Thailand, 6 September, 2016.
[BeritaBenar]

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun dan bapanya adalah antara tiga orang yang maut apabila sebuah motosikal yang dilengkapkan dengan bom meletup di seberang sebuah sekolah di wilayah bermasalah di Selatan Thailand pada pagi Selasa, kata pihak berkuasa.

Dalam satu langkah luar biasa pada hari yang sama, ahli Barisan Revolusi Nasional (BRN) - kumpulan pemisah bersenjata terbesar yang beroperasi di wilayah itu – memberitahu BeritaBenar bahawa unit tempurnya melakukan serangan tersebut di daerah Tak Bai di wilayah Narathiwat, serta beberapa pengeboman maut di Selatan Thailand dan tempat-tempat pelancongan di wilayah utara negara itu baru-baru ini.

"Kami ingin memberitahu bahawa serangan di daerah Tak Bai adalah tindakan operasi kami, selain pengeboman kereta api dan serangan-serangan di tujuh wilayah atas Selatan," kata ketua unit pertempuran BRN dikenali sebagai Runda Kumpulan Kecil (RKK ), yang tidak mahu namanya disiarkan.

Beliau merujuk kepada pengeboman kereta api yang mengorbankan seorang pekerja kereta api di Pattani - satu lagi wilayah Selatan - pada  Sabtu, dan 11 pengeboman yang membunuh empat orang dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain di kawasan atas Selatan Thailand pada 11-12 Ogos lalu. Dua belas hari kemudian, sebuah kereta bom meletup di luar sebuah hotel di bandar Pattani, yang membunuh dua orang dan mencederakan 29 yang lain.

RKK, menurut sumber itu, juga bertanggungjawab dalam insiden bom  kereta yang sempat dimatikan di luar balai polis di Narathiwat pada pagi Jumaat – bersamaan hari kerajaan Thailand menyambung rundingan damai tidak rasmi di Kuala Lumpur dengan MARA Patani, satu panel yang mewakili pelbagai kumpulan pemberontak dan puak di Selatan Thailand, selepas tertangguh selama empat bulan.

BRN diwakili dalam panel itu tetapi keahliannya telah terpisah berikutan usaha meneruskan rundingan damai rasmi dengan kerajaan tentera Thailand.

"Kami mahu memberi respons kepada rundingan itu yang tiada perkembangannya...," kata pemimpin RKK itu, sambil menambah, "Kerajaan tidak menunjukkan keikhlasan mereka untuk mendapatkan keamanan sebenar."

Beliau berkata unitnya tidak berniat membunuh orang awam tetapi menyasarkan pegawai polis.

Polis Thailand mengesyaki pengeboman di kawasan atas wilayah Selatan dilakukan oleh 20 suspek dari Selatan Thailand, tetapi pegawai-pegawai berkata serangan itu bukan sebahagian daripada pemberontakan wilayah yang telah membunuh lebih daripada 6,000 orang sejak 2004.

Kumpulan-kumpulan pemberontak dari Selatan jarang mengaku tanggungjawab bagi serangan bom tepi jalan atau tembakan di wilayah ini yang majoritinya beragama Islam dan berbahasa Melayu.

Serangan tidak berkaitan dengan rundingan, letupan kawasan atas Selatan: Pegawai

Letupan berhampiran sekolah rendah Ban Taba berlaku ketika ibu bapa mengiringi anak-anak mereka ke perkarangan sekolah.

Letupan  bom itu membunuh Mayeng Wohba dan anak perempuannya, Mitra Wohba, kata pihak berkuasa.

Seorang orang awam, Talmese Mada-o, 23, turut terbunuh manakala sembilan yang lain cedera termasuk empat pegawai, menurut pihak Pemerintah Operasi Keselamatan Dalaman (ISOC) Tentera Thailand.

Bom seberat 20 kilogram (44 paun) berada di dalam silinder gas yang diikat di bakul hadapan sebuah motosikal yang ditempatkan di hadapan sebuah kedai bertentangan dengan pintu masuk ke sekolah itu, kata pegawai ISOC.

Pelakunya telah mencuri motosikal itu daripada pemiliknya, yang ditembak mati di Tak Bai pada 19 Jun lalu, kata pegawai.

Kol. Yuthanam Petchmuang, timbalan bagi ibu pejabat serantau ISOC, berkata, pemberontak disyaki menjadi dalang serangan itu, tetapi "ia tidak berkaitan dengan serangan di tujuh kawasan atas wilayah Selatan  dan rundingan damai."

Menurut Krisana Yuangsa-ard, komander unit khas 31 Tentera Thailand di Narathiwat, kumpulan yang melakukan pengeboman pada Selasa  diketuai oleh seorang pemberontak yang dikenali sebagai Romli Jehyi.

"Pihak berkuasa sedang mengesan operasi jenayah mereka, tetapi tidak menjangka penjenayah akan meletakkan motosikal yang dilengkapkan dengan bom di hadapan kedai yang bertentangan dengan sekolah," kata Krisana kepada pemberita.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.