Projek Kereta Baru Buka Peluang Untuk Jurutera
2018.06.12
Kuala Lumpur

Projek kereta nasional baru yang ingin dilancarkan oleh kerajaan Malaysia akan membuka peluang kepada jurutera automotif negara untuk mengasah kemahiran mereka dalam industri tersebut, kata perdana menteri Mahathir Mohamad pada Selasa.
Mahathir disoal media Malaysia ketika di Tokyo menegaskan bahawa projek kereta kebangsaan pada dasarnya bukanlah semata-mata bermatlamat untuk menghasilkan sebuah produk automotif jenama tempatan tetapi sebaliknya bertindak sebagai pemangkin untuk kemajuan sektor kejuruteraan di negara ini.
“Di seluruh dunia ketika ini, bahagian-bahagian automotif yang digunakan dalam pembuatan kereta dibuat di luar negara, dan ini boleh menjana pendapatan yang tinggi,” kata Mahathir selepas bertemu dengan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe pada Selasa.
Mahathir menegaskan, dengan penubuhan syarikat automotif Proton, negara telah melahirkan ramai jurutera dan menghasilkan industri kejuruteraan dinamik yang berkisar kepada syarikat automotif tersebut.
Beliau dalam sidang media tersebut turut berkata bahawa projek itu masih dalam fasa cadangan dan sekiranya ia menjadi kenyataan, projek itu akan dikendalikan oleh pihak swasta yang berkelayakan dan bukan oleh kerajaan.
“Kita akan lihat apa yang kita boleh buat. Setelah lebih 25 tahun kita sekarang ada pengetahuan untuk mereka dan membina kereta dalam kuantiti yang besar. Malangnya, Proton sudah dijual kepada China yang membolehkan mereka mengawal syarikat tersebut. Jadi Malaysia tidak dapat mengunakan kepakaran mereka. Jadi kita perlu mencipta peluang bagi jurutera Malaysia,” kata Mahathir.
Cadangan perdana menteri untuk memulakan projek kereta kebangsaan yang baru hangat dibincangkan di media sosial tempatan termasuk bekas perdana menteri Najib Razak dan ahli politik pembangkang Khairy Jamaluddin dari Barisan Nasional.
Mahathir dalam lawatan kerja tiga hari ke Jepun membuat kenyataan demikian dalam satu sesi soaljawab bersama wakil media Jepun selepas selesai ucaptamanya di Persidangan Nikkei di Tokyo pada Isnin.
“Sebagaimana yang diketahui, syarikat automotif kebangsaan kita telah dibeli oleh sebuah syarikat dari China, jadi kita perlu melihat kembali idea kereta kebangsaan,
“Selama lebih 20 tahun bekerjasama dengan syarikat automotif Mitsubishi kita telah pelajari teknik merekacipta dan memasang kereta, namun ada komponen-komponen rumit yang kita perlu pelajari daripada syarikat-syarikat lain, termasuklah dari Jepun,” kata Mahathir.
Najib dalam komen yang dimuatnaik di laman Facebooknya menyifatkan pelaksanaan dasar perlindungan yang terhasil daripada projek kereta kebangsaan sebagai satu dasar yang akan membebankan rakyat dengan harga kereta dan kos kewangan yang tinggi.
“Semasa saya menjadi perdana menteri, saya telah menjadikan penurunan harga kereta secara berperingkat sebagai satu keutamaan melalui pengurangan kadar cukai dan dengan memperkenalkan insentif di samping memperluas projek-projek pengangkutan awam.
“Hasilnya, harga kereta kini lebih rendah daripada ketika saya memegang tampuk perdana menteri dan kadar penggunaan pengangkutan awam turut meningkat,” katanya.
Selain dari Najib, ketua pemuda Umno Khairy turut mempersoalkan keperluan projek tersebut lebih-lebih lagi memandangkan tindakan kerajaan yang membatalkan projek-projek pengangkutan awam seperti Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) ke Singapura dan MRT3 di Lembah Klang atas dasar penjimatan kos.
“Sejak 1984 Kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan kewangan merangkumi pinjaman mudah dan geran berjumlah RM15.3 bilion kepada Proton.
“Projek kereta nasional seperti ini juga akan menambah kos kepada rakyat melalui duti eksais yang mencecah sehingga 105% yang membebankan pengguna yang ingin membeli kereta jenama selain kereta nasional,” kata Khairy yang juga ahli parlimen Rembau.
Khairy melalui laman Facebook peribadinya bertegas bahawa melainkan kereta yang akan dibina itu merupakan kereta elektrik sepenuhnya, ia tidak akan membawa manfaat kepada negara sama ada dari segi ekonomi mahupun alam sekitar.
Anthony Lim dari penerbitan automotif terkemuka Malaysia, Paul Tan, turut mengakui persepsi negatif rakyat Malaysia berkenaan cadangan perdana menteri tersebut, tambahan lagi kerana selain Proton, Malaysia juga mempunyai syarikat automotif Perodua yang masih dimiliki oleh Malaysia.
“Pokoknya rakyat Malaysia menginginkan kereta dengan harga yang berpatutan tanpa mengambilkira sama ada kereta itu berjenama tempatan atau tidak.
“Perkara terakhir yang mereka inginkan ialah kemunculan semula dasar perlindungan kerajaan dalam bentuk persaingan dan percukaian,” jelas Anthony.
Manakala bagi penganalisa ekonomi Azfar Hanif Azizi, School of Oriental and African Studies (SOAS) University of London, beliau percaya polisi perindustrian penting untuk kemajuan negara-negara membangun.
“Tanpa bantuan kerajaan dalam industri teknologi tinggi kita akan cuma mampu menghasilkan produk-produk komoditi dan teknologi rendah.
“Jika kita bekerjasama dengan negara jiran seperti yang dicadangkan oleh perdana menteri, kita akan dapat akses ke pasaran yang lebih meluas. Tambahan lagi, apabila kita fokus kepada kereta kebangsaan ini tidak bermakna kita menyisihkan pengangkutan awam kerana kedua-dua itu adalah dua isu yang berbeza,” kata beliau kepada BeritaBenar.
Konglomerat Malaysia, DRB-Hicom yang memiliki Proton menjual 49.9% pegangan saham dalam syarikat automotif itu kepada Geely Holding Group dari China pada Mei 2017 selepas Proton menanggung kerugian berjumlah 1 billion ringgit bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mac 2016.
Geely yang juga memiliki jenama Volvo bercadang memperluas perniagaannya ke Asia Tenggara melalui pembelian Proton.
Proton yang ditubuhkan pada 1983 merupakan hasil idea Perdana Menteri Mahathir Mohamad melalui konsep kereta kebangsaan yang dilancarkan pada 1979.