Malaysia Tingkatkan Pengawasan di Rumah Ibadat Susulan Insiden Keganasan di Luar Negara
2019.03.19

Ketua Polis Negara Fuzi Harun pada Selasa menegaskan bahawa pihak polis sedia berdepan sebarang kemungkinan susulan insiden keganasan di New Zealand dan tembakan rambang di Belanda yang mengorbankan 53 nyawa sehingga kini.
Beliau yang ditemui di majlis koperasi polis di Kuala Lumpur berkata arahan berhubung perkara itu telah dikeluarkan kepada anggota di semua peringkat.
“Saya telah arahkan semua Ketua Polis Negeri, Ketua Balai dan pegawai-pegawai bawahan untuk berjaga-jaga dan mengawasi kawasan gereja takut-takut berlaku sebarang serangan balas, juga di kuil-kuil dan sebagainya,” kata Fuzi.
Oleh itu, beliau menegaskan bahawa pihaknya telah mengambil tindakan pantas dan orang ramai tidak perlu risau.
“Anda semua tidak perlu risau, kami sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga,” tegas ketua polis tersebut.
Dalam serangan ganas yang mengemparkan dunia di dua masjid di Christchurch, New Zealand Jumaat lalu, seorang warga Australia, Brenton Tarrant, dipercayai memasuki masjid ketika umat Islam sedang menunaikan solat Jumaat dan membunuh 50 orang di dua lokasi.
Tarrant dalam manifesto 75 muka surat yang sudah disekat aksesnya selepas dia ditahan, menyatakan bahawa perbuatannya didorong oleh beberapa sebab seperti penghijrahan pendatang ke Eropah dan juga penyusutan populasi dalam kalangan masyarakat Eropah yang terjejas kerana jumlah kelahiran yang berkurangan berbanding pendatang.
Dia yang kini dalam tahanan pihak berkuasa New Zealand dan berdepan pertuduhan membunuh, antara lain, menyebut dalam manifestonya bahawa dia mengagumi tindakan tentera Serbia yang melakukan penghapusan etnik terhadap umat Islam dalam Perang Bosnia pada 1992 serta memetik nama pengganas Norway, Anders Behring Breivik yang membunuh 69 remaja di satu kem musim panas pada 2011.
Antara yang terkorban dalam insiden pada Jumaat lepas ialah seorang warga New Zealand berketurunan Malaysia, Sayyad Ahmad Milne, 14, manakala tiga lagi warga Malaysia sedang menjalani rawatan selepas cedera dalam serangan itu.
Sementara itu, Haziq Tarmizi, 17, masih diklasifikasikan sebagai hilang apabila gagal ditemui selepas lima hari insiden tersebut berlaku.
Dalam pada itu, tiga orang terkorban manakala lima lagi cedera di Utrecht pada Isnin selepas seorang lelaki melepaskan tembakan di dalam tram yang sedang bergerak di bandar tersebut. Polis Belanda telah menahan seorang lelaki berbangsa Turki dalam kes itu.
Ketua Polis Negara dalam sidang media yang sama juga berkata Malaysia tidak akan membenarkan negara ini dijadikan pusat ‘pembuangan’ pengganas luar negara.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas lanjut tindakan pihaknya menahan 13 individu yang dipercayai militan di Sabah minggu lepas kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Sayyaf (ASG), Tentera Diraja Sulu (RSF) dan adik-beradik Maute di bandar Marawi selatan Filipina pada 2017.
“Kita tidak mahu negara kita menjadi ‘pusat pembuangan’ kepada aktiviti keganasan yang melibatkan pihak luar khususnya,” kata Fuzi lagi.
Kesan tindakan balas
Mengulas komen Ketua Polis Negara berkaitan peningkatan tahap keselamatan di pusat ibadat di seluruh negara, penganalisis keselamatan serantau dari Universiti Malaysia Sabah Lai Yew Ming berkata memang wujud risiko berlakunya serangan balas ke atas tempat-tempat ibadat lain di Malaysia seperti gereja dan kuil.
“Apa yang paling penting buat masa sekarang ialah pihak berkuasa Malaysia dan orang awam mengambil sikap mengawasi sebarang usaha untuk menyemarakkan api perkauman dan keagamaan,” kata beliau kepada BeritaBenar.
Tambahnya, dalam suasana sekarang yang sensitif, tidak mustahil ada puak pelampau agama menggunakan pelbagai isu domestik untuk menggugat keamanan masyarakat berbilang kaum di Malaysia dengan mengaitkannya dengan serangan-serangan di luar negara.
Farlina Said, penganalisis antikeganasan di Institut Strategik dan Pengajian Antarabangsa turut meluahkan kebimbangan yang sama kerana serangan tersebut disifatkan sebagai khusus menentang sesuatu agama.
“Dalam situasi ini, mungkin bijak bagi sebuah kerajaan untuk mempromosi mesej-mesej balas yang berteraskan kesatuan dan ini perlu dilakukan secara berterusan selari dengan keperluan individu yang akan terdedah kepada ancaman pada hari-hari dan bulan-bulan yang mendatang,” katanya kepada BeritaBenar.
Menurut beliau, kesemua mesej ini penting bagi membalas imej-imej, video serta manifesto yang dikeluarkan puak pengganas selepas insiden tersebut yang mungkin kini digunakan untuk menarik lebih ramai pengikut dalam menjayakan agenda mereka.