Dua Lagi Projek Lebih Hampir Dengan Kuari Diluluskan
2017.10.23
George Town, Malaysia

Kerajaan negeri Pulau Pinang mempersoal bagaimana dua lagi projek yang lebih hampir kedudukannya dengan tapak kuari diluluskan setelah Jabatan Alam Sekitar (JAS) menolak projek pembinaan kondominum di mana berlakunya satu insiden tanah runtuh pada Sabtu dan menyebabkan 11 orang maut.
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, yang menyelia JAS, pada Ahad berkata projek pembinaan kondominium 50 tingkat itu ditolak kerana pembangunannya dilakukan berhampiran dengan sebuah tapak kuari granit.
Dalam kejadian pukul 9 pagi Sabtu itu, satu runtuhan tanah berlaku ketika kira-kira 20 buruh binaan sedang bekerja di tapak projek yang terletak berhampiran lereng bukit Lembah Permai di Tanjung Bungah, sebuah kawasan pelancongan terkenal di negeri itu.
Kejadian itu telah meragut 11 nyawa dan kerja-kerja mencari serta menyelamat dihentikan pada tengah hari Isnin apabila kesemua mangsa telah ditemui.
Mayat terakhir yang dikeluarkan adalah satu-satunya rakyat Malaysia, Yuan Kuok Wern, 27, yang bekerja sebagai seorang penyelia di projek kondominium mampu milik itu.
Sepuluh lagi mangsa ialah 3 rakyat Myanmar, 4 rakyat Bangladesh, 2 rakyat Indonesia dan seorang rakyat Pakistan.
Hampir 100 anggota pelbagai agensi penyelamat, termasuk pasukan SMART dan Bomba Malaysia, telah dikerah dalam operasi mencari dan menyelamat yang berjalan selama tiga hari itu.
BeritaBenar difahamkan kuari itu, yang aktif sejak 1960, melakukan kerja-kerja pengeboman batu granit dua kali sebulan, dengan yang terakhir pada 10 Okt lalu.
Dua projek lain lulus
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Maimunah Mohd Sharif berkata dua projek lain yang lebih hampir dengan kuari itu ialah pembinaan rumah teres 3 tingkat dan kampus cawangan Kolej Tunku Abdul Rahman (TARC), masing-masing kurang 350 meter dari kuari tersebut.
“Kedua-dua tapak projek tersebut kurang 350 meter dari kuari itu. Manakala lokasi tanah runtuh di tapak pembinaan itu melebihi 350 meter,” katanya dalam satu sidang media pada Isnin.
Maimunah berkata pusat sehenti (OSC) MBPP memberi kelulusan kepada projek perumahan mampu milik itu walaupun ia telah ditolak oleh JAS.
Katanya, jawatankuasa OSC adalah badan pembuat keputusan untuk kelulusan perancangan dalam MBPP.
“Projek ini diluluskan dengan pelbagai syarat ,pelbagai peringkat dan pelbagai pelan. Adalah menjadi tugas jururunding untuk memastikan semua syarat ini dipatuhi,” katanya sambil menambah segala butiran akan diserah kepada Suruhanjaya Siasatan Negeri yang bakal ditubuhkan tidak lama lagi.
Maimunah berkata projek pembangunan itu mematuhi Garis Panduan Keselamatan Pembangunan Lereng Bukit 2012 yang disokong oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).
Dalam satu kenyataan semalam, kementerian terbabit berkata satu surat yang dikeluarkan oleh JAS Pulau Pinang pada Januari 2015 telah menolak permohonan projek itu kerana tidak memenuhi keperluan zon penampan yang ditetapkan.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengakui kebenaran surat tersebut tetapi berkata projek itu diteruskan setelah memperoleh kebenaran dan sokongan daripada 20 agensi, termasuk JMG pada 30 Dis 2014.
"Projek itu diteruskan selepas mengambil kira pandangan dan persetujuan 20 agensi ketika permohonan kebenaran merancang dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Sehenti (JK OSC) pada 18 Dis 2015," katanya dalam sidang media pada Isnin.
Suruhanjaya ditubuhkan
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang melawat lokasi kejadian pada Sabtu berkata tragedi itu merupakan kemalangan di tempat kerja dan majlis bandaraya diarah untuk memeriksa semua tapak pembinaan, terutama yang berkaitan cerun.
“Saya mahu mengesyorkan suruhanjaya siasatan diberi kuasa untuk menyiasat semua perkara sampingan yang berkaitan dengan projek itu dan kita tidak benarkan mereka memulakan kerja-kerja pembinaan dalam projek ini sehingga selesai siasatan,” kata Lim, yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Pada Ahad, gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Penang Forum telah menggariskan enam tuntutan, antaranya, menghentikan semua projek di lereng bukit dengan segera.
“Laporan mengenai kerja-kerja di lereng bukit itu pernah dihantar ke pengetahuan kerajaan negeri pada Januari lalu dan respons diterima bahawa kerja-kerja sedang dipantau, dan sekali lagi laporan dihantar pada bulan Mei namun tiada jawapan diterima,” menurut jurucakap NGO terbabit, Lim Mah Hui.
Tambahnya, tragedi tersebut dapat dielak jika kerajaan Pulau Pinang, yang dipimpin oleh parti DAP, memberi perhatian kepada suara penduduk dan NGO.
“Saya kesal kerana garis panduan berkaitan pembangunan di lereng bukit sudah diwartakan tetapi tidak dipatuhi,” tambahnya.
Sementara itu, profesor Pusat Pengajian Sains Hayat (Bahagian Persekitaran) Universiti Sains Malaysia, Zulfigar Yasin, berkata punca kejadian tersebut ialah bencana semula jadi ataupun kecuaian.
“Selain itu, peringkat reka bentuk yang lemah atau pembinaan yang tidak menepati piawaian atau faktor kedua-duanya sekali boleh menjadi punca runtuhan berlaku,” katanya kepada BeritaBenar.
Menurutnya lagi, pihak berwajib sepatutnya menghentikan permohonan atau kelulusan kerana terdapat kelemahan yang membawa kepada tragedi tersebut, dan satu garis panduan perlu diguna pakai oleh semua pihak serta diterima oleh industri pembinaan.
“Garis panduan yang dianjurkan mestilah praktikal dan pemantauan oleh ilmuwan yang pakar dan bertanggungjawab,” katanya sambil menambah pihak yang memberi kelulusan projek tersebut boleh dipersoal kerana terdapat nyawa yang terkorban.
Sementara itu, seorang wakil rakyat DAP menegaskan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang sepatutnya mendengar cadangan serta nasihat pelbagai pihak dari awal bagi mengelak tragedi tersebut.
Adun DAP Tanjung Bunga, Teh Yee Cheu, berharap tragedi tersebut akan menyedarkan dan membuka minda kerajaan negeri setelah sering bersuara terhadap pembangunan di lereng-lereng bukit di negeri itu.
“Saya banyak kali melahirkan kebimbangan mengenai projek pembangunan yang keterlaluan dan di lereng bukit di dewan undangan negeri. Saya telah mengatakan sebelum ini, jika kerajaan membenarkan projek-projek sedemikian, ia perlu bertanggungjawab sekiranya sesuatu berlaku. Sudah tentu pemaju juga tidak boleh lari,” kata Teh pada Isnin.
Dua warga asing yang bekerja di sektor pembinaan di negeri itu juga berharap syarikat pembinaan akan lebih berhati-hati ketika menjalankan pembinaan di lereng bukit.
“Buat kerja di sini lagi selamat dari bukit. Bukit berbahaya lebih-lebih lagi jika ada air, boleh runtuh,” kata Abdullah Halim dari Indonesia, yang bekerja di sebuah projek perumahan kepada BeritaBenar.
Mohammed Aziz dari Myanmar pula berkata majikannya mengambil berat tentang aspek keselamatan, dan apa yang berlaku di Tanjung Bungah adalah sesuatu yang menyedihkan.
"Bos bagi alat untuk keselamatan macam topi, baju, kasut dan selalu suruh jaga-jaga tapi ada jatuh juga," katanya yang bekerja di Malaysia lebih 10 tahun.
Sejak dua tahun lalu, parti Gerakan Pulau Pinang lantang mengkritik kerajaan negeri yang didakwa gagal menangani isu alam sekitar, terutama kawasan berbukit-bakau.
Parti itu mendakwa, tujuh kawasan lain yang menjadi mangsa aktiviti pembersihan hutan berskala besar ialah Bukit Kukus, Bukit Sungai Pinang, Bukit Kayu Ara, Bukit Elvira, bukit di kawasan Air Terjun Titi Kerawang, Bukit Papan Teluk Kumbar dan bukit di kawasan Empangan Teluk Bahang selain Bukit Gambir, yang lebih dikenali sebagai Bukit Botak.
Pelbagai NGO dan aktivis alam sekitar telah mendesak kerajaan negeri supaya menghentikan semua pembangunan atau projek di lereng bukit kerana ia dilaksanakan tanpa kawalan.
Pasukan bomba Malaysia mengeluarkan satu mayat ketika operasi mencari dan menyelamat dalam tragedi tanah runtuh di tapak pembinaan Lembah Permai, Tanjung Bungah, 21 Okt 2017. (Foto ihsan Bomba Malaysia)