Malaysia, Thailand Sahkan Lagi Komitmen Terhadap Proses Damai Selatan

Somchai Kwankijsawet
2016.09.10
Bangkok
160909-TH-MY-PMs-1000.jpg Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha (kiri) berjalan bersama-sama Perdana Menteri Malaysia Najib Razak semasa pemeriksaan perbarisan kehormat di Rumah Kerajaan di Bangkok, 9 September, 2016.
Nontarat Phaicharoen/BeritaBenar

Perdana Menteri Malaysia dan Thailand berikrar di Bangkok pada Jumaat bahawa kerajaan mereka akan terus bekerja bersama-sama untuk menyelesaikan pemberontakan pemisah di Selatan Thailand serta mengukuhkan hubungan keselamatan merentas sempadan.

Kenyataan itu dibuat seminggu selepas Malaysia menjadi tuan rumah pusingan terbaru rundingan tidak rasmi antara kerajaan Thailand dan  pemberontak Selatan Thailand, walaupun berlakunya beberapa siri pengeboman maut di selatan Thailand sejak beberapa bulan lepas, yang didakwa dilakukan oleh kumpulan pemberontak terbesar Islam dan berbahasa Melayu di wilayah itu.

"Kepentingan kedua-dua negara saling berkait. Kestabilan, dari segi keselamatan dan dari segi kemakmuran, kepentingan dan masa depan kedua-dua negara [adalah] tidak boleh dipisahkan," kata Perdana Menteri Malaysia Najib Razak pada sidang berita bersama pada Jumaat.

"Dalam konteks keselamatan, Malaysia terus bersedia untuk memainkan peranan sebagai fasilitator dalam membantu dalam proses damai di Selatan. Saya sekali lagi menegaskan komitmen kami - dan pemahaman kami - bahawa ini adalah satu perkara domestik Thailand dan akan meneruskannya berdasarkan rangka kerja dan garis panduan yang diberikan oleh kerajaan Thailand," katanya.

"Kami telah bersetuju mengenai isu-isu keselamatan, perdagangan, ekonomi sempadan serta rundingan damai bagi wilayah Selatan," kata Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha pada sidang berita itu.

'Mereka bergerak di antara negara kita'

Kedua-dua perdana menteri itu berkata mereka bersetuju bahawa negara mereka akan berkongsi maklumat risikan dalam bekerjasama memerangi keganasan global dan jenayah merentas sempadan seperti pemerdagangan manusia dan penyeludupan.

"Ini adalah perkara yang sangat, sangat penting bagi kami dalam menjalinkan kerjasama erat kerana beberapa pelaku, mereka bergerak di antara kedua-dua negara kami. Oleh itu, agensi-agensi keselamatan perlu bekerjasama rapat supaya kami dapat menangkap mereka dan membawa mereka ke muka pengadilan," kata Najib.

Rantau sempadan di antara Malaysia dan Thailand memang dikenali kerana banyak dengan aktiviti jenayah, dan pemberontak Selatan Thailand dipercayai kerap keluar masuk melaluinya. Thailand mengesyaki bahawa orang di sebelah sempadan Malaysia membantu pemberontak Selatan.

"Hari ini, kami perlu bekerjasama erat dalam menyelesaikan [semua] masalah, kerana masalah dalaman Thailand memberi kesan ke atas Malaysia juga. Kami akan menggunakan kaedah yang betul, seperti pertukaran risikan, saling memeriksa maklumat, dan prosedur imigresen," kata Prayuth.

Kedua-dua Perdana Menteri bersetuju untuk bergerak ke hadapan dengan meneroka perancangan bersama bagi membina tembok atau pagar untuk mempertahan sempadan bersama mereka, kata Najib.

"Malaysia akan terus membantu dari segi latihan vokasional untuk  anak-anak muda di Selatan," kata Najib kepada pemberita. “Perdana Menteri Prayuth telah meminta kami untuk membantu dari segi sekolah-sekolah agama di Selatan supaya mereka dapat belajar akademik dan subjek keagamaan."

Dakwaan BRN terlibat pengeboman dipersoalkan

Pada Selasa, komander unit pertempuran Barisan Revolusi Nasional (BRN) – kumpulan pemberontak Selatan terbesar dan paling kejam - memberitahu BeritaBenar  bahawa unitnya telah melakukan pengeboman pada hari itu yang mengorbankan seorang murid perempuan berusia empat tahun, dan beberapa serangan lain sejak beberapa bulan lepas.

Serangan yang didakwa dilakukan ahli BRN telah  membunuh 10 orang dan melakukan 11 pengeboman selama dua hari di kawasan pelancongan di luar Selatan.

Pegawai-pegawai Thailand sebelum ini telah mengumumkan bahawa pengeboman di kawasan pelancongan di kawasan atas Selatan mempunyai kaitan dengan orang dari wilayah dalaman Selatan, tetapi menafikan serangan itu sebagai memperluaskan pemberontakan.

Pada Jumaat, ketua tentera Thailand mempersoalkan ketepatan laporan itu semasa beliau lawatan ke Pattani, satu daripada wilayah-wilayah di Selatan.

"Mengenai laporan yang memetik BRN sebagai berkata bahawa pengeboman terbaru dan serangan bom di tujuh [kawasan atas wilayah Selatan] adalah perbuatan BRN, ia tidak berapa tepat," kata Ketua Komander Tentera Jeneral Teerachai Nakwanich kepada pemberita.

"Jangan keliru kerana siasatan polis telah mencapai kemajuan besar dan semua petunjuk menghala kepada geng-geng di kawasan itu," katanya.

MARA Patani, panel yang mewakili kumpulan dan puak pemberontak  selatan Thailand dalam rundingan damai tidak rasmi dengan kerajaan Thailand, mengutuk pengeboman sekolah itu dalam laman Facebook pada Khamis.

"Berhubung insiden pengeboman di Sekolah Taba pada pagi 6/9/16 , Mara Patani mengutuk tindakan kekerasan melibatkan kematian/kecederaan orang awam termasuk kanak-kanak. Kami bersimpati dengan semua mangsa terlibat dan menggesa pihak berkuasa menyiasat insiden itu dengan terperinci untuk dikenalpasti siapa pelakunya sebenar," kata kenyataan itu.

"Mara Patani berpegang teguh kepada penyeselesaian konflik melalui dialog damai. Kami menyeru semua pihak bertindak rasional dan tidak jadikan sasaran lemah sebagai mangsa konflik pada masa hadapan.'

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.