Malaysia Jalin Semula Hubungan Baik Dengan Korea Utara di Bawah Pemerintahan Mahathir

Hadi Azmi
2018.06.12
Kuala Lumpur
180612-MY-embassy-620.jpg Rakyat Malaysia yang terkandas di Pyongyang, Korea Utara, berjalan dengan Menteri Luar, Anifah Aman (tengah - berjeket merah muda) di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA) pada Mac 31, 2017.
AP

Malaysia akan membuka semula kedutaannya di Pyongyang, satu langkah yang dianggap akan dapat merapatkan kembali hubungan di antara dua negara itu selepas pembunuhan abang tiri kepada pemimpin Korea Utara di lapangan terbang antarabangsa Malaysia pada tahun 2017.

Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang berada di Jepun dalam siri rangka lawatan tiga hari ke negara Matahari Terbit itu mengesahkan keputusan kerajaan di bawah pentadbiran beliau ketika ditanya berkenaan perkara tersebut dalam sesi persidangan pada Isnin.

“Ya, kita akan membuka kembali kedutaan,” kata Mahathir di Nikkei Asian Review, acara sampingan di persidangan Future of Asia 2018 di Tokyo.

Hubungan mesra antara Malaysia dan Korea Utara tercalar selepas kejadian pembunuhan ala Perang Dunia Ke II ke atas abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 oleh dua orang wanita Asia pada 13 Februari, 2017.

Kedua wanita tersebut, warga Indonesia Siti Aisyah dan warganegara Vietnam Doan Thi Huong yang ditahan selepas beberapa hari pembunuhan itu berlaku tidak mengaku bersalah selepas didakwa melakukan pembunuhan tersebut. Mereka mendakwa bahawa mereka telah diperdaya untuk mengambil bahagian di dalam satu program televisyen.  Hakim yang akan membuat keputusan ke atas kes tersebut dan akan menentukan  samaada keduanya akan dibebaskan atau dipanggil untuk membela diri.

Kejadian tersebut telah menyebabkan ketegangan diplomatik antara kedua buah negara. Malaysia telah memanggil pulang dutanya ke Korea Utara, mengharamkan rakyat untuk pergi ke negara tersebut dan membatalkan kemasukan visa percuma kepada warga Korea Utara.

Dalam tindakbalas, Korea Utara turut melakukan sekatan perjalanan terhadap warga Malaysia di Pyongyang sehingga tiga pegawai diplomat dan enam orang anggota keluarga mereka terperangkap di negara itu.

Mereka cuma dibenarkan terbang pulang ke Malaysia selepas kerajaan bersetuju menyerahkan mayat Kim Jong Nam dan menghantar pulang tiga warga Korea Utara yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia  

Korea Utara yang baru

Bercakap di persidangan Nikkei, Mahathir berkata pihak kerajaan beliau lebih berminat dengan sikap baru Korea Utara daripada melihat ke belakang.

“Kita biasa ingat bahawa Korea Utara adalah negara yang suka berperang, tidak mengendahkan dunia dan mahu menggunakan senjata nuklear.

“Tetapi hari ini, beliau berusaha untuk menjalinkan hubungan yang lebih baik walaupun dengan Amerika Syarikat,” tambah Mahathir.

Perdana Menteri turut menggesa peserta untuk tidak memandang sinis dengan perkembangan yang melibatkan Korea Utara dan menggesa mereka menggunakan sikap baru terhadap negara itu untuk mengurangkan ketengangan di benua ini.

Bercakap dengan BeritaBenar, Professor di Universiti Malaya Ahn Sang Wuk berkongsi sentimen Mahathir dan berkata bahawa “Tindakan Malaysia pada waktu itu - memanggil pulang dutanya adalah satu keputusan yang boleh diterima pada waktu itu sebagai simbol kemarahan ke atas Korea Utara, tapi masa sekarang adalah masa untuk membina semula hubungan.”

Ahn, walaubagaimanapun berkata, walaupun situasi diplomatik lebih positif di rantau ini, pembukaan semula kedutaan akan mengambil masa.

“Walaupun sidang kemuncak itu penting, Amerika Syarikat dan masyarakat antarabangsa tidak mengangkat sekatan yang dikenakan ke atas Korea Utara.

“Ia lebih berhubungkait dengan proses nyahnuklear di Korea Utara,” kata beliau.

Pertemuan di Singapura 

Kim Jong-Un dan Presiden AS Donald Trump berada di Singapura untuk membincangkan pertemuan bersejarah tentang perlucutan senjata nuklear oleh regim komunis itu dan proses perdamaian dengan Korea Selatan.

Di dalam kenyataan bersama antara Mahathir dan rakan Jepun Shinzo Abe, kedua pemimpin menyatakan bahawa jika Korea Utara mengambil langkah ke hadapan ke arah yang baik, maka masa hadapan yang lebih cerah menanti.”

Abe turut berikrar untuk berkerjasama rapat dengan Mahathir untuk mengetengahkan mesej yang lebih kuat kepada Korea Utara.

Kedua pemimpin tersebut berharap pertemuan antara Trump dan Kim Jong Un akan berjaya dalam membawa perubahan dan solusi berkaitan senjata nuklear di benua ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.