Myanmar Enggan Hadiri Sidang Kemuncak
2015.05.15

Myanmar berkata negara itu tidak akan menghadiri sidang kemuncak serantau mengenai peningkatan aliran pendatang, jika isu Rohingya antara topik yang akan di perbincangkan.
Beribu-ribu pendatang tanpa izin warga Rohingya dan rakyat Bangladesh, telah tiba di beberapa negara serantau Asia Tenggara, antaranya Malaysia, Indonesia dan Thailand sejak beberapa minggu lepas.
Pihak berkuasa Myanmar tidak mengiktiraf warga Islam Rohingya sebagai salah satu kumpulan etnik di negara itu, dengan menyatakan bahawa mereka adalah rakyat Bangladesh, walaupun mereka sudah tinggal sejak beberapa generasi di Myanmar.
Tidak ada Rohingya di Myanmar
"Kami selalu menyatakan bahawa tidak ada Rohingya di Myanmar. Oleh itu, kita tidak akan menghadiri mesyuarat ini jika mereka menjemput kami dengan adanya tajuk Rohingya," kata Zaw Htay, pengarah pejabat presiden, dalam satu wawancara.
"Mereka mungkin dari Bangladesh, di mana populasinya meledak. Kumpulan pemerdagangan manusia dan beberapa pegawai kerajaan terlibat dalam masalah itu. Jika mereka menuduh orang ini adalah dari Myanmar untuk menutup penglibatan mereka, kami tidak menerimanya. "
Thailand mengumumkan pada Selasa bahawa ia akan menjadi tuan rumah satu sidang kemuncak pada 29 Mei ini untuk menangani "peningkatan pendatang merentasi Teluk Bengal."
Sidang kemuncak sehari itu, akan dihadiri oleh pegawai dari 15 buah negara termasuk Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Australia dan Amerika Syarikat.
Ianya diadakan sebagai usaha negara serantau Asia Tenggara itu, untuk menangani isu penghijrahan pendatang tanpa izin, pemerdagangan dan penyeludupan manusia yang semakin meningkat melalui Teluk Bengal dan Selat Melaka sejak kebelakangan ini.
Myanmar punca aliran pendatang ke Asia Tenggara
Myanmar adalah punca kepada aliran pendatang ke Asia Tenggara, kata Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk Hak Asasi Manusia Zeid Ra'ad Al Hussein dalam satu kenyataan pada Jumaat.
"Jika kerajaan Myanmar tidak menangani diskriminasi institusi terhadap penduduk Rohingya termasuk akses kewarganegaraan yang saksama, penghijrahan tidak menentu ini akan terus berlaku," kata Zeid.
Thailand telah dituduh melindungi sindiket pemerdagangan dan penyeludupan manusia yang melibatkan warga Rohingya dan rakyat Bangladesh
Lebih daripada 30 mayat yang dipercayai pendatang tanpa izin, warga Rohingya dan rakyat Bangladesh telah ditemui beberapa minggu lepas, di sebuah kem penyeludupan manusia, yang tersembunyi jauh di dalam hutan di wilayah Songkhla Thailand yang berhampiran sempadan Malaysia.
“Kami tidak menerima jika Thailand menjemput [menghadiri persidangan] hanya untuk meringankan tekanan yang mereka hadapi,” Zaw Htay memberitahu Agence France-Presse (AFP).
“Puncanya adalah peningkatan pemerdagangan manusia. Isu kubur pendatang asing bukan masalah Myanmar, ia disebabkan oleh kelemahan pencegahan pemerdagangan manusia dan penguatkuasaan undang-undang di negara tersebut,” tambah beliau.
Myanmar turut mendakwa Thailand menggunakan sidang kemuncak serantau hujung bulan ini, untuk mengalihkan perhatian terhadap kelemahan negara itu, berkaitan masalah penyeludupan manusia.
Perdana Menteri Thailand Jen Prayuth Chan-ocha pula berkata Thailand selaku tuan rumah pada sidang kemuncak itu, tidak boleh memaksa sebarang negara atau kumpulan yang dijemputnya untuk hadir pada bertemuan berkenaan.
"Ia bergantung kepada mereka, siapa yang mahu atau siapa yang tidak mahu datang mesyuarat itu.
“Kami tidak boleh memaksa mereka kerana setiap negara mempunyai maruah masing-masing," katanya semasa menjawab soalan wartawan sama ada kerajaan Myanmar akan menyertai mesyuarat itu, seperti yang dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Awal minggu ini, Malaysia dan Indonesia memutuskan untuk tidak menerima lebih banyak bot selepas kira-kira 3,000 pendatang Myanmar dan Bangladesh mendarat di pantainya.
Perdana Menteri Malaysia Najib Razak berkata pada Jumaat, beliau merasa amat bimbang dengan masalah pendatang tanpa izin.
"Saya berasa amat bimbang dengan masalah pendatang di rantau kita, sesetengah daripada mereka sudahpun sampai ke negara kita dan lain-lainnya yang masih mencuba untuk datang,
"Isu ini membabitkan kepentingan antarabangsa dan serantau.”
“Malaysia sedang menghubungi semua pihak relevan yang kami mahu berkongsi hasrat untuk sama-sama mencari penyelesaian terhadap krisis ini,” kata beliau di dalam blognya.
Najib berkata Kementerian Luar dan Majlis Keselamatan Negara sedang mengambil tindakan perlu untuk mengendalikan situasi itu
Kenyataan beliau itu, dikeluarkan selepas pelbagai pihak menyeru kerajaan Malaysia bertindak segera membuka perairan kepada pelarian Rohingya dan rakyat Bangladesh.
Lebih 1,000 warga Bangladesh dan etnik Rohingya dari Myanmar tiba dengan beberapa buah bot di Langkawi sejak Isnin lepas, selepas mereka mendakwa ditinggalkan oleh sindiket yang menyeludup mereka.
Dua buah kapal lagi, yang membawa kira-kira 1,000 pelarian Rohingya telah cuba mendarat di perairan Pulau Pinang beberapa hari lepas, telah diarahkan berpatah balik ke pelabuhan asal permulaan pelayaran oleh pihak berkuasa Malaysia.
Dalam perkembangan yang sama Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur pada Jumaat, berkata Malaysia komited bekerjasama dengan Myanmar, Bangladesh dan anggota masyarakat antarabangsa dalam menyelesaikan isu pendatang tanpa izin serta pemerdagangan manusia di rantau ini.
“Pihak kerajaan akan mengadakan mesyuarat dengan negara relevan termasuk Thailand dan Indonesia dan mengakui rumitnya isu penyeludupan manusia, dengan kerana itu Malaysia akan terus berusaha mencari penyelesaian terhadap isu itu secara bersepadu dan penyelarasan dengan kalangan negara sumber, transit dan destinasi,” menurut kenyataan kementerian itu.
"Bagi tujuan itu, Malaysia akan berusaha membangkitkan dan menyelesaikan isu ini pada forum-forum relevan,"
Sementara itu, Duta Khas Pertubuhanan Kerjasama Islam (OIC) yang juga bekas menteri luar Malaysia, Syed Hamid Albar merayu Putrajaya bertindak segera dalam menyelamatkan pelarian Rohingya dan Bangladesh.
"Bertindak sekarang untuk menyelamatkan orang Rohingya daripada lemas,” kata Syed Hamid dalam kiriman Twitternya.
“Mohon pemimpin Malaysia menyahut seruan setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan komuniti antarabangsa,
"Diam bukan pilihan," kata Syed Hamid.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar seperti yang dilaporkan Bernama berkata Malaysia tidak boleh berterusan dianggap menjadi tuan rumah yang sedia menerima pendatang asing tanpa izin kerana kehadiran mereka boleh menimbulkan pelbagai ancaman keselamatan.
Kami amat bertegas dalam perkara ini kerana kehadiran pendatang bukan sahaja dibimbangi rakyat tempatan daripada aspek keselamatan, tetapi juga masalah penyakit berjangkit.
Beliau memberi contoh Malaysia bebas daripada penyakit tibi dan Hepatitis B, C, dan D sejak berpuluh tahun lamanya, tetapi kini ia dikesan semula dalam negara kebelakangan ini, yang menurutnya disebabkan kehadiran pendatang tanpa izin.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada Jumaat, mahu Malaysia mengambil pendekatan keperimanusiaan untuk menyelesaikan masalah pelarian Rohingya.
Pengerusinya, Hasmy Agam menegaskan bahawa Malaysia perlu mematuhi konvensyen-konvensyen antrabangsa yang ditandatangani oleh negara itu.
“Malaysia sebagai Pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) perlu melaksanakan kepimpinan ‘hak asasi manusia untuk semua ‘ dengan mengutamakan pendekatan serantau dalam mengendalikan isu pelarian di kalangan negara anggotanya,” katanya
Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang prihatin telah membuat satu petisyen dalam talian menggesa Putrajaya untuk membantu “orang hanyut” pelarian dari Myanmar dan Bangladesh yang kesemuanya beragama Islam.
Petisyen dibuat oleh Debbie YM Loh dan Philip Teh, menggesa kerajaan Malaysia menyelamat pelarian dan pendatang daripada "dibiarkan terdedah di laut" selepas ditolak oleh negara-negara di rantau ini.
"Kami, rakyat dan penduduk Malaysia dan Asean, mengambil isyarat ini, dengan tegas bahawa kita mahu pendatang yang ditinggalkan di laut oleh penyeludup, diselamatkan dan dijaga oleh kerajaan Malaysia yang dipilih, sehingga nasib serta keselamatan mereka terjamin," kata kedua-duanya.
Aktivis sosial terkemuka Malaysia, Marina Mahathir turut merayu kepada pengikutnya di Facebook untuk menyediakan bot, dan bekalan makanan dan minuman dalam misi untuk menyelamat pendatang yang berada di perairan Selat Melaka dan Andaman itu, selepas Malaysia dan Thailand tidak mahu membuka perairannya untuk menerima “orang hanyut” di laut itu.
"Adakah sesiapa mempunyai bot untuk belayar? Bolehkah kita mendapatkan bekalan makanan, minuman dan barangan keperluan lain, termasuk kakitangan perubatan untuk dihantar keluar dengan bot-bot, dalam usaha membantu warga Rohingya dan Bangladesh ini? seperti yang tersiar dalam laman Facebooknya.