Tahun Pertama Kerajaan Pakatan Harapan Dihabiskan Tangani Isu 1MDB, PM

Radzi Razak
2019.03.19
Kuala Lumpur
190319-MY-mahathir-620.jpg Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad menyanyikan lagu Negaraku semasa satu forum perniagaan bermula di kota metropolitan Manila, 7 Mac 2019.
AP

Kerajaan Malaysia Baharu di bawah Pakatan Harapan (PH) memerlukan lebih masa untuk membangunkan negara kerana sebahagian besar tahun pertama memerintah selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 dihabiskan bagi meleraikan kekusutan yang terhasil daripada skandal 1Malaysia Development Berhad, kata Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Selasa.

Mahathir berkata beliau tidak dapat membayangkan bencana yang akan menimpa jika rakyat Malaysia tidak menggunakan hak mereka untuk menumbangkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum lepas.

“Kita telah dapat mengelakkan mala petaka kewangan yang hanya menanti masa untuk berlaku sekiranya skim ponzi yang digunakan untuk melindungi kesalahan-kesalahan 1MDB tidak ditemui dan dibetulkan," kata Mahathir dalam ucaptama beliau sebelum melancarkan program Invest Malaysia 2019 di Kuala Lumpur pada Selasa.

"Kami telah menggunakan sebahagian besar dari tahun pertama kami untuk menutup lubang tanpa dasar yang terjadi disebabkan 1MDB. Walaupun tugas itu masih belum selesai dan akan mengambil masa beberapa tahun untuk menyelesaikannya, kita perlu terus ke hadapan untuk membangunkan negara,” kata Mahathir lagi.

Beliau menyatakan bahawa gabungan PH dibentuk untuk membetulkan semula Malaysia dengan merubahnya daripada kerajaan kleptokratik yang menyeleweng dan mencuri puluhan bilion ringgit, tetapi perkara itu akan mengambil masa beberapa tahun untuk diselesaikan.

“Kita ada banyak perkara yang masih perlu dilakukan. Kita perlu membina negara dan untuk mencapainya, kita perlu mengubah Malaysia. PRU ke-14 merupakan pilihan raya yang sangat penting dan merupakan peluang untuk menamatkan pemerintahan kerajaan yang korup. Sekarang kita sudah tidak lagi dikenali sebagai sebuah kerajaan kleptokrasi,” kata beliau lagi.

Beliau turut menyatakan bahawa dalam tempoh 10 bulan memerintah, kerajaan sedar akan perasaan rakyat di bawah.

“Kerajaan sekarang tahu betapa teruknya kerosakan yang ditinggalkan oleh kerajaan kleptokratik. Ia bukannya satu perkara yang melampau jika dikatakan kita mengetahui bentuk kerosakan baharu hampir setiap hari,” kata Mahathir.

Untuk membina semula Malaysia, Mahathir berkata perkara pertama yang kerajaan perlu lakukan ialah memastikan institusi yang sudah dikompromi sebelum ini,  diperbaiki dan diperkukuh.

Sistem semak dan imbang yang kuat juga akan meningkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat serta komuniti global terhadap kerajaan, kata Mahathir lagi.

Beliau turut menyenaraikan beberapa inisiatif kerajaan baharu untuk membangunkan negara. Antara strategi yang sedang dilakukan untuk mengurangkan hutang negara ialah dengan menyenaraikan entiti kerajaan yang sudah matang di bursa saham dan mengurangkan pegangan syarikat berkaitan kerajaan dalam syarikat yang disenaraikan.

Selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-7, Mahathir berkata negara terpaksa menangguhkan projek kereta api laju (ECRL) dengan China dan juga Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) dengan Singapura kerana negara berdepan beban hutang ekoran skandal 1MDB.

1MDB merupakan dana pelaburan negara yang disiasat kerana terlibat dalam skandal rasual global bernilai berbilion ringgit.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendakwa sejumlah AS$4.5 bilion telah disonglap daripada 1MDB antara tahun 2009 dan 2014. Skandal itu dikatakan skandal paling besar di dunia.

Bekas perdana menteri Najib Razak, yang juga merupakan pengasas 1MDB, telah dihadapkan ke mahkamah kerana didakwa terlibat dalam skandal tersebut.

Beliau berdepan lebih 40 pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.

Turut didakwa ialah isteri beliau, Rosmah Mansor, yang berdepan 17 pertuduhan termasuk pengubahan wang haram sementara anak Rosmah, Riza Aziz, dari perkahwinan terdahulunya didakwa menggunakan wang 1MDB untuk membiayai pembikinan filem Hollywood.

Sementara itu, ahli perniagaan Malaysia, Jho Low, yang dikaitkan dengan skandal tersebut masih gagal dikesan.

Kes perbicaraan Najib berkaitan 1MDB, yang sepatutnya berlangsung pada 12 Feb, ditangguh kepada satu tarikh lain yang belum ditetapkan selepas beliau memfailkan satu permohonan di Mahkamah Rayuan Putrajaya berkaitan beberapa perkara bersabit kes tersebut. Antaranya Najib meminta mahkamah mengeluarkan ‘gag order’ kepada media dalam melaporkan perbicaraan yang bakal berlangsung.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.