Malaysia Jelaskan Kepada Singapura Tentang Isu Ruang Udara

Hadi Azmi & Zam Yusa
2018.12.12
Kuala Lumpur
181212-MY-singapore-620.JPG Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook membantah pelaksanaan prosedur Sistem Instrumen Pendaratan (ILS) Singapura di Lapangan Terbang Seletar, Dis. 12, 2018.
Ikhsan Laman Facebook Anthony Loke Siew

Malaysia melalui laman sosial Facebook Kementerian Pengangkutan pada Rabu memberikan penerangan kenapa Malaysia membantah pelaksanaan prosedur Sistem Instrumen Pendaratan (ILS) Singapura di Lapangan Terbang Seletar yang cuma 1.24 batu dari sempadan Malaysia.

Video infografik sepanjang 1 minit itu turut mendedahkan bahawa pelaksanaan ILS akan membawa kepada beberapa sekatan kepada ruang udara di Pasir Gudang yang berada di dalam laluan pesawat yang akan menjejas pembangunan di kawasan tersebut.

Video tersebut juga menyenaraikan sebab-sebab kenapa Malaysia tidak setuju dengan laluan yang memerlukan setiap pesawat terbang dari kawasan utara Johor. Video itu menyatakan had ketinggian yang ditetapkan oleh Seletar juga akan mengakibatkan pelabuhan Johor  “berdepan dengan risiko yang lebih besar dan pelbagai bentuk sekatan.”

“Kren mudah alih (yang digunakan dalam sektor pembinaan) juga akan melanggari had ketinggian yang ditetapkan,” menurut video itu lagi.

ILS yang merupakan sistem bantuan pandu arah membenarkan kapal terbang untuk memasuki laluan pendaratan dengan selamat dan tepat di lapangan terbang tetapi kerana ia menjejaskan kedaulatan negara, kementerian pengangkutan Malaysia berkata, ia terpaksa menolak pelaksanaan sistem tersebut di lapangan terbang Seletar.

Video itu sehingga kini sudah dikongsi sebanyak 10,000 kali di laman Facebook turut disulami perdebatan hangat daripada penduduk kedua-dua buah negara.

Dalam satu kenyataan balas, Khaw Boon Wan, Menteri Pengangkutan Singapura berkata video tersebut adalah baik tetapi mendakwa Malaysia menggunakan ILS sebagai isu teknikal untuk mendapatkan semula sempadan ruang udara.

Dibawah perjanjian 1974, Malaysia memberikan kuasa pengawalan udara di selatan Johor kepada Singapura bagi tujuan pengawalan udara yang diluluskan oleh Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa(ICAO) dan status kekal sehingga 4 Dis.  selepas Malaysia mengumumkan ia telah mengambil langkah untuk mendapatkan semula ruang udara tersebut pada 2023.

“Saya amat bingung. Kita sudah bekerjasama dengan erat sudah lama,” kata Khaw.

Shahriman Lockman, penganalisa kanan di ISIS Malaysia berkata Singapura perlu faham bahawa kerajaan baru Malaysia lebih bersifat berterus terang dalam perkara melibatkan kepentingan negara tidak seperti kerajaan dahulu.

“Bila kita lihat bagaimana kerajaan Malaysia menguruskan isu dua hala dengan China dan Singapura, ianya jelas bahawa kerajaan mahu menyelesaikan isu yang sebenar dan bukannya mengambil sikap tidak peduli,” kata Shahriman kepada BeritaBenar.

Tentang Lapangan Terbang Seletar, Shariman bersetuju dengan usul Kementerian Pengangkutan Malaysia kepada Singapura untuk menukar pergerakan dari utara ke selatan.

“Ia adalah satu-satunya solusi yang munasabah. Itu lapangan terbang mereka. Biar mereka yang berurusan dengan sekatan ketinggian,” kata beliau.

Berdepan dengan tuduhan Singapura, Malaysia menerusi kenyataan akhbar pada Rabu menegaskan pendiriannya tentang isu kedaulatan negara.

“Kementerian Pengangkutan Malaysia berpandangan bahawa usaha Singapura untuk mengeluarkan prosedur baru ILS bagi Lapangan Terbang Seletar dalam Penerbitan Maklumat Aeronautikal (AIP) Singapura jelas menggugat kedaulatan Malaysia dan undang-undang dan piawaian antarabangsa,” kata kementerian tersebut.

Kenyataan terbaru dikeluarkan sebagai reaksi terhadap kenyataan Kementerian Singapura pada 10 Disember yang menggambarkan Malaysia sebagai tidak telus dalam proses rundingan kerana tidak menyebut intipati perbincangan pada 29 dan 30 November.

Malaysia berkata walaupun isu ILS sudah dibawa ke meja rundingan, ia tidaklah membawa maksud bahawa ia sudah diluluskan oleh Pihak Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk disiarkan oleh Singapura.

“CAAM tidak pernah bersetuju atau memberikan kebenaran bagi prosedur ILS untuk lapangan terbang Seletar disiarkan,” kata Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Kementerian walaubagaimanapun bersetuju dengan Singapura bahawa perbincangan dua hala perlu dirahsiakan bagi melancarkan proses perundingan antara dua negara.

Selain dari perbalahan ruang udara, Malaysia dan Singapura turut terlibat dalam perbalahan sempadan perairan di kawasan barat Selat Tebrau selepas Singapura mendakwa Malaysia telah menceroboh ke dalam perairan Singapura dengan memperluaskan pelabuhan pada 25 Oktober.

Sehingga Rabu, Malaysia sudah meletakkan tiga kapal kerajaan di kawasan perairan yang menjadi topik perbalahan di bahagian Selatan Tuas di Singapura sehingga mengundang protes dari kerajaan Singapura. Protes itu yang disampaikan kepada Kementerian Luar Negara pada 4 Disember turut mendakwa Malaysia telah mencabul kedaulatan Singapura dan undang-undang antarabangsa.

Dalam kenyataan perdana menteri Mahathir Mohamad berkenaan isu itu pada Selasa, beliau berkata kapal-kapal tersebut akan terus berada dalam kawasan itu sehinggalah satu kata putus dicapai oleh kedua-dua kerajaan tentang perkara itu.

“Kapal Singapura ada di situ, kapal kita juga ada di situ,” kata Mahathir pada sidang media di Institut Integriti Malaysia di Kuala Lumpur.

Dalam satu sidang media di Singapura pada Rabu, menteri Khaw Boon Wan berkata Malaysia telah mengambil langkah untuk mengurangkan ketegangan dengan meletakkan hanya sebuah kapal di kawasan perairan itu berbanding tiga sebelum itu.

Beliau berkata, keengganan Malaysia untuk menarik semua kapal dari kawasan itu membawa risiko termasuk perlanggaran antara kapal-kapal.

“Kita jelaskan bahawa meletakkan kapal di perairan kami tidak langsung mengubahkan tuntutan undang-undang. Mereka faham tentang hal ini dari sudut undang-undang,” kata menteri.

Pada 8 Disember Malaysia mencadangkan kedua-dua negara tidak menghantar aset mereka ke kawasan perairan yang menjadi topik perbalahan tetapi cadangan itu ditolak oleh kerajaan Singapura. Malahan kerajaan Singapura meminta Malaysia untuk tidak mencabul kedaulatan Singapura.

Sejak Malaysia menggazet perubahan pada had pelabuhan pada 25 Oktober, Singapura mendakwa kapal Malaysia sudah berkali-kali menceroboh ke dalam sempadan perairan Singapura Tuas sejak dua minggu lepas.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.