Mursyidul Am PAS Dr Haron Din Meninggal Dunia di Amerika Syarikat

A. Ariffin
2016.09.16
Kuala Lumpur
160916-MY-din-620.jpg Dr. Haron Din pada satu Muktamar PAS.
Gambar ihsan PAS

Malaysia pada Jumaat kehilangan seorang ulama tersohor dari parti pembangkang berprinsipkan Islam, Parti Islam Se-Malaysia (PAS), yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung ketika menjalani rawatan di Amerika Syarikat (AS).

Tokoh Mursyidul Am PAS Dr Haron Din,76, meninggal dunia di Hospital Stanford, San Francisco pada 10.10 pagi waktu Malaysia, kata Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan.

“Pada kira-kira 10.10 pagi, kami telah menerima berita yang menyedihkan bahawa Tuan Guru Haron Din kembali ke Rahmatullah ketika menerima rawatan di hospital Amerika Syarikat.

“Marilah kita mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat-Nya dan mengampuni al Marhum Tuan Guru serta menempatkan beliau dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh,” katanya dalam Facebook rasmi PAS.

Nasrudin berkata, pihaknya difahamkan Haron berlepas ke AS sejak beberapa hari lalu bagi mendapatkan rawatan lanjut berhubung komplikasi jantung yang dihidapinya.

Sebelum ini, Haron pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital berkenaan pada 2 April 2012. Pada Mac lalu, beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengadu sakit dada.

Najib bersedih dengan pemergian Haron Din

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak turut bersedih dengan pemergian Allahyarham Haron.

Menerusi laman Facebook beliau, Najib mengucapkan takziah kepada keluarga Haron dan berkata Malaysia kehilangan seorang ulama disegani dan banyak berjasa kepada kesejahteraan negara.

“Secara peribadi, saya dan keluarga kehilangan seorang rakan rapat dan disayangi. Semoga roh Allahyarham Haron Din dikurniakan husnul khotimah dan ditempatkan di Al-Jannah bersama para syuhada. Al-Fatihah,” kata beliau.

Najib, yang mengetuai parti pemerintah, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), berkata, walaupun landasan politiknya dan Haron berbeza, mereka mengimpikan perkara yang sama iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara Islam yang makmur.

Sementara itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan takziah bagi pihak parti itu kepada semua ahli keluarga Haron dan menyifatkan tokoh agama itu sebagai generasi awal lulusan Islam yang bersama-sama dalam perjuangan PAS.

"Innalillahiwainnailahirajiun. Bagi pihak PAS, saya ucap takziah kepada ahli keluarga allahyarham, semoga roh beliau ditempatkan bersama para anbia, syuhada dan solihin. Beliau merupakan generasi awal yang bersama dengan PAS, generasi awal lulusan Islam bersama dengan Prof  Dr Zulkifli Mohammad dan kumpulan Islam.

"Kita harap semua sumbangan beliau kepada Islam, kepada PAS diterima oleh Allah dan segala kekurangan beliau diampunkan oleh Allah SWT," katanya.

Haron dijangka dikebumikan di Amerika Syarikat kerana beliau telah berpesan demikian kepada anggota keluarga dan PAS negeri Perlis sebelum berlepas ke negara itu  pada 10 Sept lalu.

"Allahyarham berpesan demikian sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini memandangkan ini merupakan kali keenam beliau menjalani rawatan jantung," lapor agensi berita nasional, Bernama, yang memetik Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli sebagai berkata.

Sukar mencari pengganti Haron

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Nasional (PAN) Khalid Samad turut mengucapkan takziah kepada keluarga Haron.

Beliau berkata sukar bagi PAS mencari pengganti Haron kerana beliau seorang yang sangat dihormati.

“Jika ada pengganti, Mursyidul Am baharu perlu mampu menonjolkan imej Islam sebagai rahmat untuk semua manusia, orang Islam dan bukan Islam,” katanya kepada BeritaBenar.

Rata-rata penganalisis politik bersetuju bahawa kehilangan Haron akan memberi tamparan kepada semua pihak, dan bukan sahaja PAS.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia Prof Mohamed Mustafa Ishak berkata, pemergian Haron, yang lebih dikenali sebagai ilmuwan berbanding ahli politik, sukar diganti kerana beliau merupakan seorang tokoh yang disegani kawan dan lawan.

“Beliau seorang tokoh yang sukar dicari ganti…beliau juga seorang ilmuwan dan ulama yang sangat disegani. Tentunya, PAS sukar mencari pengganti beliau.

“Beliau dihormati bukan sahaja dalam kalangan kawan, malah juga oleh pihak lawan. Beliau sering memberi pendapat dan pandangan berdasarkan ilmu,” katanya ketika dihubungi BeritaBenar pada Jumaat.

Dalam pada itu, Dr Azmi Hassan berkata, masih terlalu awal untuk orang ramai menilai hala tuju PAS berikutan kematian Haron dan Nik Aziz dalam tempoh hampir dua tahun ini.

“Kehilangan beliau (Haron) amat dirasai semua pihak. Beliau bukan sahaja dilihat sebagai tokoh malah dianggap sebagai bapa kepada semua penuntutnya.

“Masih terlalu awal untuk kita membuat kesimpulan terhadap hala tuju PAS…pemergiannya akan memberi implikasi kepada parti, sama ada negatif atau positif,”kata penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia itu.

Haron, yang menyertai PAS pada 1974, menyandang jawatan Mursyidul Am PAS selepas Nik Aziz Nik Mat meninggal dunia pada 2015.

Beliau pernah bertanding kerusi Parlimen Arau sebanyak tiga kali namun gagal mencapai kemenangan. Pada 2013, beliau sekali lagi gagal memenangi pilihan raya itu setelah ditewaskan calon Barisan Nasional Shahidan Kassim yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Haron meninggalkan seorang isteri Khadijah Salleh serta lima anak iaitu Huda, Hamdi, Salwa, Najmi dan Hana.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.