Thailand, Pemberontak Selatan Setuju Bincangkan Zon Keselamatan
2016.09.02
Kuala Lumpur dan Bangkok

Dalam pusingan terbaru rundingan damai, wakil-wakil kerajaan Thailand dan kumpulan pemberontak Selatan bersetuju pada Jumaat untuk membincangkan mengenai gencatan senjata yang terhad pada mesyuarat akan datang, termasuk satu cadangan daripada rangkaian kumpulan-kumpulan wanita dalam zon konflik.
"Pasukan rundingan damai Thailand membincangkan tentang kebimbangan PM Thailand, dan ingin memberi keutamaan untuk menamatkan keganasan yang berlaku. Ini tepat dengan tuntutan aktivis wanita Selatan yang mahu mewujudkan ‘zon keselamatan,’ "kata Jeneral Aksara Kerdpol, ketua pasukan rundingan Thailand, kepada pemberita sejurus tiba di Bangkok pada petang Jumaat dari mesyuarat di Kuala Lumpur.
"Oleh itu, kami menyerahkan tuntutan ini kepada pihak penentang [Parti B] untuk dipertimbangkannya, menjawab secara bertulis, atau meletakkannya dalam agenda untuk mesyuarat akan datang," katanya merujuk kepada pihak pemberontak.
Abu Hafiz Al-Hakim, jurucakap MARA Patani, iaitu panel yang mewakili kumpulan dan puak pemberontak berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk berbincang mengenai zon keselamatan pada mesyuarat akan datang. Tetapi tiada tarikh diberikan bagi pertemuan berikutnya.
"Kami meminta NGO untuk tampil dengan cadangan mengenai zon keselamatan; memandangkan mereka yang berada di lapangan tahu keadaan di situ dengan lebih baik .... Pada masa ini, kami mempunyai satu tuntuan daripada Agenda Wanita untuk Keamanan, yang merupakan NGO wanita. NGO ini mempunyai rangkaian 23 masyarakat sivil di Selatan yang mahukan keamanan, "katanya kepada BeritaBenar.
"Saya tidak mahu mengatakan bahawa mesyuarat hari ini adalah satu langkah besar ke hadapan, tetapi ia adalah satu langkah ke hadapan, setelah kami menghadapi banyak halangan sebelum ini," kata Abu Hafiz sambil menambah kata, "Dan sekarang, kami telah bersetuju untuk membincangkan tentang satu peringkat yang penting - iaitu zon keselamatan."
Wakil-wakil dari Malaysia, yang mengusahakan proses damai itu, enggan mengulas.
Abu Hafiz Al-Hakim (bertali leher merah), jurucakap MARA Patani, dan ahli-ahli panel yang mewakili kumpulan pemberontak Selatan Thailand, mengadakan sidang media selepas mesyuarat di Hotel Swiss Garden Kuala Lumpur, 2 September 2016. [Hata Wahari / BeritaBenar]
Pengeboman ‘bukannya lanjutan' pemberontakan
Mesyuarat selama tiga jam di ibu negara Malaysia itu menyaksikan buat pertama kalinya pertemuan penuh delegasi kedua-dua pihak sejak akhir April lalu dalam usaha meneruskan perbincangan rasmi itu, yang terhenti sejak 2013, bagi menamatkan pemberontakan pemisah sejak sekian lama di Selatan Thailand, yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Selepas mesyuarat April, Kerdpol berkata kedua-dua pihak telah bersetuju dengan apa yang dikenali sebagai zon keselamatan - atau gencatan senjata yang terhad - sebelum Thailand boleh bersetuju dengan peraturan asas untuk rundingan damai rasmi, atau Terma Rujukan (TOR).
Pada pertengahan Ogos, pasukan teknikal dari kedua-dua pihak mengecam tentang TOR yang disemak semula, tetapi Kerdpol mahupun jurucakap pemberontak tidak mendedahkan sebarang maklumat tentangnya pada Jumaat.
Mesyuarat pada Jumaat diadakan walaupun berlakunya pengeboman maut bulan lalu yang menyasarkan kawasan-kawasan pelancongan di bahagian atas kawasan selatan Thailand, yang pegawai Thailand mengaitkan dengan kumpulan dari Selatan Thailand. Sebanyak 11 pengeboman telah mengakibatkan empat orang terbunuh di tempat-tempat pelancongan di kawasan Selatan pada 11 hingga 12 Ogos.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri Prawit Wongsuwan berkata pada Jumaat bahawa beliau yakin serangan itu tidak menandakan lanjutan pemberontakan yang telah membunuh lebih 6,000 penduduk di wilayah sempadan Selatan Thailand sejak 2004.
"Saya yakin serangan itu bukanlah lanjutan [operasi pemberontakan], tetapi merupakan isu politik," kata Prawit kepada pemberita di Bangkok, sambil menyuarakan bahawa ada orang yang telah membiayai serangan untuk mencetuskan kekacauan.
Bom kereta ditemukan, dimatikan
Mesyuarat itu diteruskan walaupun satu bom kereta ditemukan dan dimatikan awal pagi Jumaat di luar balai polis di Narathiwat, satu daripada wilayah-wilayah Selatan Thailand, kata pihak berkuasa tempatan.
Menurut sumber pemberontak, ahli-ahli yang tidak berpuas hati dalam Barisan Revolusi Nasional (BRN), satu daripada kumpulan pemberontak yang diwakili MARA Patani, cuba menghantar mesej.
"Kami berharap bom meletup semasa kerajaan Thailand dan MARA Patani mengadakan perbincangan kerana kami mahu menyuarakan perbezaan pendapat dengan MARA Patani," kata seorang anggota BRN yang tidak dinamakan kepada BeritaBenar pada Jumaat.
Rangkaian NGO wanita dari Selatan Thailand pula menyuarakn pendapat mereka di mesyuarat pada Jumaat dengan berdemonstrasi di jalan-jalan di wilayah Pattani sehari sebelum itu, dan menyeru kedua-dua pihak supaya menjadikan isu zon keselamatan sebagai satu keutamaan. Sebelum mesyuarat diadakan, rangkaian itu turut mengemukakan satu cadangan mengenai zon keselamatan kepada delegasi berkenaan.
"Saya mempunyai harapan tinggi terhadap proses rundingan damai ini dan gembira kerana kedua-dua pihak mendengar gesaan daripada kaum wanita," kata Rosida Pusu, pengerusi Rangkaian Keamanan Wanita Selatan untuk Hentikan Keganasan - satu daripada 23 NGO yang mengemukakan cadangan itu dan berarak pada Khamis – kepada BeritaBenar pada Jumaat.
"Jalan, pasar, kuil, masjid dan sekolah mestilah selamat untuk semua orang yang tidak bersalah," katanya.
Rapee Mama di Narathiwat, Thailand dan Nasueroh di Pattani, Thailand menyumbang kepada laporan ini.