Malaysia Dan Indonesia Bentuk Badan Bersama Perangi Ideologi Ekstremisme


2015.04.10
150410-my-ideologi620 Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan Presiden Indonesia Joko Widodo menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra di Putrajaya, di luar Kuala Lumpur pada 6 Feb 2015.
AFP

Malaysia dan Indonesia minggu ini, bersetuju membentuk sebuah badan untuk memerangi ideologi ekstremisme, yang berasaskan kepada keseimbangan, keadilan dan kesaksamaan.

Kesemua 55 ulama dan pendakwah yang menyertai Muzakarah Ulama dan Pendakwah Malaysia dan Indonesia 2015 di Jakarta, bersepakat menubuhkan sekretariat itu bagi mempromosi versi Islam amalam kedua-dua negara berkenaan.

Pelan induk September ini

Kumpulan ulama dan pendakwah itu, turut bersetuju mengeluarkan satu pelan induk yang konkrit, September ini.

"Kami tidak bersetuju untuk berdialog dan berbincang lagi tetapi mengambil tindakan segera dengan mengwujudkan sektretariat ini, kerana ancaman kepada Islam adalah benar," Presiden Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Asyraf Wajdi Dusuki, yang menganjurkan majlis itu, memberitahu The Straits Times Singapura, di ibunegara Indonesia itu.

Malaysia dan Indonesia perlu menerajui usaha ini kerana gabungan popularasi rakyat beragama Islam daripada kedua-dua negara merupakan majoriti Islam di dunia, serta mengamalkan ajaran yang lebih "dinamik" daripada di Timur Tengah, kata Aysraf.

Pihak berkuasa kedua-dua negara mengambil berat ke atas ancaman pengganas dan kumpulan militan Negara Islam di Iraq dan Syria (IS), selepas terdapat rakyat Malaysia dan Indonesia yang dikesan menyertai kumpulan itu, dan mereka ditahan sekembalinya dari berjuang di kedua-dua negara berkenaan.

Untuk menarik minat rakyat Malaysia dan Indonesia menyertai perjuangan kumpulan militant itu telah menubuhkan satu unit tentera dan menyiarkan video berbahasa Melayu di mana sekumpulan kanak-kanak dari kedua-dua negara menyertai latihan ketenteraan oleh kumpulan militan berkenaan.

Ketua Agensi Kaunter Keganasan Indonesia Saud Usman Nasution sebelum ini berkata, Malaysia dan Indonesia perlu bekerjasama melalui saluran-saluran tidak rasmi untuk menghalang mereka yang berminat menyertai kumpulan militan itu ke Syria dan Iraq, menggunakan Malaysia sebagai transit, samada untuk pergi atau kembali serta merekrut pejuang baru.

Islam tidak anjur atau sokong keganasan

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin semasa merasmikan muzakarah di ibu negara itu berkata Islam tidak pernah menganjurkan mahupun menyokong sebarang bentuk keganasan kerana ia satu jenayah, sedangkan Islam adalah agama yang sejahtera dan mensejahterakan manusia.

“Ketika negara Barat sedang melihat umat Islam sebagai pengganas, terdapat pula golongan yang menggelar diri mereka sebagai Islamic State (IS) menampilkan suatu fenomena yang begitu dahsyat dan ganas dengan menyerang orang awam daripada kalangan Muslim dan bukan Islam serta membunuh tahanan perang sewenang-wenangnya. Perlakuan ini tiada asasnya dalam Islam dan jenayah terrorisme mereka adalah untuk menundukkan masyarakat awam dengan kekerasan dan keganasan," katanya seperti yang dilaporkan oleh agensi berita Bernama.

Muhyiddin juga berkata dalam usaha membanteras gejala ekstrimisme seperti itu, khazanah keilmuan para ulama serta dinamika metodologi para pendakwah di Malaysia dan Indonesia harus dikongsi dan dimanfaatkan bersama.

"Umat Islam di Malaysia dan Indonesia perlu berdiri teguh atas prinsip wasatiyyah iaitu mengambil sikap pertengahan atau tidak melampau dalam amalan agama seperti yang dituntut oleh ajaran Islam sebenar," katanya.

Malaysia dan Indonesia adalah negara majoriti Islam sederhana yang berkongsi bahasa dan budaya yang serupa.

Kerajaan Malaysia awal minggu ini telah meluluskan Rang Undang-undang Anti Pengganas di persidangan Dewan Rakyatnya, bertujuan memerangi ancaman domestik yang semakin meningkat daripada Negara Islam (IS) dan kumpulan-kumpulan pelampau lain.

Rang Undang-undang itu membolehkan pihak berkuasa Malaysia menahan pengganas yang disyaki selama dua tahun tanpa perbicaraan.

Sekurang-kurangnya seramai 159 rakyat Indonesia telah meninggalkan negara itu, untuk menyertai kumpulan militan negara Islam itu, tetapi jumlah sebenar tetapi jumpa sebenar boleh adalah lebih daripada itu, menurut polis negara itu.

Oleh staf BenarNews dengan maklumat daripada laporan berita

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.