Indonesia hentikan penghantaran pekerja, dakwa Malaysia langgar perjanjian

Arie Firdaus dan Muzliza Mustafa
2022.07.13
Jakarta dan Kuala Lumpur
Indonesia hentikan penghantaran pekerja, dakwa Malaysia langgar perjanjian Seorang suspek dari Indonesia (kiri) ditahan sebelum dokumennya diperiksa semasa operasi terhadap pekerja asing tanpa izin di Klang berhampiran Kuala Lumpur, 1 Sept 2013.
[Bazuki Muhammad/Reuters]

Indonesia telah menghentikan sementara penghantaran pekerja ke Malaysia, yang berdepan kekurangan pekerja yang agak tenat, dan menyelar Kuala Lumpur kerana didakwa melanggar perjanjian berkaitan pengambilan pekerja serta meletakkan mereka dalam keadaan berisiko digunakan sebagai buruh paksa.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono berkata Kuala Lumpur masih menggunakan sistem pengambilan secara dalam talian yang tidak sah untuk menggaji pembantu rumah dari Indonesia, yang bercanggah dengan perjanjian ditandatangani oleh kedua-dua negara pada April lepas.

“Malaysia tidak menghormati [perjanjian itu], jadi kami bekukan [penghantaran pekerja] bermula hari ini hingga ada jaminan bahawa Malaysia akan menghentikan sistem pengambilan secara dalam talian,” katanya kepada BenarNews sambil menambah bahawa Jakarta membuat keputusan itu selepas berunding dengan Kementerian Luar dan Kementerian Tenaga Kerja.

Hermono berkata pembekuan itu akan berkuat kuasa serta-merta namun Indonesia masih akan menghantar 10,000 pekerja ke Malaysia kerana pengambilan mereka dilakukan sebelum keputusan itu dibuat.

Pembekuan penghantaran pekerja itu mungkin menjejaskan pemulihan ekonomi Malaysia serta usaha memperbaiki kedudukan negara tersebut yang berada di tempat terakhir dalam Laporan Pemerdagangan Orang Jabatan Negara AS.

Malaysia menghadapi kekurangan kira-kira 1.2 juta pekerja di seluruh sektor seperti pembuatan, perladangan dan pembinaan, lapor Reuters baru-baru ini memetik data industri serta kerajaan.

Pada 2021, Jabatan Negara AS telah meletakkan Malaysia di kedudukan terakhir Tier 3 dalam laporan tahunannya, yang menilai usaha negara di seluruh dunia dalam memerangi pemerdagangan manusia, kerana tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk memenjarakan pegawai kerajaan yang terlibat.

Bagi memerangi isu seperti pemerdagangan manusia dan buruh paksa, peruntukan perjanjian yang dipersetujui antara Malaysia dan Indonesia termasuk memperkenal Sistem Satu Saluran untuk pengambilan, pemantauan dan penghantaran pulang pekerja asing.

Menurut Kedutaan Indonesia, kira-kira 352,000 pekerja Indonesia telah didaftarkan di Malaysia dengan kebanyakan mereka bekerja di sektor perladangan.

Hermono juga berkata Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (MOS) yang digunakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia boleh meletakkan pekerja Indonesia dalam keadaan berisiko kerana ia membenarkan mereka memasuki negara itu menggunakan visa pelancong sebelum memohon permit kerja.

“Pengambilan secara dalam talian yang tidak sah membawa kepada kesan yang tidak diingini,” katanya. 

Perjanjian itu, yang ditandatangani pada 1 April lepas, turut menyediakan perlindungan lebih meluas untuk pekerja Indonesia di negara jiran itu susulan beberapa kes dera pembantu rumah oleh majikan mereka. 

Presiden Indonesia Jokowi dan Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) itu di Jakarta.

“PM Ismail sendiri mahukan Presiden Jokowi menjadi saksi pemeteraian perjanjian itu, tapi kini apa gunanya? Malaysia bertindak sendiri dan tidak bersetuju dengan Indonesia meskipun sudah terdapat perjanjian yang dipersetujui oleh kedua-dua negara,” kata Hermono.

‘Itulah proses kita’

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Malaysia Hamzah Zainuddin mempertahan penggunaan sistem dalam talian itu dan berkata sesiapa sahaja yang memasuki negara tersebut perlu mempunyai dokumen lengkap.

“Sistem dalam talian itu adalah sesuatu yang telah kita umumkan kepada seluruh dunia. Ia bukan hanya untuk pekerja dari Indonesia sebaliknya terpakai kepada semua pekerja asing,” katanya pada satu majlis ketika disoal oleh pemberita.

“Itulah proses kita sama ada kita ingin melakukannya secara dalam talian atau melalui ejen.Semua pihak perlu memahami bahawa hanya orang yang memiliki dokumen boleh berada di negara kami,” katanya.

Kementerian Sumber Manusia Malaysia dalam kenyataan memaklumkan bahawa ia akan berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri “bagi mencari penyelesaian segera dalam isu berkaitan kemasukan pekerja Indonesia ke negara itu.”

Alex Ong, seorang aktivis buruh dengan Migrant Care Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), menyifatkan tindakan kerajaan Indonesia sebagai satu “teguran lembut” kepada Malaysia, yang beliau dakwa seolah-olah tidak serius untuk memperbaiki keadaan hidup pekerja asing.

“Malaysia tidak benar-benar menghargai silaturahim antara kedua-dua negara,” katanya kepada BenarNews.

Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia Foo Yong Hooi pula menggesa kerajaan Malaysia agar mematuhi perjanjian yang telah dipersetujui dengan Indonesia serta memansuhkan sistem pengambilan dalam talian itu.

“Kementerian Tenaga Kerja telah bekerja keras untuk mematuhi MoU itu namun kementerian lain juga perlu bekerjasama bagi memastikan ia berjalan lancarr,” katanya seperti yang dipetik oleh akhbar berbahasa Inggeris New Straits Times.

“Perlu wujud keharmonian antara kementerian bagi memastikan pembekuan penghantaran pekerja oleh Indonesia ini ditarik balik,” katanya sambil menambah bahawa syarikat pembekal buruh terpaksa menanggung kerugian jika langkah pembekuan itu berterusan.

Alvin Prasetyo di Jakarta menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.