Malaysia: Tiga Militan IS Ditahan Cuba Lakukan Serangan Ambang Merdeka
2016.08.31
Kuala Lumpur

Polis Malaysia menahan tiga suspek ahli militan Negara Islam (IS) selepas menggagalkan cubaan mereka melakukan serangan di pusat-pusat hiburan di Kuala Lumpur dan Kuil Batu Caves serta balai-balai polis dan anggotanya di ambang sambutan Hari Merdeka.
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata mereka ditahan dalam operasi berasingan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Selangor, Pahang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Sabtu dan Isnin lalu.
“Ketiga-tiga suspek yang berumur di antara 20 dan 27 tahun itu merupakan warga negara Malaysia yang menganggotai sel IS yang sama.
“ Mereka menerima arahan daripada Mohamad Wanndy Mohamad Jedi untuk melancarkan serangan ke atas pusat hiburan di Kuala Lumpur, Kuil Hindu di Batu Caves, Selangor serta balai polis atau terhadap mana-mana anggota polis dengan menggunakan bom tangan atau senjata api pada malam Ambang Merdeka 2016," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mohamad Wanndy atau dikenali sebagai Abu Hamza Al-Fateh adalah rakyat Malaysia yang didakwa menganggotai IS dan kini berjuang di Syria. Tahun lepas, beliau dan rakannya yang juga didakwa ahli IS, Mohd Faris Anuar, merakamkan sebuah video mengenai pembunuhan gaya IS yang dilakukan terhadap seorang lelaki Syria. Mohd Faris dilaporkan terbunuh semasa pertempuran di Anbar, Iraq.
Polis rampas bom tangan, pistol
Khalid berkata, suspek pertama yang berusia 20 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori, ditangkap di sekitar Selangor pada 27 Ogos dan polis merampas sebutir bom tangan jenis K75, sepucuk pistol CZ 2075 Rami dan 24 butir peluru berukuran 9mm daripadanya.
“Kesemua bahan itu dibekalkan kepada suspek oleh orang perantaraan Mohamad Wanndy,” kata beliau.
Suspek kedua yang berusia 27 tahun dan bekerja sebagai penjual daging ditangkap di Pahang manakala suspek ketiga berusia 20 tahun yang bekerja sebagai penjual air ditangkap di Kuala Lumpur.
Menurutnya, kedua-dua suspek itu ditahan pada 29 Ogos lalu tanpa sebarang rampasan.
“Ketiga-tiga suspek merancang untuk berlepas ke Syria bagi menyertai kumpulan pengganas IS dengan bantuan Mohamad Wanndy selepas berjaya melancarkan serangan itu,” kata Khalid.
Kesemua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan dengan keganasan mengikut Kanun Keseksaan dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.
Pada akhir Jun lalu, Malaysia dikejutkan dengan serangan pertama pengganas IS apabila bom tangan dilemparkan ke arah sebuah kelab malam di Puchong yang mencederakan lapan orang awam yang sedang menonton perlawanan bola sepak melalui televisyen.
Selepas beberapa jam serangan itu, Wanndy mencatatkan mesej di laman Facebook beliau dan mendakwa anggota kumpulan rangkaian pengganas itu yang berada di Malaysia bertanggungjawab melakukan serangan berkenaan.
Pada 25 Julai lalu, dua lelaki iaitu penganggur Imam Wahyudin Karjono, 21, dan operator kilang Jonius Ondie alias Jahali, 24, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kerana terbabit dalam serangan tersebut.
Pada 9 Ogos, dua lelaki iaitu Md Saifuddin Muji, 28, dan Jasanizam Rosni, 33, yang menjadi buruan kerana dipercayai turut terlibat dalam serangan itu diberkas di kawasan berbukit di Kuala Krai, Kelantan.
Penahanan mereka membolehkan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM menyekat tindakan kedua-dua lelaki berkenaan daripada melancarkan serangan IS seterusnya ke atas pusat hiburan di Johor Bahru, Johor, negeri selatan di Malaysia.
Sebelum ini, Ketua Bahagian Anti-Keganasan Cawangan Khas PDRM, Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata bahawa sekurang-kurangnya 230 individu dipercayai menganggotai IS termasuk 200 orang yang telah ditahan pihak berkuasa Malaysia. Daripada jumlah itu, seramai 84 individu telah didakwa dengan 18 lagi dibuang negeri manakala 62 orang lagi dibebaskan selepas disoal siasat.
Dua lagi rakyat Malaysia terbunuh di Syria
Sementara itu, dua lagi rakyat Malaysia dipercayai terbunuh dalam serangan berani mati di Syria baru-baru ini.
Identiti sebenar kedua-dua penyerang berani mati itu masih belum dikenal pasti tetapi berdasarkan catatan Wanndy dalam laman Facebook beliau, seorang daripadanya hanya dikenali sebagai Abu Salim dan seorang lagi individu berasal dari negeri Pantai Timur.
Khalid ketika dihubungi BeritaBenar memberitahu bahawa PDRM akan menyiasat maklumat terbaru itu.
Dalam catatannya jam 4 petang waktu Syria pada Selasa, Wanndy menyatakan bahawa seorang rakyat Malaysia telah melakukan ‘amaliyah istisyadi’ (melancarkan serangan bom berani mati) di utara Raqqah.
Pada 29 Ogos lalu, Wanndy juga memuat naik status yang menyatakan seorang lagi rakyat Malaysia maut pada Ogos 25 di Syria.
Fahirul N. Ramli menyumbang kepada laporan ini