Pembantu Perubatan Dipenjara 3 Tahun Miliki 8 Bahan IS Dalam Facebook

Ray Sherman
2017.10.23
Kuala Lumpur
171023-MY-IS-620.jpg Jurucakap rasmi Angkatan Bersenjata Demokratik Syria, Talal Sillo, mengisytiharkan pembebasan penuh bandar Raqqa, yang menjadi kubu kuat Negara Islam selama lebih tiga tahun, di sebuah stadium yang merupakan benteng terakhir pejuang kumpulan militan itu, 20 Okt 2017.
AP

Sebuah mahkamah Malaysia pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas seorang pembantu perubatan bagi kesalahan memiliki lapan bahan berkaitan kumpulan pengganas Negara Islam (IS) dalam akaun Facebook miliknya, pada April lepas.

Mohd Khairul Azhar Hasan, 36, mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Sofian Abd Razak, yang kemudian mengarahkan tertuduh menjalani hukumannya mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 12 Mac lalu.

Menurut kertas pertuduhan, Khairul Azhar, yang bertugas di sebuah hospital kerajaan di negeri Pahang, memiliki barang berunsur keganasan dan berkaitan dengan kumpulan IS dalam akaun Facebooknya, di tingkat 24, Bahagian E8 Cawangan Khas, Bukit Aman, pukul 12.20 tengah hari pada 3 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tujuh tahun, atau denda, dan boleh dilucutkan hak mana-mana barangan berkenaan.

Terdahulu, Khairul, yang mempunyai empat orang anak, merayu dijatuhi hukuman ringan melalui peguam Mohd Hezri Shaharil atas alasan ini adalah kesalahan pertamanya,  dan dia merupakan penanggung tunggal keluarga serta telah insaf.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias bagaimanapun membantah rayuan itu dan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan serius tertuduh.

Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berkata Khairul Azhar, sebagai seorang penjawat awam, tidak sepatutnya melibatkan diri dalam aktiviti yang boleh menjejaskan faktor keselamatan dan keamanan negara.

“Bermula dengan rasa simpati terhadap penderitaan rakyat Syria, tertuduh mula memberikan derma antara RM50 hingga RM100 setiap bulan.Tertuduh juga mula bertindak berkongsi berita berkaitan Syria di laman Facebooknya.

“Sekiranya tidak dihalang, tidak mustahil tertuduh akan menjadi lebih simpati dan sanggup menyumbang tenaga untuk berjuang bersama kumpulan pengganas,” kata Mohd Sofian.

Lebih 300 individu ditangkap hingga Oktober

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Parlimen bahawa pihak berkuasa Malaysia telah menahan sebanyak 346 individu, termasuk 95 warga Malaysia, yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan IS, setakat 6 Okt lepas.

Menurut Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, sejumlah 53 rakyat Malaysia terlibat dengan aktiviti keganasan di Iraq dan Syria, dan 34 daripada mereka telah terkorban.

Beliau berkata demikian semasa menjawab secara lisan, soalan seorang anggota parlimen Barisan Nasional, berhubung usaha kerajaan memerangi jenayah rentas sempadan, semasa persidangan Dewan Rakyat.

"Kerajaan masih belum berpuas hati dengan pencapaian kita dalam memerangi jenayah rentas sempadan, namun kami yakin dengan kerjasama kita, termasuk dengan pihak Interpol, unsur keganasan ini boleh dibendung," katanya.

Menurutnya lagi, Malaysia menjalin kerjasama dengan Interpol dan negara-negara jiran dalam bentuk rangkaian perkongsian maklumat serta peningkatan jaringan risikan.

“Kita juga telah memantau pintu-pintu masuk negara dengan menggunakan Sistem Saringan Awal Pemeriksaan Penumpang (APSS) dan bekerjasama dengan kerajaan negara China di mana kedua-dua negara telah berjaya menghantar pulang penjenayah dikehendaki,” kata beliau.

IS berjaya melakukan serangan pengganas pertamanya di bumi Malaysia pada Jun 2016, melalui letupan bom tangan yang mencederakan lapan pelanggan sebuah kelab malam di Puchong berhampiran Kuala Lumpur.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.