Malaysia: Hakim Arah Saksi Kemuka Bukti Kaitkan Jho Low dengan 1MDB
2019.04.17
Kuala Lumpur

Seorang hakim di Malaysia pada Rabu mengarahkan seorang saksi untuk mengemukakan bukti yang berpotensi mendedahkan butiran mengenai peranan pembiaya kewangan yang menjadi buruan, Jho Low, dalam skandal kewangan besar-besaran 1MDB.
Perintah itu dibuat pada hari keempat perbicaraan kes rasuah bersejarah bekas Perdana Menteri Najib Razak yang berdepan tujuh pertuduhan berkaitan pemindahan wang sebanyak 42 juta ringgit (AS $10.3 juta) dari SRC International, bekas anak syarikat dana negara yang kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Jho Low, atau nama sebenarnya Low Taek Jho, telah dikaitkan dengan Najib dan berdepan turut pertuduhan yang dikaitkan dengan skandal berbilion dolar itu.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Nazlan Ghazali mengeluarkan perintah itu selepas mendengar hujah pendakwaan dan pembelaan berkaitan kebolehmasukan telefon Blackberry milik pegawai Ambank, Joanna Yu, bersama-sama transkrip komunikasi yang disimpan oleh Bank Negara.
“Saya mendapati bahawa dokumen berkaitan komunikasi antara Joanna Yu dan Jho Low adalah relevan kepada perbicaraan ini,” kata hakim itu.
Beliau mengarahkan saksi Ahmad Farhan Sharifuddin, seorang pengurus di Bank Negara, untuk mengemukakan bukti itu pada sesi mahkamah seterusnya.
Yu, yang bertugas sebagai pengurus hubungan Ambank, mengendali akaun-akaun 1MDB, SRC dan akaun peribadi Najib, menurut laporan Wall Street Journal pada 2015t.
Semasa pemeriksaan balas, Ahmad Farhan memberitahu peguam bela Harvinderjit Singh mengenai barangan itu. Peguam itu kemudian meminta beliau membawanya ke mahkamah, yang dibantah oleh pasukan pendakwaan.
Peguam bela utama Shafee Abdullah memohon agar hakim membenarkan barangan terbabit dikemukakan kepada mahkamah.
“Dalam draf kenyataan saksi beliau, Yu berkata beliau telah berkomunikasi dengan Low,” kata Shafee kepada mahkamah, merujuk kepada kerelevanan barangan yang telah dirampas oleh Bank Negara.
Bagaimanapun, pendakwaan mencabar permohonan itu dan menyifatkkan sebagai tidak relevan.
“Apa yang mereka lakukan hanyalah sekadar mencuba nasib,” kata timbalan pendakwa raya V. Sithambaram kepada mahkamah. “Jika mereka terus bertanyakan dokumen untuk diperiksa sama ada ia relevan atau boleh diterima masuk, ini akan menjadi satu perbicaraan yang panjang.”
Pasukan pembelaan membalas hujah itu dengan mendakwa bahawa pendakwaan cuba menghalang Najib daripada mendapatkan satu perbicaraan yang adil.
“Apakah kita hidup dalam zaman kelam sekarang sehingga tertuduh tidak dibenarkan mendapat akses kepada bukti yang mungkin berguna untuk pembelaannya?” kata Harvinderjit.
Dalam penyataan pembukaannya pada awal bulan ini, Peguam Negara Tommy Thomas berkata bukti akan menunjukkan bahawa Najib telah menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan untuk mendapatkan wang itu.
Perbicaraan Najib bermula pada 3 April, hampir 11 bulan selepas parti gabungan pimpinan beliau, Barisan Nasional, ditewaskan oleh pakatan pembangkang Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum Mei 2018.
Skandal 1MDB, yang menurut Jabatan Kehakiman AS telah menyaksikan penyelewengan kira-kira $4.5 bilion, menyebabkan kejatuhan Najib dan kebangkitan PH, yang berkempen atas platform untuk membersihkan gejala rasuah dalam kerajaan.
Perbicaraan yang membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan pemindahan dana syarikat SRC International, adalah yang pertama daripada beberapa kes dihadapi Najib, yang berdepan sejumlah 42 pertuduhan jenayah yang dikaitkan dengan skandal 1MDB. Beliau berdepan hukuman penjara berpuluh-puluh tahun dan denda berjuta-juta dolar jika disabitkan kesalahan.