Ahli Perniagaan Buruan Malaysia Tawar Perjanjian Untuk Elakkan Pendakwaan Siasatan 1MDB: Laporan

Staf BeritaBenar
2018.06.14
Washington
180614-MY-jho-low-620.jpg Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, berucap di majlis Angel Ball 2014 anjuran Gabrielle’s Angel Foundation di bandar raya New York, 20 Okt 2014.
AFP

Seorang ahli perniagaan buruan yang dikaitkan dengan siasatan jenayah skandal kewangan 1MDB, bersedia menawarkan AS$1 bilion kepada kerajaan Malaysia bagi memastikan beliau tidak merengkuk di dalam penjara, menurut laporan media yang disiarkan pada Khamis.

The Wall Street Journal dan media lain melaporkan bahawa ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, cuba membuat perjanjian dengan Perdana Menteri baru, Mahathir Mohamad. Beliau menawarkan untuk menarik balik tuntutannya yang berjumlah lebih AS$1 bilion (RM4 bilion) dalam bentuk aset sebagai pertukaran bagi mendapatkan imuniti daripada pendakwaan.

Mahathir telah menolak tawaran itu, menurut laporan media.

"Saya agak yakin yang bentuk insentif yang beliau sedia terima dengan mudah adalah supaya beliau tidak didakwa di mahkamah," kata Mahathir kepada Journal. "Tetapi, kita tidak boleh berbuat demikian. Ia bertentangan dengan undang-undang. Undang-undang kami tidak menyediakan apa yang diberikan oleh undang-undang Amerika, tawar-menawar dan semua itu. "

Laporan itu disiarkan seminggu selepas sebuah firma undang-undang yang mewakili Jho Low berkata, beliau akan membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam penyiasatan skandal rasuah besar-besaran membabitkan dana negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selepas ia mengarahkan beliau supaya tampil untuk disoal siasat.

Satu artikel yang disiarkan pada Khamis oleh akhbar The Star Malaysia memetik sumber-sumber sebagai berkata  bahawa Jho Low bersedia untuk bertemu dengan penyiasat SPRM di Dubai, tetapi tarikh itu belum ditetapkan antara pegawai agensi anti-rasuah itu dan peguamnya.

Para pegawai kehakiman AS menyifatkan kes itu sebagai "skandal kleptokrasi yang paling buruk sejak sekian lama", dengan menarik perhatian bahawa lebih $4.5 bilion (RM17.9 bilion) dicuri dari dana negara itu sejak ia ditubuhkan oleh Najib pada 2009 sehingga lembaga penasihatnya dibubarkan pada 2016.

Jabatan Kehakiman AS menuduh Jho Low melakukan pengubahan  terhadap lebih daripada $400 juta yang dicuri dari 1MDB menerusi pembelian hartanah di California, New York dan London, sebuah jet berharga $35 juta dan sebuah kapal layar mewah yang dianggarkan bernilai $250 juta.

Menurut artikel Journal pada Khamis, yang memetik orang yang tahu tentang kes itu, Jho Low  telah memberitahu rakan-rakannya awal tahun ini bahawa beliau merasa selamat kerana bekas perdana menteri Najib Razak melindunginya. Selepas Pakatan Harapan pimpinan Mahathir mengalahkan gabungan parti Barisan Nasional yang diketuai Najib pada pilihan raya umum bulan lalu, Jho Low telah cuba membuat tawaran itu kepada perdana menteri baru.

Najib, yang dilarang meninggalkan Malaysia sejak bulan lepas, telah dua kali dipanggil untuk disoal siasat oleh SPRM berkaitan dengan siasatan 1MDB. Beliau menafikan dakwaan mencuri wang dari dana negara.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.